NAK JATUHKAN KERAJAAN MESTI BERANI SEPERTI ANWAR



Minggu lalu, sekali lagi timbul desas-desus mengenai komplot untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.


Kali ini komplot itu dikatakan akan dicetuskan melalui tindakan sejumlah Ahli Parlimen BN meletakkan jawatan secara serentak untuk memaksa pilihan raya kecil atau PRK diadakan.


Melalui PRK itu, Ahli-Ahli Parlimen yang meletakkan jawatan tadi akan bertanding semula sama ada atas tiket PN atau pun Bebas untuk membebaskan diri mereka daripada terus terikat dengan BN yang telah mengikrarkan sokongan kepada Anwar.


Seterusnya, melalui pakatan dengan parti-parti lain, mereka dikatakan akan bekerjasama memastikan Anwar hilang kedudukan sebagai Perdana Menteri.


Dikatakan lagi, perletakan jawatan Ahli Parlimen itu akan berlaku sekitar Jun depan agar PRK itu dapat diadakan serentak dengan PRN di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan serta Terengganu.


Walaupun Presiden MCA, Wee Ka Siong yang didakwa tahu mengenai komplot itu telah membuat penafian dan Timbalan Perdana Menteri, Fadilah Yusof juga turut menolak kemungkinan penglibatan GPS dalam komplot tersebut, namun cakap-cakap mengenainya terus berlegar dan perbualan tentang pertukaran kerajaan seolah-olah tidak pernah ada titik noktahnya.


Di waktu-waktu yang tidak menentu, sering saja timbul khabar angin mengenai gerakan mahu menukar kerajaan dan menjatuhkan Anwar.


Begitu pun, apa yang ketara, meskipun sudah beberapa kali tercetus berita mengenai perkara itu, yang musykil sekali ialah tidak diketahui siapa ketua yang merancangnya dan tidak disebut juga siapa calon Perdana Menterinya.


Baik ketika Hadi Awang, Tun Mahathir Mohamad atau pihak lain yang bercakap mengenai hasrat untuk menukar kerajaan, mereka juga tidak menamakan siapa calon Perdana Menteri yang bakal diangkat untuk menggantikan Anwar.


Dalam komplot terbaru yang tercetus minggu lalu, meski dilaporkan bahawa Mahiaddin Md Yasin akan jadi Perdana Menteri kiranya perancangan itu menjadi kenyataan, tetapi Presiden Bersatu itu sendiri tidak pernah mengia atau menafikannya sehingga sekarang.


Bahkan, berdasarkan gerak geri politiknya yang terlihat “sejuk” sejak kebelakangan ini, ramai yang sudah hilang keyakinan terhadap Mahiaddin.


Bagaimana seorang yang “sejuk” dan semacam tidak mengetuai sesuatu gerakan menjatuhkan kerajaan mahu dijadikan Perdana Menteri?


Lagi pun, beliau ada kes mahkamah sekarang ini, menonjolkannya sekali lagi sebagai calon Perdana Menteri mungkin akan menyebabkan wujudnya gelombang penolakan yang ketara daripada Ahli-Ahli Parlimen sendiri.


Dalam masa yang sama, walaupun diketahui bahawa Tun Mahathir memang mahu menjatuhkan Anwar, tetapi beliau sendiri tidak boleh dinamakan sebagai calon Perdana Menteri kerana bukan merupakan Ahli Parlimen.


Lebih daripada itu, beliau juga tidak pernah menamakan sesiapa untuk menjadi Perdana Menteri jika Anwar berjaya dijatuhkan.


Cubaan Tun Mahathir untuk berbaik-baik dengan pimpinan PN setakat ini masih tidak menampakkan kejayaan di mana majlis berbuka puasa anjurannya pada pertengahan Ramadan lalu tidak pun dihadiri Mahiaddin, Hamzah Zainuddin, Hadi atau lain-lain pemimpin daripada blok pembangkang.


Yang hadir ketika itu hanyalah Ahmad Faizal Azumu atau Peja bersama beberapa orang lagi wakil Bersatu yang tidak cukup besar nama mereka.


Jadi, siapa sebenarnya calon Perdana Menteri di sebalik seringnya wujud komplot mahu menjatuhkan kerajaan itu?


Kalau bukan Mahiaddin, adakah calonnya ialah Hamzah, Ketua Pembangkang sekarang?


Atau Hishammuddin Hussein?


Atau Ismail Sabri Yaakob bakal ditonjolkan sekali lagi?


Siapa? Siapa? Siapa?


Tidak kira bagaimana dan bila gerakan mahu menjatuhkan kerajaan itu mahu dijadikan kenyataan serta sama ada ia benar-benar mampu atau tidak menjadi realiti, salah satu faktor penting menjayakan perkara seperti ini ialah siapa ketua yang merancang dan siapa calon Perdana Menterinya.


Ia akan menjadi penentu sama ada rakyat menyokong atau menerima baik mengenainya.


Lihat bagaimana timbulnya gerakan mahu menukar kerajaan yang berlaku sebelum ini, ia bukan saja digerakkan oleh Anwar fanpa sembunyi, malah beliau sendiri menonjolkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri.


Meskipun gerakan itu tidak pernah menjadi kenyataan, namun setiap kali ia timbul dan menjadi bahan berita, keterujaan rakyat terlihat amat ketara.


Sebab itu, di sebalik cubaan menukar kerajaan tidak berjaya, Anwar melalui PH telah disokong rakyat dengan mendapat jumlah kerusi paling banyak dalam PRU15 lalu iaitu sebanyak 82 kerusi Parlimen, seterusnya bergabung dengan BN, GPS, GRS, Warisan dan lain-lain untuk membentuk kerajaan perpaduan.


Dalam erti kata lain, untuk menukar atau menjatuhkan kerajaan melalui apa jua gerakan politik, ketua gerakan tersebut dan siapa calon Perdana Menterinya mestilah jelas dan tidak disembunyikan.


Orang itu mesti berani menonjolkan diri sebagaimana beraninya Anwar sebelum ini.


Kalau siapa yang mengetuai gerakan pun tidak diketahui dan siapa calon Perdana Menteri juga masih tidak pasti, lebih baik hentikan saja kerja buang masa itu.


Baik Tun Mahathir, Hadi Awang dan lain-lain pemimpin yang mungkin akan bercakap lagi berkenaan menukar kerajaan selepas ini, harap jangan lupa sebut sekali nama calon Perdana Menteri yang ingin ditonjolkan itu.


Kerajaan tidak akan jatuh jika sekadar digempak oleh gerakan yang berkecamuk, tiada ketua dan calon Perdana Menteri yang tersipu-sipu malu untuk disebut namanya. – ShahbudinHusin 29/04/2023.


https://shahbudindotcom.net/