Monday, August 17, 2015

Hanifa jawab surat Husam

Hanifa jawab surat Husam

1 Zulkaedah 1436H bersamaan 16 Ogos 2015

YB Dato’ Hj Husam Musa
Adun Salor/Yang DiPertua Pas Kubang Kerian, Kelantan

Firman Allah swt yang bermaksud “Dan katakanlah: Bekerjalah kamu! Maka
Allah dan RasulNya dan orang-orang yang beriman akan melihat pekerjaan
kamu, dan kamu akan dikembalikan kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui segala
yang ghaib dan yang ternyata, lalu diberitahukan kamu tentang apa yang
kamu kerjakan”
                                                                              Surah At-Taubah : 105

YB Dato’

PENJELASAN TENTANG KELULUSAN PEMBALAKAN DI HUTAN SIMPAN ULU SAT YANG TERLIBAT DENGAN LALUAN LEBUHRAYA RAKYAT

Saya dengan ini merujuk kepada surat YB Dato’ (tidak bertarikh) yang saya
terima pada hari Khamis, 28 Syawal 1436H bersamaan 13 Ogos 2015 jam 12:30
tengahari. Penjelasan adalah seperti berikut:

A.      Faedah daripada tebangan hutan berkaitan adalah untuk Baldah Toyyibah
(Prasarana) Kelantan Sdn Bhd, Syarikat Tujuan Khas (SPV) Kerajaan Negeri
yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perlaksanaan Projek Lebuhraya
Rakyat. Ianya adalah antara lain digunakan untuk kos yang berkaitan Projek
Lebuhraya seperti bayaran kepada konsultan dan lain-lain termasuk juga
untuk kos operasi Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd.

Tiada penglibatan YB Dato’ dalam tebangan balak di kawasan yang diluluskan.

B.      Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah mendapat kelulusan
daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk mengeluarkan kayu di
kawasan berkenaan pada 19 Oktober 2014.

Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah mengeluarkan tawaran
sebutharga terbuka pada 23 Oktober 2014. Pada 8 Disember 2014, Lembaga
Pengarah Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah bermesyuarat
dan bersetuju menawarkan kontrak penebangan kepada syarikat Alaf Ulung Sdn
Bhd berdasarkan kepada tawaran syarikat ini yang terendah.

C.      Tuduhan bahawa Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah
melantik Syarikat Lucky Wong sebagai kontraktor kerja penebangan balak
adalah TIDAK BENAR SAMA SEKALI. Kontrak untuk kerja-kerja penebangan telah
dibuat secara sebutharga terbuka seperti yang dinyatakan di para B di
atas. Lain-lain soalan YB Dato’ berkenaan Syarikat Lucky Wong adalah tidak
berkaitan.

Sebanyak 2,300 tan kayu telah ditebang. Hanya sebanyak 1,700 tan telah
dijual dengan nilai jualan sebanyak RM1.28juta. Setelah ditolak kos
penebangan, cukai kayu, premium dan lain-lain kos Jabatan Perhutanan,
hasil bersih ialah sebanyak RM465,000.00.

D.      Di dalam kawasan R&R, walaupun kelulusan tebang habis diberi oleh
Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan
Sdn Bhd hanya menebang pokok yang berukuran diameter 6 inci keatas, sesuai
dengan hasrat Almarhum YAB Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Sila
rujuk kepada suratkhabar Sinar Harian, Jumaat 14 Ogos 2015 (mukasurat 38),
gambar disebelah atas adalah kawasan R&R yang jelas nampak ada tebangan
terpilih. Manakala gambar disebelah bawah adalah jajaran lebuhraya yang
sudah tentu ditebang habis bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan
lebuhraya dijalankan.

E.      Penahanan sementara kerja-kerja penebangan di kawasan berkenaan adalah
untuk membolehkan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan menjalankan
siasatan hasil dari laporan yang dibuat oleh pihak tertentu. Saya juga
mengadakan perbincangan dengan Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan,
Pegawai Hutan Daerah Machang dan Ketua Pegawai Operasi Baldah Toyyibah
(Prasarana) Kelantan Sdn Bhd supaya siasatan yang rapi dijalankan bagi
menangani masalah ini dengan segera. Hasil daripada siasatan oleh Jabatan
Perhutanan Negeri Kelantan, mereka telah mengesahkan bahawa tiada
penebangan dibuat di luar kawasan oleh kontraktor yang dilantik oleh
Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd. Maknanya, pihak Baldah
Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd dan kontraktor yang dilantik tidak
terlibat di dalam kes ini.

Sebanyak lebih kurang 600 tan (bukannya 1,000 tan seperti dakwaan YB
Dato’) kayu yang telah ditebang tetapi belum dijual, telah ditahan
sementara oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tujuan siasatan.
Walaubagaimanapun, pada 30 Julai 2015, kebenaran telah diberikan kepada
Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd untuk menjual kayu-kayu
tersebut sebanyak 550 tan, manakala 50 tan kayu sahaja yang masih ditahan
sementara menunggu laporan siasatan dikeluarkan yang dijangka pada minggu
hadapan.

Sebagaimana dakwaan YB Dato’ bahawa kawasan ini adalah kaya, bagi
memaksimakan perolehan dari sumber yang diamanahkan oleh Kerajaan ini,
kawasan ini tidak dijual terus berdasarkan keluasan yang mana hasilnya
adalah antara RM2,500 – RM3,000 seekar sahaja. Sebaliknya, kawasan ini
telah diusahakan sendiri oleh Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd
dengan melantik kontraktor untuk kerja-kerja penebangan sahaja manakala
penjualan kayu dilaksanakan sendiri oleh Baldah Toyyibah (Prasarana)
Kelantan Sdn Bhd yang mana ianya dibuat secara sebutharga terbuka dengan
kelulusan oleh Jawatankuasa Sebutharga Baldah Toyyibah (Prasarana)
Kelantan Sdn Bhd.

Dengan hasil bersih sebagaimana yang dinyatakan di Para C di atas,
berdasarkan kawasan yang telah ditebang seluas 23 hektar (56.8 ekar),
bermakna setakat ini Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah
memperolehi keuntungan sebanyak RM8,200/ekar, 3 kali ganda lebih
berbanding sekiranya penjualan terus kawasan dibuat.

Pihak Baldah Toyyibah Prasarana) Kelantan Sdn Bhd sedang berusaha untuk
membuktikan bahawa mengusahasilkan sendiri kawasan pembalakan oleh agensi
Kerajaan akan memberi pulangan yang jauh lebih baik berbanding dengan
hanya menjual terus kawasan tersebut.

Sekian, saya berharap agar penjelasan di atas ini dapat memberi pencerahan
kepada isu-isu yang YB Dato’ bangkitkan. Sebenarnya saya lebih suka
sekiranya ada apa-apa masalah ditanya terus kepada saya, tidak ditulis
dalam whatsapp kerana ia boleh mengelirukan dan menimbulkan persepsi yang
tidak baik kepada Kerajaan.

Terima kasih.

 tt : YB Dato' Hj Hanifa

……………………………………………….
YB Dato’ Hj Hanifa Bin Ahmad
Pengerusi Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd

# belum disahkan kesahihannya - WhatsApp
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers