Perdebatan sama ada wajar atau tidak orang politik atau pemimpin politik dilantik sebagai pengerusi GLC serta agensi tertentu dalam kerajaan sepertinya akan terus berlanjutan dan tiada kesudahan yang muktamad mengenainya.
Bagi mereka yang ideal serta disaluti sedikit prasangka buruk kepada orang politik kononnya mereka ini lebih terdedah untuk menyalahguna kuasa dan kedudukan bila diberi jawatan, memang diketahui secara terbuka menolak lantikan sedemikian.
Bagi mereka, GLC atau agensi kerajaan mestilah dipengerusikan oleh orang profesional yang harus menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjanya serta terasing daripada kehidupan dan kecenderungan politik.
Kononnya lagi, hanya orang profesional yang tiada kecenderungan politik itu yang mampu menjana keuntungan dan mewujudkan nama baik bagi GLC dan agensi terbabit, seterusnya kepada kerajaan yang sedang memerintah.
Sebaliknya, bagi yang praktikal dan melihat kepentingan dalam sudut yang berbagai, mereka lebih melihat perlunya orang politik, kalau pun bukan untuk semua GLC dan agensi kerajaan, sebahagian besar daripadanya perlu diberi peranan tersebut.
Namun demikian, syarat itu bukan semata-mata atas kedudukan sebagai orang politik atau pemimpin politik semata-mata, tetapi mestilah turut disertai kelayakan, kebolehan dan juga kemampuan.
Tambahan lagi, orang politik dan pemimpin politik juga ramai yang terdiri daripada kalangan profesional serta mempunyai kelulusan akademik yang membanggakan.
Soalnya, wajar atau tidak lantikan orang politik atau pemimpin politik untuk mengetuai agensi kerajaan dan juga GLC atau peranan itu mesti diserah sepenuhnya kepada golongan profesional?
Yang mudah ialah begini – kerajaan itu sendiri dibentuk oleh gerakan parti politik dan orang-orang politik melalui PRU yang diadakan setiap lima tahun.
Parti yang menang atau memiliki majoriti akan diberi hak menubuhkan kerajaan, seterusnya ketua parti politik berkenaan biasanya bakal dilantik sebagai Perdana Menteri.
Makna kata, yang menjadi Perdana Menteri dan memegang stereng pentadbiran negara ialah pemimpin politik, begitu juga dengan menteri-menteri yang dilantik kemudiannya.
Sementara stereng dikawal oleh pemimpin politik, enjin kerajaan iaitu kakitangan awam sebagai jentera perlaksanana pula diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara atau Ketua Setiausaha bagi peringkat kementerian.
Di peringkat negeri juga begitu keadaannya di mana Menteri Besar atau Ketua Menteri adalah pemimpin politik, manakala Setiausaha Kerajaan negeri adalah penjawat awam yang merupakan ketua kepada kakitangam awamnya.
Jika pemimpin politik boleh diterima dan dipercayai untuk menerajui negara, negeri dan sebagai menteri, maka apa masalahnya jika orang politik turut menerajui GLC dan agensi kerajaan?
Bukankah di setiap GLC dan agensi kerajaan itu ada CEO atau Ketua Pengarah yang tentunya adalah golongan profesional atau kakitangan awam sendiri?
Kenapa setelah GLC dan agensi kerajaan sudah sedia memiliki CEO dan Ketua Pengarah daripada kalangan profesional serta kakitangan awam, jawatan Pengerusi atau peneraju GLC dan agensi kerajaan berkenaan hendak diserahkan juga kepada profesional?
Apakah dalam parti politik tiada golongan profesional dan mereka hanya layak berjuang memanjat poster dan menjerit ketika berkempen saja, manakala jawatan dalam GLC dan agensi harus diserahkan kepada golongan proesional yang terpisah daripada politik yang mana ketika kempen PRU diadakan, mungkin ada di antaranya sedang bercuti bersama keluarga di luar negara?
Untuk itu, meletakkan orang politik sebagai Pengerusi GLC dan agensi kerajaan hendaklah dilihat dalam konteks untuk memastikan perjalanan GLC serta agensi terbabit selari dengan aspirasi parti dan Perdana Menteri yang menerajui kerajaan.
Tiada gunanya GLC dan agensi kerajaan jika diterajui oleh orang profesional yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata, tetapi tidak peduli dengan aspirasi parti dan Perdana Menteri yang diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir negara.
Selain itu, dengan melantik orang politik menerajui GLC dan agensi kerajaan juga mampu mengukuhkan imej parti dari segi persepsi rakyat yang memberi undi dan memenangkan parti berkenaan.
Sebab akhirnya, yang harus kembali kepada rakyat untuk mendapatkan semula mandat ialah parti, Perdana Menteri dan menteri-menteri yang terdiri daripada orang politik belaka.
Mereka ini tentunya harus dibantu sama oleh GLC dan agensi-agensi kerajaan sebagaimana Perdana Menteri dan menteri-menteri juga dibantu oleh semua kementerian dalam program penyampaian kepada rakyat yang dilaksanakan setiap masa.
Begitu pun, sekali lagi ditekankan, semua lantikan daripada orang-orang politik itu mestilah berasaskan kelayakan, kemampuan, kebolehan serta kewibawan mereka dalam bidang yang berkaitan.
Bagi orang profesional, untuk kelayakan tambahan jika mereka ingin menerajui GLC atau agensi tertentu, masuklah berkecimpung dalam politik supaya setidak-tidaknya ada jiwa politik dalam diri mereka serta diketahui memahami perjuangan parti politik yang sedang berkuasa itu.
Tidaklah nanti jika mereka mengetuai GLC atau agensi kerajaan, bila berlaku banjir misalnya, mereka langsung tak terusik hati dan perasaan untuk memberi bantuan atau sebaik saja kempen PRU dilangsungkan, pilihan yang dilakukan ialah bercuti ke luar negara bersama keluarga tercinta. – ShahbudinHusin 29/12/2022.