Program Pembasmian Kemiskinan Bandar : Bantu 480 keluarga Sambut Deepavali dan Aidil Adha.



SUBANG JAYA 24 OKT: Sambutan Deepavali dan Hari Raya Aidil Adha menjadi lebih bermakna apabila Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bermurah hati menyampaikan sumbangan berupa barang keperluan asas serta wang tunai RM100 kepada golongan yang memerlukan.

Menurut Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi, pemberian sumbangan ini merupakan komitmen MPSJ bagi menunaikan tanggungjawab sosial kepada golongan yang memerlukan, selain menimbulkan semangat muhibbah di kalangan komuniti tanpa mengira kaum.

Seramai 480 keluarga dari 24 Zon Jawatankuasa Penduduk MPSJ menerima sumbangan. Mereka terdiri daripada golongan kurang berkemampuan, ibu tunggal, anak-anak yatim dan Orang Kelainan Upaya (OKU)

Tambahnya, MPSJ juga merancang dan melaksanakan program-program pembangunan dan sosio-ekonomi bagi membantu golongan sasar di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) telah dijalankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

"Justeru, mulai tahun 2010 MPSJ telah menambah jumlah peruntukan bagi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar menjadi RM300,000 berbanding RM100,000 seperti tahun-tahun sebelumnya," kata beliau pada Majlis Penyampaian Sumbangan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar di Hotel Grand Dorsett, baharu-baharu ini.

Antaranya, program perkongsian pintar dengan agensi berkaitan seperti Program Bengkel IT Ibu Tunggal untuk memberi latihan dan kemahiran komputer, Program Bengkel Seni Jahitan dan Sulaman Kreatif, Program Pembangunan Usahawan Wanita MPSJ dan Program Zero to Hero dan Train and Place.

Selain itu, seminar Bazaar Ramadan MPSJ yang melibatkan peniaga kecil serta Program Rumah Rakyat MPSJ yang didiami oleh keluarga tidak berkemampuan, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) di di Pangsapuri Enggang Bandar Kinrara dan Pangsapuri Sri Kayan Pinggiran USJ.

"Menerusi inisiatif ini, saya yakin pelbagai aktiviti seperti seminar keusahawanan, latihan dan kursus kemahiran dapat dilaksanakan kepada golongan sasaran dengan lebih efektif lagi," ujarnya.

Dalam pada itu, sebanyak 13 Zon JKP MPSJ turut dipilih bagi melaksanakan program-program bersesuaian di bawah PPKB MPSJ 2011 dengan peruntukan sejumlah RM12,000 dan RM17,000 untuk melaksanakan aktiviti yang dirancang.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan dihadiri Exco Selangor, Ronnie Liu dan Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne Loh, Pegawai Daerah Petaling, Datuk Zulkepli Ahmad, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Tukiman Nail serta Ahli-Ahli Majlis MPSJ.

No comments: