Adakah Ashabul Kahfi Kelompok Pengikut Ajaran al-Masih AS?


Marwan Bukhari


Para ulama tafsir dan sejarah berbeza pandangan tentang hal ini:


Pandangan pertama menyebut ia berlaku sebelum zaman al-Masih ‘Isa AS. Alasannya ialah soalan tentang ashabul kahfi ditanya oleh agamawan Yahudi, mereka hanya bertanya tentang kelompok mereka dan tidak akan bertanya tentang Kristian kerana permusuhan antara mereka dengan ajaran Kristian.


Menurut Wahb bin Munabbih: “Mereka ialah pemuda dari Rom yang masuk ke gua sebelum kelahiran al-Masih. Setelah al-Masih dibangkitkan, baginda menyebut kisah mereka. Kemudian Allah membangunkan pemuda-pemuda itu dari tidur panjang mereka. Waktu mereka dibangunkan adalah di antara zaman al-Masih dan Nabi Muhammad SAW.” (al-Ma’arif, Ibn Qutaybah)


Dalam tafsirnya, Ibn Kathir juga berpandangan bahawa peristiwa ini berlaku sebelum kelahiran al-Masih. Alasannya ialah soalan itu daripada kelompok Yahudi sebagaimana dalam asbab nuzul. Mereka tidak ambil berat tentang Kristian kerana perbezaan antara Yahudi dan Kristian. Walaupun begitu, Ibn Kathir menukilkan pandangan para ulama yang menyebut ashabul kahfi sebagai penganut ajaran al-Masih.


Ibn ‘Ashur dalam tafsirnya juga menyebut kecenderungannya bahawa peristiwa itu berlaku sebelum ajaran al-Masih ‘Isa kerana mengambil kira kepada hujah sebab nuzul itu juga. Menurutnya orang Yahudi berat hati untuk bertanya tentang Kristian. Bagi menyokong hujahnya, Ibn ‘Ashur menyebut di Tunisia ada gua yang menjadi tempat persembunyian orang Yahudi yang ditindas oleh Rom Carthage sebagaimana menurut kajian beberapa pendeta Kristian di sana.


Dalam masa sama, Ibn ‘Ashur menyebut bahawa gua-gua memang menjadi pilihan golongan Kristian yang ditindas suatu masa dahulu dan mereka turut membawa anjing untuk tujuan keselamatan. Kalau mati, mereka akan ditanam di gua itu. Atau boleh jadi kalau penindas membunuh orang Kristian yang ditindas itu, penindas akan menguburkan mereka di gua juga. Di Roumieh (Lubnan) juga ada gua besar seumpama ini.


Komen saya, mungkin ini juga faktor terdapat perbezaan gua kerana kes penindasan banyak, tapi akhirnya hanya ada satu yang betul-betul tepat sebagaimana kisah Ashab al-Kahf dalam al-Quran.


Pandangan kedua pula menyebut peristiwa itu berlaku selepas zaman al-Masih iaitu sekitar abad ketiga. Ibn ‘Ashur semasa menyebut pandangan ini mengiranya berlaku sekitar 237 Masihi. Al-Qasimi pula menukilkan pandangan daripada Maximos Mazlom, salah seorang Patriark Katolik Rom. Berdasarkan nukilan itu, sumber-sumber sejarah Kristian menyatakan peristiwa itu berlaku sekitar 252 Masihi. 


Ibn Athir dalam al-Kamil fi al-Tarikh menyebut bahawa peristiwa Ashabul Kahfi berlaku pada zaman Raja Dikyus atau Dikyanus. Mereka tinggal di bandar bawah pemerintahan Rom yang bernama Efesus. Rajanya menyembah berhala tetapi mereka mengikuti ajaran al-Masih.


Pandangan Ibn Athir ini cukup banyak terdapat dalam tafsir-tafsir.


Sementara itu, dalam kajian menarik oleh Dr Ahmad Majdub berjudul Ahl al-Kahf fi al-Taurah wa al-Injil wa al-Quran, beliau menyimpulkan bahawa kisah Ashabul Kahfi tiada dalam sumber-sumber Yahudi. Menurutnya, alasannya ialah para pemuda itu asalnya pengikut ajaran Yahudi yang beriman dengan al-Masih, sedangkan kelompok Yahudi umumnya menentang ajaran al-Masih AS.


Sumber-sumber sejarah Kristian turut menyebut kisah ini, antaranya ialah karangan Eutychius of Alexandria  atau turut dikenali sebagai di dunia Arab sebagai Said bin Bitriq. Beliau menyebut bahawa semasa lapan tahun pemerintahan Thawdhusiyus al-Kabir, pemuda-pemuda itu melarikan diri daripada Raja Dikyus dengan bersembunyi di gua di Efesus. Selepas itu mereka tertidur yang disangka satu malam sahaja, tapi tidur bertahun-tahun lamanya sebelum akhirnya bangun dan segalanya sudah berubah.


Ini menunjukkan sememangnya ada perbezaan pandangan dalam kalangan ulama tafsir dan sejarah Islam mengenai hal ini sama ada mereka pengikut ajaran al-Masih Isa atau tidak. Pandangan yang menyebut bahawa mereka pengikut ajaran al-Masih pun banyak, justeru tidak salah dan tidak bercanggah pun dengan ajaran Islam yang banyak menolak doktrin-doktrin ajaran Kristian kerana yang ditolak ialah selepas berlaku penyelewengan dan bukannya sebelum penyelewengan.


Selain itu, tidak pelik juga jika ada SEBAHAGIAN persamaan kisah-kisah al-Quran dengan kisah-kisah yang terdapat dalam Taurat dan Injil. Contohnya kisah Adam dan Hawa, kisah Yusuf, Musa, Isa, Maryam dan nabi-nabi lain. Sebabnya al-Quran ialah musaddiq  yang membenarkan kisah-kisah yang benar dan juga membetulkan maklumat yang salah. Al-Quran menyebut dirinya juga sebagai muhaymin iaitu rujukan tertinggi terhadap kitab-kitab sebelumnya.


Kewujudan persamaan dalam kisah tertentu tidak bererti sama sepenuhnya kerana cukup banyak perbezaan yang terperinci, malah al-Quran juga menyebut banyak perkara yang tidak disebut dalam kisah-kisah dahulu. Anda boleh dapati kajian ini dalam buku Fenomena al-Quran oleh Malik bin Nabi, Madkhal Ila al-Quran oleh Allama Muhammad Diraz dan The Prophet of Joseph oleh Loay Fatoohi yang kesemuanya memberi perhatian tentang kisah Nabi Yusuf AS.


Malah menurut Diraz dalam al-Naba’ al-‘Azim, salah satu objektif al-Quran menyebut kisah-kisah dalam al-Quran ialah memberi kata putus tentang perselisihan ahli kitab. Jadi, memang ada sebahagian persamaan, tetapi dalam masa sama al-Quran membetulkan yang salah, mengiyakan yang benar dan juga mendatangkan hal-hal yang tidak pernah disebut dalam kitab-kitab mahupun sumber-sumber terdahulu.


Berbezalah Tanpa Menyesatkan


Oleh sebab itu, kalau ada sesiapa yang tidak bersetuju pun dengan ucapan PMX tentang kisah Ashabul Kahfi sebagai pemuda-pemuda pengikut ajaran Kristian, maka kita tahu bahawa banyak ahli tafsir menyebut demikian sekiranya beliau maksudkan Kristian pengikut ajaran Isa sebelum berlaku penyelewengan sebagaimana naratif Islam. Jadi, tidak perlu mudah menuduh “sesat” dan sebagainya kepada beliau. Kalau ada salah, boleh betulkan maklumatnya tanpa dituduh sesat.


Tindakan sebahagian penceramah agama yang laju menyebut “sesat”, “munafik”, “kafir”, selain gemar menyebut “bodoh” dan membuat lawak lucah hanya merosakkan minda umat Islam yang jujur mencari ilmu agama. Masyarakat pula perlu lebih berhati-hati dan menyemak sebelum menerima setiap perkara yang keluar dari agamawan terutama yang mudah menyesatkan orang lain.