Saturday, August 15, 2015

Ringgit merudum, Najib bertanggungjawab – Azmin Ali


Ringgit yang jatuh menjunam hanya boleh dihentikan sekiranya ada perubahan besar dalam kepimpinan negara, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali hari ini, yang mengatakan ia juga perlu bagi mengelakkan Malaysia daripada bencana politik dan ekonomi.
Timbalan presiden PKR itu juga mendakwa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak “mempermainkan” rakyat apabila beliau menyalahkan “mainan dan spekulasi politik” negara yang menyebabkan ringgit makin susut berbanding dolar AS, sedangkan hakikatnya beliau sepatutnya mengambil tanggungjawab.
“Kenyataan perdana menteri semalam yang ‘mainan dan spekulasi politik yang keterlaluan menyebabkan sentimen yang tidak menentu terhadap pentadbiran negara’, jelas bertujuan menyalahkan pihak lain selain dirinya yang mengakibatkan krisis matawang.
“Tiada apa selain perubahan besar dalam kepimpinan dan kesaksamaan politik boleh menghentikan kejatuhan merudum itu serta memelihara kita dari ambang bencana negara,” kata Azmin dalam satu kenyataan hari ini.
Azmin hari ini berkata orang ramai tidak terpedaya dengan “grandstanding” Najib dan “sound bites” perhubungan awam beliau.
Ringgit dijangka terus lemah selagi ketidaktentuan politik berterusan, katanya.
Ringgit mencecah paras terendah 4.12 kepada dolar AS pagi ini selepas harga minyak mentah jatuh di bawah AS$42 (RM171) setong.
“Oleh itu, perdana menteri mesti berhenti berpura-pura mempamerkan seolah-olah keadaan berjalan seperti biasa dan beliau boleh terus memimpin negara keluar daripada keadaan huru-hara ini hanya dengan menyingkirkan timbalannya dan melantik menteri baru bagi menunjukkan sokongan yang dimilikinya,” katanya.
Azmin merujuk kepada tindakan Najib baru-baru ini yang merombak Kabinetnya dengan menggugurkan mereka yang mengkritik cara beliau mengendalikan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Najib juga merupakan menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
Azmin berkata Najib gagal membersihkan dirinya dari skandal kewangan 1MDB yang melibatkan hutang sebanyak RM42 bilion, khususnya wang RM2.6 bilion dalam akaun beliau yang dikatakan sumbangan penderma politik, serta kesannya terhadap negara.
Beliau berkata, memang wujud faktor luaran yang menyebabkan kejatuhan ringgit, seperti penurunan harga minyak, kemungkinan kenaikan kadar faedah AS dan susut nilai yuan China.
“Tetapi faktor-faktor ini memberi kesan kepada mata wang lain di rantau ini juga. Persoalannya ialah, mengapa ringgit kita yang paling teruk antara semua mata wang utama serantau?” soal Azmin.
Katanya, tindakan baru-baru ini seperti pembubaran anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), hasil rombakan Kabinet, dan halangan yang jelas terhadap penyiasat anti-rasuah yang menyiasat syarikat berkaitan 1MDB, juga menampakkan seolah-olah ada pakatan sulit dan konspirasi dalam kerajaan, yang memburukkan lagi persepsi negatif terhadap kepimpinan negara.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers