
KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Fakhrul Anwar Ismail mahu merujuk kepada pakar atau pengamal undang-undang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan berhubung pelucutan keahliannya dalam PAS yang membawa kepada penggugurannya sebagai ADUN.
Beliau secara peribadi tidak mahu terburu-buru dalam membuat sebarang langkah seterusnya terutama membabitkan undang-undang berhubung tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus'sele Eizan semalam yang mengumumkan kerusi DUN Bintong, Chuping dan Guar Sanji sebagai kosong sehingga mencadangkan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) dilaksanakan.
"Dalam hal ini, saya bukan mahu mencabar keputusan sebaliknya lebih kepada meminta nasihat atau panduan secara bebas pakar atau mereka yang arif dalam hal ini kerana saya tidak mahu terburu-buru dalam langkah seterusnya.
"Sekiranya betul seperti mana yang disebut oleh Speaker jadi tidak ada masalah sebaliknya jika tidak betul, jadi kita sekadar mahu memperbetulkan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Rus'sele pada sidang media di Kompleks Seri Putra di sini, semalam, memaklumkan kekosongan luar jangka itu selepas keahlian tiga ADUN daripada PAS terhenti serta-merta selaras Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi tiga DUN iaitu Bintong, Chuping dan Guar Sanji.
Beliau dilaporkan berkata, ada keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan di tiga kawasan itu demi kepentingan kestabilan kerajaan meskipun usia DUN Perlis sudah melebihi tiga tahun pada 18 Disember lalu.
Fakhrul Anwar berkata setakat pengetahuannya, terdapat percanggahan antara kenyataan Speaker dan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.
Mengulas statusnya sebagai wakil rakyat, beliau menegaskan masih ADUN yang sah berdasarkan peruntukan undang-undang negeri itu.
"Namun, ketika ini saya berstatus ADUN Bebas. Segala aduan dan permasalahan rakyat di kawasan Bintong masih boleh disampaikan kepada saya kerana saya tetap berperanan sebagai pemudah cara antara rakyat dan agensi berkaitan.
"Rakyat juga tidak perlu bimbang kerana Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan, turut membantu menyelesaikan isu yang dibangkitkan," katanya.
Sementara itu beliau akan mengemukakan rayuan kepada PAS dalam tempoh terdekat susulan keahliannya digugurkan dipercayai berkait dengan kemelut politik yang membawa peletakan jawatan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, semalam.
Fakhrul Anwar berkata, setiap ahli PAS yang dikenakan tindakan disiplin diberikan hak mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari dari tarikh disabitkan kesalahan, digugurkan atau diberhentikan sebagai ahli.
"Ahli berkenaan akan mempertimbangkan masa yang paling sesuai untuk mengemukakan rayuan. Namun, dalam kes saya, saya berpandangan tidak sesuai untuk berbuat demikian dalam masa terdekat kerana keadaan masih 'panas' ketika ini.
"Bagaimanapun, saya akan memastikan rayuan itu dikemukakan sebelum tamat tempoh 30 hari," katanya
Beliau berkata, sekiranya tempoh rayuan berlalu, seseorang ahli masih boleh memohon untuk menyertai semula PAS secara rasmi dengan mengemukakan alasan serta membuktikan kesetiaan kepada parti berkenaan.
Mesyuarat PAS Pusat kelmarin memutuskan melucut keahlian Fakhrul Anwar dan ADUN Chuping, Saad Seman dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam kenyataan dilaporkan berkata keputusan itu dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Untuk rekod, Fakhrul Anwar pernah dilantik sebagai EXCO Kerajaan Negeri pada tahun pertama pentadbiran PN di Perlis.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beliau menewaskan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis merangkap penyandang kerusi itu, Datuk Seri Azlan Man, dengan majoriti 4,329 undi dalam pertandingan enam penjuru

No comments:
Post a Comment