Amalan terima wakil rakyat Umno tak sihat, DAP gesa gubal akta halang lompat parti


DAP menyifatkan tindakan parti komponen Pakatan Harapan (Harapan) menerima ahli Parlimen yang pernah menjadi ahli UMNO sebagai amalan yang ‘tidak sihat’.
Pengerusinya, Tan Kok Wai berkata demikian mengulas keputusan ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk menyertai Bersatu.
Terdapat juga ura-ura 40 ahli Parlimen UMNO akan mengikut jejak langkah Mustapha seperti yang didakwa Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Datuk A Kadir Jasin.
“DAP tidak pasti sama ada lebih ramai Ahli Parlimen UMNO akan menyertai parti komponen Harapan termasuk DAP sendiri.
“Namun, kami tidak menggalakkannya kerana tindakan menerima mereka yang mahu melompat parti ini bukan sesuatu amalan yang sihat, memandangkan belum pun enam bulan sejak PRU yang lalu,” katanya seperti dipetik media.
Gesa akta halang lompat parti
Sementara itu, Sosialis Muda DAP (DAPSY) menggesa kerajaan segera memperkenalkan akta berkaitan lompat parti di negara ini.
Ketuanya, Wong Kah Woh, gesaan itu berdasarkan keadaan politik semasa negara yang menyaksikan kemungkinan lebih ramai wakil rakyat mungkin lompat parti.
“Saya percaya sudah sampai masa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan ini sekiranya mana-mana wakil rakyat, biarpun daripada UMNO, Pakatan Harapan, DAP, MCA atau mana-mana parti di Sabah dan Sarawak, sekiranya mereka hendak lompat dan keluar parti.
“Adalah menjadi satu asas demokrasi yang amat mudah untuk mereka melepaskan jawatan berkenan terlebih dulu dan Perlembagaan dipinda supaya mereka ini dibenarkan bertanding semula di kawasan sama pada pilihan raya kecil (PRK) akibat daripada kekosongan kerusi berkenaan,” katanya. 

No comments: