Adakah tiba masanya untuk kerajaan ‘kaw taw’ dan ‘kaw tim’?

 

Bersatu. Cantik bunyinya. Apa lagi perbuatan “bersatu” itu sendiri. Ini bukan Bersatu yang merujuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Saya bercakap mengenai “bersatu” yang ditakrifkan “bergabung menjadi satu” dan “bekerjasama untuk mencapai kemajuan”.

Begitu pentingnya bersatu sehingga ada peribahasa “bersatu teguh bercerai roboh” yang membawa mesej yang cukup dalam, walaupun ada anak-anak nakal yang berseloroh berkata “bersatu teguh bercerai kita kahwin lagi”.

Rakyat kerap diingatkan supaya bersatu. Bukan setakat bersatu malah bersatu padu. Khususnya orang Melayu. Peringatan dan nasihat diluahkan ahli politik. Amat selalu Melayu diingatkan mesti bersatu demi bangsa dan agama.

Begitu “perpaduan”. Betapa indah bunyinya. Mulia perbuatannya yang membawa 1001 harapan ke arah kebaikan.

Jika dilihat, usaha menjaga terutama mengurus negara untuk kebaikan semua kerap kedengaran “kerajaan perpaduan”. Satu konsep yang secara am sememangnya bagus. Singkatnya ia membabitkan semua parti politik, sahabat mahupun lawan bersatu dan bergabung menjadi satu entiti.

Ini bermaksud semua pihak bersetuju mengenepikan atau membelakangkan juga ideologi dan pegangan masing-masing dalam membentuk kerajaan perpaduan. Lazimnya kerajaan perpaduan ditubuhkan ketika waktu perang atau krisis.

Umpamanya di Afghanistan. Kerajaan perpaduan diwujudkan membabit pelbagai pihak yang bersengketa demi mencapai keamanan. Namun kita tahu apa yang telah berlaku dan masih berlaku di bumi Afghan.

Dalam erti kata lain, tujuan dan matlamatnya memang murni tetapi bukan semua yang diidamkan boleh menjadi kenyataan kerana pelbagai sebab dan alasan. Yang jelas tidak semestinya apa yang indah atas kertas akan terus indah bila diterjemahkan atau dilaksanakan.

Di Malaysia tidak ada perang. Alhamdulillah. Namun ada krisis atau kemelut politik. Pada 1974, Barisan Nasional ditubuhkan berikutan prestasi buruk kerajaan Perikatan pada pilihan raya umum 1969 yang mencetus kemelut politik dan rusuhan kaum 13 Mei yang memporak-perandakan keamanan.

Tun Razak Hussein membuat penjenamaan ke atas Perikatan yang dianggotai Umno, MCA, dan MIC. Allahyarham berjaya memujuk lain-lain parti menyertai membentuk BN. Termasuk PAS, Gerakan, dan PPP tiga parti pembangkang yang kuat ketika itu.

BN menjadi gabungan dominan yang memerintah Malaysia sehingga 2018. Gerakan dan PPP bagaimanapun hilang taring ketika berada dalam BN. PAS pula keluar pada 1977.

DAP tidak menyertai BN sekali gus menafikan sebarang hasrat untuk mewujudkan sistem politik tanpa pembangkang.

Apa pun, hakikatnya BN adalah kerajaan perpaduan. Begitu juga Perikatan sebelumnya yang menyatukan parti Melayu, Cina, dan India. Cuma ia tidak dipanggil kerajaan perpaduan. BN kita tahu dilihat sebagai kerajaan gabungan.

Pendekkan cerita. Apabila kerajan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad digulingkan menerusi Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu, beliau ada mencadangkan satu kerajaan perpaduan ditubuhkan. Menurut Mahathir, ia akan dianggotai pelbagai pihak atau individu dan bukan sahaja terikat dengan pembabitan orang politik.

Namun ia tidak mendapat sambutan kerana semua anggota dikatakan akan dipilih oleh Mahathir selaku perdana menteri yang lihat berkuasa penuh. Satu masalah buat Mahathir ialah beliau mengalami defisit kepercayaan. Malah, sehingga kini.

Apabila beliau diberi perkenan mengadap Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, Mahathir mencadangkan pembentukan kerajaan ala MAGERAN. Serta-merta cadangan itu ditolak parti politik dan juga penganalisis serta pemerhati politik.

MAGERAN adalah pentadbiran yang ditubuhkan ketika darurat 1969. Kata pakar perlembagaan Dr Aziz Bari, MAGERAN itu adalah darurat. Aneh, Mahathir yang mahu darurat yang berkuatkuasa sekarang ditamatkan dan Parlimen bersidang semula tetapi mahu MAGERAN ditubuhkan.

Lalu ramai yang mahu kerajaan perpaduan dibentuk untuk mengatasi kemelut politik tanahair. Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin dilihat ramai pihak gagal mentadbir negara dengan baik dan tidak berupaya menangani krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Tetapi jika dilihat “kemampuannya” membawa parti Bersatu berpadu bersama sebahagian Umno, PAS, dan parti Sabah dan Sarawak, Perikatan Nasional pun boleh dianggap kerajaan perpaduan bukan?

Walaupun kewujudannya juga menyaksikan Umno berpecah dan pembangkang wujud. Mungkin perpaduan bukan gelaran tepat untuk diberikan kepada Perikatan Nasional.

Apa pun berbalik kepada Mahathir. Mungkin beliau salah memilih istilah. Lantas beliau menggantikan istilah MAGERAN kepada Majlis Pemulihan Negara dan ini kata beliau “bukan untuk menggantikan kerajaan sedia ada”.

Majlis itu menurut beliau mempunyai tugas khusus untuk menyelesaikan masalah kesihatan, ekonomi, pendidikan, dan politik.

Bagaimanapun Muhyiddin beberapa hari lalu memberitahu kerajaannya sedang merangka Pelan Pemulihan Negara mereka sendiri sebagai persiapan untuk keluar daripada pandemik Covid-19. Bagi saya, itu tanda perdana menteri dan kerajaannya “is not about to go anywhere soon”.

Namun, jika andainya kerajaan perpaduan wujud – bermakna semua parti politik menganggotinya demi “menyelamatkan negara tercinta” – siapakah yang akan melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang supaya tidak ada salah guna kuasa berlaku, di samping memastikan kerajaan perpaduan berkenaan ada ketelusan dan urus tadbir yang baik?

Kita tidak perlu kerajaan yang “kaw taw” dan “kaw tim”.

Dalam sebuah demokrasi, semak dan imbang antara ciri paling utama. Apa makna Parlimen bersidang jika semua yang hadir menganggotai satu kerajaan dan bertindak menyokong membabi buta walaupun ada kepincangan?

Bagi penganalisis politik Oh Ei Sun, kerajaan perpaduan bukan sesuatu yang bagus dan juga sukar dilaksanakan. Menurut beliau, seperti dilaporkan FMT tempoh hari, Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil dipimpin perdana menteri yang mempunyai sokongan kuat di Parlimen.

Kata Aziz Bari pula negara memerlukan satu “badan yang punya mandat rakyat”.

Umum tahu cara terbaik mengatasi masalah sekarang ialah menerusi pilihan raya. Tetapi Covid-19 tidak mengizinkan ia dijalankan.

Oleh itu, adakah kita perlu melihat kaedah baharu untuk melaksanakan pilihan raya? Misalnya cara maya? Atau tunggu sehingga pandemik ini berakhir supaya pilihan raya cara biasa boleh diadakan?

Apa pun, sehingga PRU15 diadakan, rakyat akan terus disaji dengan ‘keindahan’ idea kerajaan campuran dan konsep sedemikian rupa yang, saya kira, tidak berpijak kepada realiti politik negara.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

No comments: