Wednesday, July 8, 2015

Siapa untung jika Najib berundur?



Siapakah yang bakal mendapat manfaat daripada krisis dihadapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekarang?
Siapakah bakal dilantik perdana menteri sekiranya Najib terpaksa melepaskan jawatan ekoran skandal syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sudah menjadi perhatian antarabangsa.
The Malaysian Insider cuba menyenaraikan tokoh yang mungkin mendapat manfaat sekiranya anak kepada perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein berundur.

1. Tun Dr Mahathir Mohamad
Sebagai pemain utama, Dr Mahathir sudah tentu mendapat manfaat yang paling banyak kerana menyerang Najib secara konsisten hampir setiap hari.
Namun apakah manfaat yang beliau dapat? Bolehkah beliau dilantik sebagai perdana menteri semula?
Agak sukar kerana beliau bukan ahli parlimen, tiada jawatan dalam Umno, sudah terlalu tua dan zamannya sudah berlalu.
Namun, Dr Mahathir boleh mencaturkan siapa orang yang dikehendaki menggantikan Najib sebagai perdana menteri. Buat masa ini beliau memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dr Mahathir juga boleh memastikan orang yang beliau sayang dan suka mendapat tempat yang sewajarnya selepas kejatuhan Najib.

2. Tan Sri Muhyiddin Yassin
Sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, sudah menjadi tradisi Muhyiddin akan menggantikan Najib sekiranya apa-apa berlaku.
Najib juga pada 2009 menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas bekas presiden Umno itu didesak meletakkan jawatan.
Umno sudah pun membuat keputusan menangguhkan pemilihannya selama 18 bulan. Jadi dengan secara automatik, Muhyiddin akan memegang jawatan itu sehinggalah mandat untuk Barisan Nasional (BN) tamat.
Tetapi bagaimana kalau hasil penyiasatan mendapati beliau turut terlibat dengan skandal 1MDB?
Tidak mungkin sebagai seorang timbalan perdana menteri dan juga timbalan presiden Umno, beliau tidak tahu jika duit yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib itu duit parti atau untuk kegunaan parti dalam pilihan raya ke 13.
Beliau berada dalam kabinet Najib dan berada dalam Majlis Tertinggi Umno bersama Najib.

3. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan naib-naib presiden Umno
Orang paling popular dalam Umno sekarang ialah Zahid. Ini kerana beliau mendapat undi tertinggi bagi naib presiden dalam pemilihan lepas.
Perlu diingat, jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan Umno lepas.
Juga berpeluang adalah dua lagi naib presiden Umno kerana tidak semestinya naib presiden paling kanan terpilih sebagaimana berlaku ketika Dr Mahathir terpilih menggantikan Tun Hussein Onn.
Jika pelantikan seorang perdana menteri baharu juga memerlukan sokongan pembangkang, Zahid mungkin boleh menjadi calon kompromi.
Ini kerana hubungan pribadi beliau dengan beberapa tokoh pembangkang terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Namun kes beliau sama dengan Muhyiddin, mungkin terpalit, kerana beliau berada dalam Kabinet Najib dan Majlis Tertinggi Umno.

4. Datuk Seri Anwar Ibrahim
Anwar mungkin mendapat manfaat daripada kejatuhan Najib.
Pembebasan beliau dari penjara mungkin menjadi tawaran timbal balas daripada kemelut politik dalam negara pada hari ini.
Ini kerana, gabungan pembangkang yang dahulunya dikenali sebagai Pakatan Rakyat, walau sedang dalam perpecahan juga, mendapat sokongan 52% rakyat Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.

5. Tengku Razaleigh Hamzah
Nama ahli Parlimen Gua Musang ini sentiasa naik apabila berlaku krisis dalam Umno sebagai calon alternatif.
Jika benar wang dimasukkan ke dalam akaun Najib itu adalah wang Umno untuk kegunaan pilihan raya bagi membantu calon BN dalam pilihan raya umum lalu, Razaleigh adalah calon yang tidak terlibat.
Beliau tiada dalam Kabinet Najib dan Majlis Tertinggi Umno. Jadi beliau calon alternatif untuk dilantik sebagai perdana menteri.
Di samping itu, jika nama Razaleigh yang dikenali sebagai Ku Li dibawa, beliau sudah tentu mendapat sokongan daripada pembangkang dan ahli politik dari Sabah dan Sarawak yang mempunyai saham besar dalam politik Malaysia. – 8 Julai, 2015.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers