Kami semua ‘Tukar Tiub


16  MEI  ADALAH  GURU,  MAKA  BELIAU  ADALAH "GURU  PILIHAN  JALANRAYA"


Hishamudin RaisHishamudin Rais
Tanggal 16 Mei ini akan menentukan samada aktivis sosial, Sdra Hishamuddin Rais aka Tukar Tiub aka Isham Rais, akan menempuhi hukuman penjara 9 bulan setelah disabitkan bersalah Mahkamah Tinggi pada 15 Januari lalu.
Atas hukuman tersebut, Isham Rais telah mengemukakan rayuan dan 16 Mei ini Mahkamah Rayuan Putrajaya akan menentukan samada rayuan Hishamuddin Rais diterima atau ditolak.
Tidak syak lagi, Isham Rais dihambat kerana kelantangan suara beliau yang tidak pernah mendiamkan kebobrokan pemerintah.
Lalu Akta Hasutan menjadi alat jahat pemerintah yang bukan sahaja digunakan ke atas Isham Rais, tapi ramai lagi pemimpinan pembangkang dan aktivis anak muda termasuklah Adam Adli dan Safwan Anang.
Mengapa kita semua adalah Isham Rais? Maka izinkan saya untuk berkongsi pandangan saya mengapa kita perlu menyatakan sokongan kita terhadap Hisham Rais, sekaligus mewajibkan kita membantah hukuman ke atas beliau.
YANG LESU, JADI BERMAYA. YANG BOSAN JADI BERTENAGA.
Begitulah keadaannya apabila Isham Rais menjadi panelis dalam mana-mana forum. Sepanjang pengalaman saya berforum bersama beliau, suasana akan berubah apabila tiba giliran beliau berucap.
Tanpa alas, tanpa berlapik, beliau akan melontarkan pandangan beliau secara jujur dan terbuka. Gurau senda beliau mengenai Rosmah adalah Suami Najib dan Najib adalah Isteri Rosmah pasti memecah gelak tawa hadirin.
Dalam nada gurau hujah Isham Rais tetap berbisa. Beliau begitu pasti apabila memperkatakan perubahan di Malaysia sukar untuk dicapai melalui Pilihanraya. Beliau berani untuk sinikal malah kritikal terhadap politikus yang menjaja nama rakyat untuk mengejar kepentingan peribadi. 
Tanpa kira pihak oposisi atau kerajaan, semua akan beliau pukul dengan hujah jika beliau merasakan ada yang tidak kena.
DEMONSTRASI JALAN RAYA, DULU, KINI DAN SELAMANYA.
Siapa yang boleh menafikan obsesi Isham Rais terhadap demonstrasi jalan raya. Tidak kira apa juga skala demonstrasi tersebut  dan  siapa juga penganjurnya.
Saya masih ingat sewaktu kami (Solidariti Mahasiswa Malaysia) bertempur dengan sebuah Kerajaan Negeri pada tahun 2011 mengenai isu penggantungan 6 pemimpin mahasiswa yang menuntut di sebuah Kolej Universiti milik Kerajaan Negeri tersebut.
Kami menganjurkan protes skala kecil dihadapan Pejabat Kerajaan Negeri berkenaan yang pada anggapan kami protes tersebut tidak dipedulikan banyak pihak. Tetapi setelah pulang ke Kuala Lumpur, sewaktu terserempak dengan Isham Rais di Bangsar, perkara pertama yang beliau ajukan ialah bagaimana dengan protes kami di Kedah.
Beliau sangat perihatin malah memberi semangat untuk kami jangan mengalah. Saya percaya tidak ada protes yang terlepas daripada kamus pengetahuan Hisham Rais.
PEJUANG TAK BERDUIT, TAK BERKERETA
Ke hulu ke hilir, Isham Rais hanya menaiki pengangkutan awam. Kadang-kadang menumpang anak-anak muda yang mahu menadah ilmu dan mendengar bacaan politik beliau yang seringnya tajam.
Berpuluh tahun memperjuangkan kebebasan rakyat, Isham Rais tidak pernah mengecapi kekayaan. Atas kerja keras Isham Rais melawan rejim, beliau tidak merasa hidup dalam rumah besar dan bersiar-siar dengan kereta mewah.  Isham Rais bukan pemburu ghanimah. Beliau bersuara tulus demi rakyat dan masyarakat tertindas. 
MEREKA HANYA BOLEH PENJARAKAN JASAD HISHAM RAIS
Jika rejim di atas sana percaya mereka boleh mengekang suara Hishamuddin Rais dengan memenjarakan beliau, maka mereka silap.
Jika mereka benar-benar mahu membunuh suara Hishamuddin Rais, maka mereka perlu memenjarakan ratusan malah ribuan anak muda yang telah mendapat sentuhan pencerahan daripada sosok ini. Idealisme dan cita-cita Hishamuddin Rais akan terus bebas dan membangun dalam jiwa serta minda anak-anak muda.
Ayuh anak muda, kita hadir ke Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 16 Mei ini. Tunjukkan solidariti kita bersama Tukar Tiub aka. Isham Rais aka. Hishamuddin Rais. Suarakan kebencian kita kepada undang-undang drakonian seperti Akta Hasutan.
Bebas#IshamRais #MansuhAktaHasutan

No comments: