ANTARA ANWAR DAN MAHATHIR, SIAPAKAH YANG PALING TERDESAK UNTUK SINGKIRKAN MUHYIDDIN?



Siapakah di antara Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir Mohamad yang paling terdesak untuk kembali berkuasa dan ingin sekali menjatuhkan Muhyiddin Yassin?
Mari kita memahaminya dalam bahasa dan erti kata yang paling mudah sekali.
Bagi Anwar, keinginan mengambil semula kerajaan adalah semata-mata untuk mengembalikan mandat rakyat kepada PH, bukan kerana ada dendam peribadi terhadap sesiapa.
Berikutan PH yang telah dipilih pengundi pada PRU14 lalu, tetapi kemudian kuasa sebagai kerajaan itu dicuri oleh golongan pengkhianat yang berpakat dengan kumpulan yang kalah pilihanraya, sebagai Pengerusi gabungan itu sekarang ini, Anwar tentu saja ada tanggungjawab moral untuk mengembalikan hak rakyat tersebut.
Apatah lagi, dalam kerajaan PN ini terlalu banyak perkara yang tidak betul berlaku seperti menangguh-nangguhkan Sidang Parlimen, meluluskan beberapa kali sejumlah perbelanjaan terkumpul wang negara tanpa membawanya ke Parlimen, mengagihkan GLC seperti harta syarikat sendiri dan bermacam-macam lagi.
Semua keadaan itu menjadikan ancaman kepada masa depan negara, di samping dalam waktu yang sama, kepedulian kepada rakyat semakin diabaikan.
Jangankan bantuan BPN yang pada awalnya dijanjikan tidak ada sesiapa yang tertinggal daripada menerimanya, tetapi akhirnya ramai yang terabai hanya kerana pernah berdaftar dengan SSM, malah masalah bil letrik yang melambung tinggi yang diterima rakyat juga terhegeh-hegeh untuk diatasi.
Kenapakah menyelesaikan masalah rakyat begitu lembab dan perlahan berbanding menganugerahkan penyokong kerajaan kedudukan bergaji lumayan dalam GLC?
Oleh yang demikian, atas kapasiti sebagai Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang, ditambah lagi kedudukan majoriti PN di Parlimen hanya ada dua undi saja, Anwar cuba mengusahakan yang terbaik untuk mengambil alih semula kerajaan.
Dalam hal ini, semua pihak yang tidak bersama kerajaan seharusnya memberi sokongan kepada Anwar dan PH atas niat murni untuk mengembalikan semula hak kerajaan yang telah dicuri itu.
Bagi Tun Mahathir pula, keinginannya menjadi Perdana Menteri semula dengan bantuan PH adalah semata-mata kerana dendam dan ingin menjatuhkan Muhyiddin.
Beliau sendiri mengakui tidak akan berhenti daripada berusaha untuk menjatuhkan Muhyiddin yang disifatkannya telah mengkhianatinya.
Dalam waktu yang sama, berikutan perbalahannya dengan Muhyiddin dalam Bersatu, Tun Mahathir sudah pun terpecat daripada parti itu dan kini merupakan individu yang tidak berparti.
Ternampak di sini bahawa Tun Mahathir begitu ingin kembali semula sebagai Perdana Menteri kerana ada dua dendam terpendam dalam hatinya – menjatuhkan Muhyiddin yang dianggap mengkhianatinya dan mengambil semula kedudukannya dalam Bersatu yang telah disingkirkan oleh Muhyiddin.
Jika gagal menjadi Perdana Menteri semula dalam waktu terdekat ini dan Muhyiddin dapat lebih dulu mengadakan pemilihan Bersatu, keadaan itu dengan sendirinya akan menjadikan kedudukan Tun Mahathir terpinggir terus daripada parti yang ditubuhkannya itu.
Tun Mahathir hanya dapat mengambil balik semula Bersatu jika beliau berjaya menjadi Perdana Menteri semula sebelum parti itu mengadakan pemilihannya.
Ini bermakna Tun Mahathir sedang berkejar dengan masa untuk mencapai semua impiannya.
Berbeza dengan Anwar, walaupun keinginan mengembalikan hak rakyat itu juga merupakan suatu tuntutan yang mendesak daripada pengundi PH, tetapi oleh kerana ia tidak disaluti dendam dan agenda-agenda lain, beliau masih boleh bersabar dalam melakukannya.
Jika tidak berjaya dalam waktu terdekat, ia mungkin saja boleh dilakukan melalui usul undi tidak percaya atau dalam penolakan terhadap Belanjawan 2021 pada November depan.
Begitu pun, Tun Mahathir tidak boleh menunggu sejauh itu kerana pada waktu itu Bersatu tentu sudah selesai mengadakan pemilihannya dan Muhyiddin telah pun disahkan sebagai Presiden Bersatu yang akan menang tanpa dicabar oleh Mukhriz yang sebelum ini turut terpecat bersama bapanya.
Sebab itu, walaupun ikut logiknya dalam keadaan sekarang ini Tun Mahathir seharusnya lebih beralah dan tidak lagi berebut untuk menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga, namun kerana adanya dendam dan tujuan lain yang mahu dicapainya, itulah sebabnya beliau beria-ia mahu kembali semula ke puncak kuasa.
Apakah yang bakal dilakukannya terhadap Muhyiddin jika beliau berjaya menjadi Perdana Menteri nanti?
Inilah yang menjadikan soal menentukan siapa calon Perdana Menteri menjadi sukar, ia tidak lain disebabkan Tun Mahathir seperti enggan beralah bagi mencapai tujuan peribadinya itu.
Jika beliau memikirkan soal rakyat semata-mata dan menyedari kedudukannya bukan lagi dalam PH, Tun Mahathir sepatutnya lebih bertolak ansur dan tiada masalah menyokong Anwar sebagai calon tunggal Perdana Menteri.
Tanpa sokongan Anwar, Tun Mahathir tidak boleh berjaya mencapai impiannya dan bagi Anwar juga, jika tanpa sokongan Tun Mahathir, beliau tidak mungkin mampu mencapai impiannya.
Kedua-duanya perlu sokongan satu sama lain jika ingin menjatuhkan Muhyiddin.
Bezanya cuma, Anwar masih boleh menunggu sehingga PRU15 untuk mengambil alih semula kerajaan, tetapi Tun Mahathir pasti tidak sanggup menunggu sehingga tempoh itu.
Dengan Bersatu dan UMNO kian berbalah dalam PN, pembahagian kerusi menjadi isu sukar, PH dengan sokongan pengundi muda, pengundi bandar, separa bandar serta bukan Melayu, diakui ada harapan lebih cerah dalam PRU15 akan datang nanti berbanding PN yang berantakan.
Susah-susah sangat, daripada memberi laluan kepada Tun Mahathir kembali semula sebagai Perdana Menteri yang kemudian menjadikan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri yang terdedah semula kepada mungkir janji dan dikhianati sekali lagi, lebih baik beliau tarik diri dalam perebutan ini, di waktu yang sama tarik diri juga dalam menyokong Tun Mahathir dan tumpukan saja perhatian kepada PRU15 sepenuhnya.
Menunggu sehingga PRU15 tidak menjadikan Anwar, PKR dan PH rugi apa-apa, namun Tun Mahathir pasti akan rugi serugi-ruginya, malah masa depan anaknya, Mukhriz pun akan tenggelam bersama dendam tak kesampaian bapanya. (Shahbudindotcom 15/06/2020)