Saturday, August 15, 2015

GHB Selangor tubuh jawatankuasa penaja peringkat negeri


Gerakan Harapan Baru (GHB) Negeri Selangor hari ini mengumumkan senarai kepimpinannya selepas melihat PAS kini tidak lagi demokratik dan meninggalkan ajaran Islam sebenar.
Penyelarasnya, Izham Hashim berkata sepanjang 31 tahun penglibatannya dalam PAS, parti Islam itu kini dilihat membawa perbezaan besar daripada segi pemikiran yang memaksa GHB membawa wadah perjuangan Islam baharu.
“Apa yang mereka (PAS) bawa pada kami tidak bertepatan dengan Islam yang sebenar, iaitu terbuka dan demokratik, tidak lagi ada dalam PAS.
“Kita berpandangan, tidak ada pilihan melainkan kita terpaksa mengambil jalan (parti) yang baharu.
“Kita sudah cuba banyak tahun, buat perubahan dalam PAS, tetapi nampaknya kita tidak boleh berbuat sesuatu lagi,” katanya pada satu sidang media di Shah Alam hari ini.
GHB Selangor mengumumkan 21 ahli jawatankuasanya termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharudin yang dilantik sebagai timbalan penyelaras jawatankuasa itu.
Izham berkata GHB Selangor yang dibentuk ini akan terus membawa panji perjuangan politik Islam, membela rakyat serta menegakkan kebenaran dan keadilan untuk semua, khususnya di Selangor.
Katanya, keahlian GHB di Selangor pada hari ini hampir mencecah 3,000 orang dan 90% daripadanya terdiri daripada ahli PAS.
“Kita mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk bukan Islam, sama ada dari PAS Pusat atau pelbagai golongan dari NGO dan parti sendiri.
“Di Selangor, banyak desakan dari pemimpin PAS sendiri, dari semua peringkat, untuk meletak jawatan atau menyertai GHB.
“22 kawasan di Selangor sudah pun terbentuk. Sekitar 20 AJK setiap kawasan sudah dipenuhi, dan sekarang usaha mengumpul keahlian,” katanya.
Mengenai kemungkinan berdepan pemecatan parti, Izham yang juga Yang Dipertua PAS Kelana Jaya berkata, perkara itu diserahkan kepada parti Islam berkenaan.
Beliau menegaskan, mereka tetap ahli PAS kerana GHB setakat ini masih belum diisytiharkan sebagai parti politik yang sah.
“Urusan pecat memecat, kita serah pada PAS. Kita tidak ada bidang kuasa menghalang.
“Setakat ini, secara rasmi, (surat pemecatan) belum dihantar kepada kita. Tetapi, ada kenyataan dibuat untuk mengambil tindakan, dan nama dikeluarkan dari kumpulan Whatsapp,” katanya.
Izham berkata, GHB Selangor tidak akan menggunakan pendekatan memujuk atau memaksa mana-mana Adun PAS menyertai pertubuhan itu walaupun ada di kalangan Adun berkenaan menyatakan minat positif.
Katanya, menjadi harapan GHB untuk mengukuhkan kerajaan negeri Selangor selain membawa gambaran Islam sebenar menerusi gagasan baru itu.
“Tidak salah parti Islam menerima bukan Islam sebagai ahlinya malah di negara lain termasuk di Mesir, naib presiden partinya adalah seorang Kristian.
“Identiti kuat Islam adalah ia perlu terbuka kepada semua, kerana Islam untuk semua. Bukannya masuk parti Islam, kamu kena masuk agama Islam.
“Kita akan menjadi parti Islam contoh pada dunia yang menunjukkan Islam boleh membawa kepelbagaian dalam perjuangan,” katanya.
Saari ketika sidang media itu berkata, tiupan angin penubuhan GHB bermula ketika krisis menteri besar Selangor yang berlarutan memperlihatkan PAS tidak boleh bekerjasama dengan parti lain.
Katanya, penubuhan GHB selaras dengan aspirasi rakyat yang mahukan Pakatan Rakyat (PR) terus memimpin Selangor dan seterusnya membawa perubahan kepada Malaysia.
“Apabila masalah ini berulang, keresahan penyokong PR itu muncul dan pada masa itu pada Oktober tahun lepas, isu perlunya parti baru yang fokus mengukuhkan PR menggantikan PAS sudah timbul.
“Kemunculan parti akan datang ini tuntutan rakyat. Kita tidak ada pilihan. Kita sudah diberi kemenangan di Selangor, 44 kerusi yang sangat besar. Kenapa ada masalah untuk bentuk kerajaan?” soalnya.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers