Filem Anwar – The Untold Story yang mengisahkan liku-liku
perjuangan Presiden PKR itu dalam politik negara yang tayangan perdananya
diadakan dua hari lalu, secara umumnya mengundang dua respon terbuka di media
sosial.
Filem itu dibikin sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri lagi dan
akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 18 Mei ini.
Bagi penyokong dan mereka yang terlibat dalam gerakan reformasi
sejak 1998, terbitnya filem itu tentunya suatu kebanggaan dan dokumentasi
kejayaan yang amat mengharukan.
Ditambah dengan tayangannya setelah Anwar berjaya menjadi
Perdana Menteri, semacam sudah terbayar segala derita selama ini.
Anwar sendiri menyebut filem tersebut adalah kenangan pahit yang
sebenarnya ingin dilupakannya kerana sebahagian detiknya melukakan jiwa dan
keluarganya, lalu beliau tidak mampu mengulas panjang mengenainya.
Selain Anwar pasti sebak ketika menontonnya, rata-rata
penyokong, pendokong dan mereka yang terlibat dengan gerakan reformasi juga
tentu sedemkian perasaan yang datang menerpa.
Bagi yang tidak menyokong, malah membenci Anwar, respon mereka
jelas terlihat penuh dengan cercaan dan sindiran yang seolah-olah filem itu
tidak bernilai sama sekali.
Pelbagai elemen sindiran, kecaman dan kutukan diolah untuk
memburukkan filem itu, walaupun mereka belum lagi menontonnya.
Sebagaimana Anwar bukanlah manusia sempurna, menggarap sebuah
filem daripada liku-liku perjuangan beliau yang lamanya lebih 20 tahun pasti
juga jauh daripada kesempurnaan.
Memendekkkan beribu detik perjuangan dalam tempoh lebih 20 tahun
kepada sebuah filem yang hanya selama 90 minit bukanlah suatu kerja yang mudah.
Melakukan penyelidikan, memikir dan memilih detik-detik yang
harus djadikan babak filem saja boleh mengundang serabut serta pening kepala.
Tetapi, yang tidak dinafikan ialah Anwar memang seorang tokoh
politik yang ada daya tarikan untuk kisahnya difilemnya, terutama dari segi
semangat, kekuatan jiwa dan kentalnya mempertahankan perjuangan yang
diyakininya.
Seperti kuatnya semangat beliau mahu terus hidup setelah dipukul
setengah mati dan dibiar tanpa rawatan beberapa hari dalam lokap polis ketika
awal penahanannya dahulu, begitulah juga kuat semangatnya untuk memastikan PKR
dan perjuangan reformasi tidak mati, di sebalik banyak cabaran, dikhianati dan
ditinggalkan kawan sepanjang meniti jalan perjuangan.
Pemimpin lain, meskipun ada liku perjuangan masing-masing yang
berbeza, tiada yang melalui cabaran dan dugaan sehebat Anwar.
Paling menarik sekali, di sebalik semua cabaran, tentangan dan
pengkhianatan yang dihadapinya, beliau akhirnya berjaya menjadi Perdana
Menteri.
Pemimpin lain, sementara ramai yang kecundang dalam mengejar
cita-cita, yang berjaya jadi Perdana Menteri pula ada di antaranya seperti
tidak melalui apa-apa perjuangan yang bukan saja tidak pernah keluar darah,
malah peluh pun semacam tidak menitik.
Maka itu, menjadikan filem daripada kisah perjuangan Anwar
adalah sesuatu yang tepat sebagai teladan dan untuk rangsangan kepada generasi
mendatang.
Boleh saja untuk sesiapa mencerca, mengutuk dan melontarkan
sindiran, tetapi jangan lupa, Anwar memang subjek yang menarik dan ada isi
untuk difilemkan.
Begitu pun, sebagai jalan sihat dalam persaingan dan mengambil
kira kisah perjuangan Anwar yang difilemkan ketika beliau masih lagi hidup,
pemimpin-pemimpin lain yang sedang bersaing, berlawan dan membenci Pengerusi PH
itu seharusnya juga ada keinginan untuk memfilemkan kisah perjuangan mereka
bagi tontotan penyokong dan rakyat seluruhnya.
Kalau tidak ada produksi yang sanggup keluar modal, mereka
sendiri pun atas kekayaan peribadi atau melalui kutipan derma daripada
penyokong pasti berupaya membiayai kosnya.
Kemudian, sebagai perbandingan dengan filem Anwar – The Untold
Story – cuba lihat pula bagaimana bentuk ceritanya dan apa pula agaknya respon
rakyat atau netizen – sekadar membayangkan – andainya kisah ‘untold story’ Tun
Mahathir Mohamad, Mahiaddin Md Yasin atau Hadi Awang dijadikan filem? –
ShahbudinHusin 10/05/2023.