Najib: PRU-13 ‘boleh jadi awal atau mungkin lewat, biasalah’

Najib: PRU-13 ‘boleh jadi awal atau mungkin lewat, biasalah’

December 02, 2010

PHNOM PENH, 2 Dis —Sokongan rakyat kepada Barisan Nasional semakin pulih setelah kerajaan menunaikan janji-janji pilihan rayanya dan komitmen yang diberikan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata tanda-tanda awal juga menunjukkan bahawa rakyat menerima baik pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan BN bagi memenuhi kehendak dan harapan mereka.

“Apabila kita kotakan janji-janji pilihan raya dan komitmen kita, kewibawaan kita, dari kaca mata rakyat, sudah meningkat,” katanya dalam ucap utama pada perhimpunan agung keenam Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) di sini hari ini.

Najib (gambar) , yang juga Pengerusi BN, berkata keputusan sebenar sama ada BN telah memenuhi harapan rakyat akan hanya diketahui daripada keputusan pilihan raya umum akan datang.

Bercakap pada sidang akhbar kemudian apabila ditanya sama ada BN boleh merasa lega sekarang hasil daripada petanda-petanda awal itu, beliau berkata BN tidak boleh berasa lega sekarang, sebaliknya perlu bekerja lebih keras lagi.

Ditanya mengenai pilihan raya umum akan datang berikutan petanda-petanda awal tersebut, Najib berkata: “Itu bukan petanda awal tapi ia (pilihan raya umum) boleh jadi awal, boleh jadi lewat... biasalah.”

Menjawab soalan lain, Najib berkata: “Keputusan muktamad... bila sampai masanya, boleh jadi cepat, boleh jadi lambat. Biasalah.”

Ketika berucap pada perhimpunan agung itu mengenai usaha BN mendapatkan balik sokongan rakyat yang terjejas semasa pilihan raya umum 2008, Perdana Menteri berkata BN perlu menunaikan segala janjinya dan perlu juga dilihat sebagai memenuhi semua keperluan rakyat.

Najib berkata tugas pertamanya apabila mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada April 2009, adalah untuk melaksanakan komitmen Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan di bawah gagasan 1 Malaysia.

Sejak itu, katanya, kerajaan BN telah membuka Klinik 1Malaysia bagi menyediakan bantuan dan perkhidmatan perubatan percuma kepada rakyat, dan biasiswa 1 Malaysia kepada pelajar cemerlang tanpa mengira bangsa dan agama.

Katanya pelbagai skim dan program untuk meningkatkan mutu kehidupan golongan berpendapatan rendah dan bagi membasmi juga diperkenalkan. — Bernama

No comments: