TUGAS BERAT MENANTI MUHYIDDIN MENYUSUN JEMAAH MENTERINYA



Setelah selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pagi tadi, sekurang-kurangnya dua cabaran besar sedang menunggu Muhyiddin Yassin.

Pertama, menyusun barisan kabinet dan kedua, melantik timbalan perdana menteri.

Dengan sokongan utama daripada UMNO, Pas dan GPS, MCA dan MIC, selain sebahagian Ahli Parlimen Bersatu, Muhyiddin yang merupakan Presiden parti itu, tetapi sudah berbalah dengan Tun Mahathir selaku pengerusinya, perlantikan anggota kabinetnya adalah hampir pasti daripada parti-parti tersebut.

Tetapi, dengan UMNO mempunyai jumlah terbesar Ahli Parlimen iaitu seramai 38 orang, tidak mustahil parti itu akan menuntut jumlah menteri yang terbesar, selain mahu menguasai kementerian-kementerian yang kanan.

Siapakah pimpinan UMNO yang akan dilantik menganggotai kabinet nanti?
Apakah ia termasuk Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahmad Maslan, Ahmad Maslan, Azeez Rahim dan lain-lain yang sedang berdepan kes perbicaraan di mahkamah merupakan antara yang akan dilantik?

Mungkinkan Zahid Hamidi yang sedang berdepan 87 kes perbicaraan di mahkamah tidak diberikan sebarang jawatan menteri, walaupun beliau adalah Presiden UMNO dan antara perancang utama penubuhan kerajaan baru ini?

Sediakah Zahid Hamidi untuk dirinya diketepikan begitu saja, sedangkan rakan-rakannya yang lain diberi pelbagai jawatan dalam kementerian?

Jika tiada sebarang jawatan menteri diberikan kepadanya, tidakkah ia memperlihatkan Zahid Hamidi mungkin sukar mempertahankan jawatan Presiden UMNO yang disandangnya sekarang dalam pemilihan parti tahun 2021 akan datang berbanding pemimpin-pemimpin lain yang diberikan jawatan?
Misalnya, kalau Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Ismail Sabri Yaakob atau Mahadzir Khalid diberikan jawatan menteri, apakah dengan jawatan yang disandang itu mereka tidak mahu merebut jawatan-jawatan utama dalam pemilihan UMNO tahun depan?

Begitu juga dengan Mohamad Hassan, Timbalan Presiden UMNO, peluangnya dilantik sebagai menteri mungkin tiada sama sekali kerana kedudukannya hanya sebagai Adun, bukan Ahli Parlimen.

Dengan tiada sebarang jawatan dalam kerajaan nanti, sementara pemimpin-pemimpin lain berjawatan menteri, mampukan beliau mempertahankan lagi jawatannya dalam UMNO dalam pemilihan tahun depan?

Dari segi Bersatu, perebutan atau melobi untuk menjadi menteri mungkin sudah bermula ketika ini, terutama daripada kalangan bekas menteri era PH dan kem Azmin Ali yang kini sudah menyertai parti itu.

Siapakah di kalangan mereka yang akan dilantik sebagai menteri dan siapa pula yang akan diketepikan?
Sama juga dengan bekas Ahli Parlimen UMNO yang lebih awal menyertai Bersatu di mana sebahagiannya adalah bekas menteri seperti Mustapa Mohamad dan Hamzah Zainuddin, sudah pasti mereka ini juga teringin untuk menjadi menteri semula dan adakah mereka akan diberi pertimbangan?
Begitu pun, dua Ahli Parlimen MCA dan seorang Ahli Parlimen MIC, ketiga-tiganya dijangka akan diberikan jawatan menteri untuk mewakili kaum Cina dan India.

Dari segi Pas dan GPS, perlantikan menteri mungkin tidak mendatangkan masalah kerana kedua-dua parti itu biasanya menerima saja pemberian jawatan yang diberikan.
Cabaran kedua bagi Muhyiddin melantik Timbalan Perdana Menteri.

Memandangkan UMNO merupakan blok Ahli Parlimen terbesar dalam gabungan kerajaan sekarang, kebarangkalian sangat tinggi wakil parti itu akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Apakah mungkin Zahid Hamidi yang ada 87 kes mahkamah akan diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri atas kedudukannya sebagai Presiden UMNO?

Jika bukan Zahid Hamidi, apakah mungkin Ismail Sabri dan Mahadzir Khaled yang merupakan Naib Presiden UMNO akan dilantik memegang jawatan itu?

Untuk rekod, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan hanya seorang Adun, manakala seorang lagi Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin kalah dalam PRU14 lalu dan keadaan ini tidak melayakkan kedua-duanya untuk dilantik ke jawatan tersebut.

Apakah mungkin Hishammuddin Hussein atau Khairy Jamaluddin yang tiada apa-apa jawatan dalam
UMNO akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Atau mungkinkah, sebagai jalan tengah, jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diberikan kepada Tengku Razaleigh Hamzah selaku Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO?

Apa pun, jika tiada sebarang jawatan kerajaan diberikan kepada Zahid Hamidi, harapannya untuk mengekalkan kedudukan sebagai Presiden UMNO dalam pemilihan tahun 2021 sudah pasti tersangat sukar, apalagi jika kes mahkamahnya terus berlarutan sehingga ke tahun depan. (ShahbudinHusin 01/03/2020)



No comments: