Ahli PAS Tak Dipujuk Atau Dpaksa, Mereka Sendiri Mahu Sertai GHB...


greenboc

Ahli PAS Tak Dipujuk Atau Dpaksa, Mereka Sendiri Mahu Sertai GHB...


PAS tak lagi bawa ajaran Islam sebenar, kata GHB Selangor

Gerakan Harapan Baru (GHB) Negeri Selangor hari ini mengumumkan senarai kepimpinannya selepas melihat PAS kini tidak lagi demokratik dan meninggalkan ajaran Islam sebenar.

Penyelarasnya, Izham Hashim berkata sepanjang 31 tahun penglibatannya dalam PAS, parti Islam itu kini dilihat membawa perbezaan besar daripada segi pemikiran yang memaksa GHB membawa wadah perjuangan Islam baharu.

"Apa yang mereka (PAS) bawa pada kami tidak bertepatan dengan Islam yang sebenar, iaitu terbuka dan demokratik, tidak lagi ada dalam PAS.

"Kita berpandangan, tidak ada pilihan melainkan kita terpaksa mengambil jalan (parti) yang baharu.

"Kita sudah cuba banyak tahun, buat perubahan dalam PAS, tetapi nampaknya kita tidak boleh berbuat sesuatu lagi," katanya pada satu sidang media di Shah Alam hari ini.

GHB Selangor mengumumkan 21 ahli jawatankuasanya termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharudin yang dilantik sebagai timbalan penyelaras jawatankuasa itu.

Izham berkata GHB Selangor yang dibentuk ini akan terus membawa panji perjuangan politik Islam, membela rakyat serta menegakkan kebenaran dan keadilan untuk semua, khususnya di Selangor.

Katanya, keahlian GHB di Selangor pada hari ini hampir mencecah 3,000 orang dan 90% daripadanya terdiri daripada ahli PAS.

"Kita mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk bukan Islam, sama ada dari PAS Pusat atau pelbagai golongan dari NGO dan parti sendiri.

"Di Selangor, banyak desakan dari pemimpin PAS sendiri, dari semua peringkat, untuk meletak jawatan atau menyertai GHB.

"22 kawasan di Selangor sudah pun terbentuk. Sekitar 20 AJK setiap kawasan sudah dipenuhi, dan sekarang usaha mengumpul keahlian,"
katanya.

Mengenai kemungkinan berdepan pemecatan parti, Izham yang juga Yang Dipertua PAS Kelana Jaya berkata, perkara itu diserahkan kepada parti Islam berkenaan.

Beliau menegaskan, mereka tetap ahli PAS kerana GHB setakat ini masih belum diisytiharkan sebagai parti politik yang sah.

"Urusan pecat memecat, kita serah pada PAS. Kita tidak ada bidang kuasa menghalang.

"Setakat ini, secara rasmi, (surat pemecatan) belum dihantar kepada kita. Tetapi, ada kenyataan dibuat untuk mengambil tindakan, dan nama dikeluarkan dari kumpulan Whatsapp," katanya.

Izham berkata, GHB Selangor tidak akan menggunakan pendekatan memujuk atau memaksa mana-mana Adun PAS menyertai pertubuhan itu walaupun ada di kalangan Adun berkenaan menyatakan minat positif.

Katanya, menjadi harapan GHB untuk mengukuhkan kerajaan negeri Selangor selain membawa gambaran Islam sebenar menerusi gagasan baru itu.

"Tidak salah parti Islam menerima bukan Islam sebagai ahlinya malah di negara lain termasuk di Mesir, naib presiden partinya adalah seorang Kristian.

"Identiti kuat Islam adalah ia perlu terbuka kepada semua, kerana Islam untuk semua. Bukannya masuk parti Islam, kamu kena masuk agama Islam.

"Kita akan menjadi parti Islam contoh pada dunia yang menunjukkan Islam boleh membawa kepelbagaian dalam perjuangan," katanya.

Saari ketika sidang media itu berkata, tiupan angin penubuhan GHB bermula ketika krisis menteri besar Selangor yang berlarutan memperlihatkan PAS tidak boleh bekerjasama dengan parti lain.

Katanya, penubuhan GHB selaras dengan aspirasi rakyat yang mahukan Pakatan Rakyat (PR) terus memimpin Selangor dan seterusnya membawa perubahan kepada Malaysia.

"Apabila masalah ini berulang, keresahan penyokong PR itu muncul dan pada masa itu pada Oktober tahun lepas, isu perlunya parti baru yang fokus mengukuhkan PR menggantikan PAS sudah timbul.

"Kemunculan parti akan datang ini tuntutan rakyat. Kita tidak ada pilihan. Kita sudah diberi kemenangan di Selangor, 44 kerusi yang sangat besar. Kenapa ada masalah untuk bentuk kerajaan?" soalnya. – TMI


GHB muncul mendepani krisis negara oleh A Shukur Harun

Dengan memuncaknya pelbagai krisis di dalam negara, terutamanya skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan serpihannya yang juga panas membara serta krisis lain maka rakyat semakin runsing, kecewa, malah lemas.

Bilakah krisis ini akan berakhir tidak ada siapa yang tahu, tetapi yang pasti nilai wang Malaysia semakin menurun, harga barangan terus naik dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sangat membebankan di samping pengangguran yang tentu meningkat dengan harga getah dan kelapa sawit terus juga menurun.

Lebih parah lagi apabila semakin ramai yang dibuang kerja akibat banyak syarikat ditutup di mana dunia perniagaan semakin muram. Ini menyebabkan rakyat merasakan kebimbangan yang amat sangat terhadap nasib anak cucu mereka disebabkan krisis ekonomi dan hutang negara terus meningkat.

Pemimpin politik bercakaran sesama sendiri. Saling mengampu dan menjatuhkan. Kegiatan ini sangat luar biasa.

Ada pula tokoh politik yang membisu kerana “kekenyangan”, tidak lagi pedulikan nasib rakyat yang terus tertekan.

Dalam masa yang sama kegiatan rasuah, penyelewengan semakin meluas yang melibatkan bukan saja golongan atasan, pertengahan bahkan sampai kepada golongan bawahan dan menjadi cara hidup yang sangat menakutkan.

Di sinilah dengan tiba-tiba rasuah menjadi “derma” dan pelbagai keanehan lagi berlaku, di mana krisis seberat ini tidak pernah berlaku selama ini.

Pengamal rasuah dan penyelewengan seperti serigala buas di hutan salji Siberia, membaham segala yang ada. Penguat kuasa terumbang ambing penuh dilema dan terdedah kepada pelbagai kemungkinan.

Dalam masa yang sama orang-orang besar yang berkuasa kelihatan kaku dan membiarkan krisis ini tanpa berusaha untuk menyelesaikannya ataupun memang krisis ini sudah tidak boleh diselesaikan.

Demikianlah keadaan begitu serius sekali. Dalam masa yang sama, jarang terdengar suara para agamawan memberikan pandangan. Mereka “membisu” atau terlepas pandang masalah ini hingga tidak terdengar pandangan mereka baik melalui pelbagai kuliah yang mereka berikan, atau kenyataan terbuka. Kecuali beberapa orang, antaranya Datuk Dr Asri Zainal Abidin dan beberapa orang lagi.

Di tengah suasana gawat inilah, bakal lahir parti politik baharu – Gerakan Harapan Baru (GHB) – di mana nama rasminya akan diketahui bulan depan. Ia hendaknya benar-benar menjadi harapan rakyat dan sangat dinantikan kehadirannya.

Parti baharu ini akan mewakili golongan Islam sederhana, progresif dan terbuka. Namun pendekatan sederhana dan progresifnya tidak bermakna mengkompromikan dasar Islamnya.

Ia melindungi dan berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Ia amat peduli rakyat dam ramah, berakar tunjang Islam sebagai Rahmatan Lil-Alamin, yang akan menaungi bukan saja umat Islam, tetapi juga bukan Muslim dan berusaha memperlihatkan keadilan Islam dalam bidang yang lebih luas.

Parti politik baharu ini dijangka akan mengambil peranan pentingnya bersama PKR dan DAP dalam gabungan baharu parti pembangkang di Malaysia.

Berdasarkan tinjauan dan laporan yang diterima oleh parti baharu ini ternyata ia mendapat sambutan hangat rakyat pelbagai golongan. Road-show di seluruh negara sejak lebih sebulan lalu menunjukkan parti baharu ini mendapat sokongan luar biasa dari pelbagai pihak, khususnya golongan muda.

Tanda jelas ia bukan saja dialu-alukan oleh masyarakat bandar tetapi juga masyarakat luar bandar.

Sementara itu, pelbagai NGO seperti Ikram, Pasma, Abim, pelbagai badan pelajar dan bekas pelajar, NGO profesional dan lain-lain memberikan sokongan kepada GHB ini.

Dalam masa yang sama semakin ramai golongan agamawan muda yang berfikiran terbuka dan tidak jumud, tampil memberikan pencerahan, terutama mengenai kedudukan politik Islam dalam sebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia ini.

Mereka berusaha menjelaskan tasauwur Islam dengan lebih luas, berdasarkan pelbagai hujah al-Quran dan sunnah serta pandangan ulama muktabar. Agamawan muda ini semakin ramai yang memberikan sokongan dalam bentuk kenyataan terbuka, tulisan dan pelbagai wacana.

Semua usaha agamawan muda yang progresif ini sangat menolong usaha Gerakan Harapan Rakyat untuk mengetengahkan Islam yang syumul kepada rakyat pelbagai kaum.

Sementara itu, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), GHB meneruskan momentum perubahan politik atas dasar tahaluf yang jujur dan komited dalam perkara yang disepakati bersama rakan-rakan parti politik – PKR dan DAP, serta sinergi dengan mana-mana NGO dan segmen masyarakat merentasi garis ideologi.

Ia komited dengan politik baharu yang berpaksi kepada politik berasaskan ilmu dan akhlak, serta bersedia mewujudkan budaya mampu mengurus perbezaan dalam perlaksanaan prinsip hak bersuara dan tuntutan kesaksamaan.

Kini, pendukung GHB daripada pemimpin hingga aktivisnya bekerja keras untuk mempersiapkan GHB sebagai parti politik yang akan mengambil peranan penting dalam politik tanah air.

Jika segala-galanya berjalan lancar tanpa sebarang halangan, maka ia akan menjadi rakan penting kepada PKR dan DAP dalam gabungan baharu parti politik pembangkang di negara ini.

Ramai berharap gabungan baharu parti pembangkang ini akan mengulangi kejayaan Pakatan Rakyat seperti dalam PRU2008 dan 2013 dulu. Bahkan ramai yakin GHB ini akan berjaya dengan sokongan 4.1 juta pengundi golongan muda seperti statistik PRU 2013 itu serta juga sokongan masyarakat sivil di negara ini

Suasana masa kini sangat berbeza dari masa lalu, maka dengan sokongan media baharu serta pemikiran baharu rakyat ia memberikan peluang cerah kepada gabungan baharu parti pembangkang ini untuk menjadi saingan utama Umno/BN.

Lebih-lebih lagi dengan suasana negara yang gawat sekarang, tenggelam dalam pelbagai krisis, maka ini memungkinkan gabungan baharu pembangkang menjadi pilihan utama rakyat dalam PRU akan datang.

Inilah masanya rakyat perlu melakukan perubahan menerusi demokrasi.

No comments: