KAEDAH INTERPRETASI HUKUM DALAM TEKS UNDANG-UNDANG ISLAM : REFLEKS TERHADAP SEKSYEN 498


1. Dalam al-Quran dan hadis , banyak disebut hukum yang dikaitkan dengan gender lelaki (الذكورة) berbanding wanita (الأنوثة). Dari sudut makna dan taklif hukum ia turut merangkumi kedua² gender kerana menurut kaedah asal, lelaki dan wanita adalah sama di sisi Allah SWT. Namun terdapat perbezaan hukum lebih terperinci antara lelaki dan wanita berdasarkan dalil khusus yang spesifik. Jika ada dalil khusus maka baru ia dikhususkan pada gender berkenaan seperti hukum edah.


2. Namun bagi sesetengah orang yang mempermasalahkan persamaan hak asasi dalam Islam sering menyatakan al-Quran mendiskriminasi wanita kerana mengutamakan sebutan lelaki. Bagi pengamal undang-undang syarak yakni fuqaha dan ulama syariah, hal demikian tidak pernah menjadi isu. Keutamaan disebut lelaki bukan kerana kelebihan gender tetapi kerana dari sudut bahasa dan kejadian, elemen kelelakian adalah al-asl (asal pemula). Contohnya kalimah pukul (ضرب) adalah asal digunakan untuk sebutan. Apabila mahu 'diwanitakan' akan ditambah ta' ta'nis jadi ضربت. Apatah lagi penggunaan ذكورة dalam kalimat (isim dan fi'il) lebih ringan dan mudah. Justeru apabila disebut term ذكورة, ia mencakupi lelaki dan wanita secara taghlib.


3. Sebab itu, kalau kita temui teks yang menyebut perbuatan lelaki dalam al-Quran seperti jangan berzina, jangan membunuh, jangan membunuh, jangan mengumpat dan pelbagai perbuatan haram termasuk juga pelbagai perintah buat, secara maknanya membabitkan orang wanita walaupun tidak disebut. Cara ini menggunakan pakai metod mafhum al-muwafaqah iaitu kaedah istinbat hukum syarak.


4. Selain itu, dalam al-Quran dan hadis, banyak juga hukum yang tidak disebut secara ditil. Oleh itu, berdasarkan qiyas (ratio decidendi), perkara baharu yang tidak disebut akan disamakan hukum dengan perkara lama yang telah disebut.

 

5. Sebab itu, dalam Seksyen 498, jika diandaikan lelaki yang menggoda isteri orang untuk tujuan persetubuhan dan zina, maka berdasarkan kaedah interpretasi makna, mafhum al-muwafaqah dan qiyas, mana² wanita yang menggoda suami orang untuk tujuan yang sama juga suatu kesalahan. Walaupun wanita tidak disebut, ianya tetap menjadi kesalahan. Namun oleh kerana undang-undang manusia itu sering dimanipulasi untuk melepaskan orang yang bersalah, maka benda yang paling mudah kita nak faham pun dijadikan kabur lalu dikata tidak berperlembagaan. Situasi ini tidak berlaku dalam undang-undang Islam.


6. Demikianlah kaedah memahami hukum syarak yang dipraktis dalam perundangan Islam. Berbeza halnya dengan undang-undang manusia, jika tidak disebut, maka difahami sebagai tidak menjadi kesalahan dan mewujudkan diskriminasi gender.


7. Sebab itu saya kata, undang-undang itu baku dan buta. Maka para pengamal undang-undanglah yang mesti celik untuk praktik maksud perundangan. Masalahnya, pengamal undang-undang kita tidak mahu mencelikkannya untuk selarikan rule of law Malaysia sebagai negara Islam, bukan negara bukan Islam.


Komentar ini sekadar melihat dari perspektif aplikasi ilmu Usul Fiqh dalam istinbat hukum syarak sahaja.


Dr HK

AJK PUM

17.12.2023