Keluarga Shahrizat Gagal Urus Projek Daging Lembu Yang Menelan Wang Rakyat

PETALING JAYA 25 OKT : Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil perlu menjawab kegagalan syarikat keluarganya mencapai kuota pembekalan daging lembu ke pasaran tempatan mekipun setelah menelan lebih RM275 juta wang rakyat.

Syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) itu diberi geran RM25 juta dan suntikan dana RM250 juta lagi bagi memenuhi 40% dari permintaan domestik, bersamaan 97,414 tan setahun, kata Ketua PKR Zuraida Kamaruddin.

Namun selepas lima tahun berlalu, syarikat yang dimiliki oleh suami dan anak-anak ketua Wanita Umno itu hanya membekalkan 161 tan sahaja setahun.

Zuraida berkata siasatan yang dijalankan oleh Adun Sikamat Aminuddin Harun dan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendapati wang rakyat telah dilaburkan secara sia-sia keatas syarikat itu.

"Sehingga kini, komponen-komponen operasi yang lain yang diamanahkan kepada syarikat milik suami dan anak-anak Dato' Seri Shahrizat Jalil masih belum dilaksanakan walaupun mendapat peruntukan besar," tegas Zuraida dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Selain dari aktiviti mengimpot lembu, syarikat tersebut juga dilantik kerajaan untuk :

* membangunkan penternak kecil melalui konsep "penternakan satelit" untuk menggandakan pengeluaran lembu
* Membangunkan makanan lembu berkualiti
* Membangunkan baja dari operasi penternakan lembu

Isu kini timbul dikala Ketua Audit Negara melaporkan pembaziran
melampau berlaku di sembilan kementerian dan agensi kerajaan.

Jawatankuasa Kira-Kira Awam dijangka memulakan siasatan keatas
National Feedlot Corporation Sdn Bhd.

"Ada petani dan penternak kecil yang mempunyai operasi yang lebih besar dan berkesan walaupun tidak mendapat apa-apa bantuan kerajaan,"tambah Zuraida.

Beliau berkata projek itu dianugerahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Shahrizat semasa beliau memegang portfolia Menteri
Pertanian dan Agro Industri.

Turut dianugerahkan adalah tanah ladang seluas 5,000 ekar di Gemas,Negeri Sembilan.

"Projek ini dilancarkan oleh kerajaan bertujuan untuk mengurangkan import makanan yang memainkan peranan utama kepada kenaikan harga barang makanan," jelas Zuraida.

"Walau bagaimana pun, sebahagian besar dari peruntukan kepada
projek-projek pertanian dan makanan untuk mengurangkan pergantungan import tidak sampai dan diselewengkan sehingga mengakibatkan import makanan mencecah RM30 bilion setahun sehingga akhir 2010," jelasnya lagi.

No comments: