KISAH MUSLIM DARI MINDANAO

 

Jamzuri Ardani


Saya terbaca satu kisah yang ditulis oleh seorang saudara muslim dari Mindanao. Kisah ini bagi saya agak unik. 


Beliau dilahirkan dalam keluarga muslim dalam masyarakat muslim di Mindanao yang hidup dalam suasana konflik dan ketegangan. Kekacauan, keganasan, ketakutan, dan kesusahan hidup yang dilalui oleh keluarga dan masyarakat sekitarnya menyebab beliau memandang sangat negatif terhadap Islam dan masyarakat Islam. Baginya tidak ada langsung kebaikan dan keindahan yang dilihatnya dari agama ini dan penganutnya. Itulah perspektifnya sebagai anak muda pada waktu itu. 


Beliau mencari jalan keluar dari kehidupan itu dengan bekerja keras mencari biaya sendiri untuk menyambung pelajarannya di universiti. 


Ketika di tahun akhir pengajiannya, dia berhadapan dengan perbalahan besar dengan seorang professor di universitinya. Professor itu, seorang wanita, terkenal dengan sikap kasar dan suka membuli pelajarnya. Masalah bermula bila dia terlepas satu kelas dengan professor tersebut atas sebab yang tidak dapat dielakkan. 


Sejak itu dia sering menjadi mangsa diejek, dihina, dan dimalukan oleh professor tersebut.  Walaupun dia sudah meminta maaf berkali-kali tetapi professor tersebut terus membulinya. Malah professor itu pernah mengugutnya untuk menggagalkan pengajiannya. Suatu hari professor tersebut memanggilnya dengan panggilan 'anak setan' dan ini benar-benar telah menyebabkannya hilang sabar. 


Beliau mula merancang untuk menyertai kumpulan militan yang sebelum ini sangat beliau benci bagi membalas dendam terhadap professor tadi. Lalu beliau mula melawat sesawang di talian untuk mencari jalan menyertai kumpulan tersebut. 


Tanpa diduga, pencarian ini membawanya untuk memahami Islam secara lebih mendalam dan beliau pun menghentikan hasratnya untuk menyertai kumpulan militan bagi membalas dendam. 


Malah beliau lebih tertarik dengan konsep tauhid dan kesucian pengabdian terhadap Tuhan. Beliau membaca pengertian ayat-ayat Quran dan hadith sehingga menyebabkannya lebih tenang dan mempunyai matlamat yang lebih jelas tentang kehidupan. 


Ditakdirkan Allah, beliau akhirnya berjaya juga menamatkan pengajian walaupun berhadapan pelbagai dugaan. Selepas tamat pengajian, beliau mengambil keputusan untuk kembali mengucap syahadah dan memulakan hidup baru sebagai seorang muslim yang yakin dengan ajaran agama ini. Tidak seperti sebelumnya dimana walaupun dia dilahirkan dalam keluarga muslim tetapi beliau sangat tidak menyukai agamanya sendiri. 


Kisah ini memberikan gambaran bahawa kehidupan yang berlatarbelakangkan konflik dan keganasan yang berpanjangan boleh menjauhkan generasi dari agama. Anak-anak yang lahir dalam keluarga muslim wajar diberi peluang memahami agama ini dalam suasana yang kondusif dan tidak dibebani dengan sentimen kebencian, permusuhan, ancaman, dan keganasan.