Takiyuddin
Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, kuasa mengecualikan dan membuat peraturan harus
dipegang oleh ketua negara, seperti di negara lain.
RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara
Asing 2023 diluluskan dengan undi majoriti Dewan Rakyat selepas Azalina
membentangkannya untuk bacaan kali ketiga. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen
pembangkang hari ini membangkitkan kebimbangan berhubung fasal berkaitan
peranan dan kuasa perdana menteri yang digariskan dalam Rang Undang-undang
Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023.
Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu)
mempersoalkan kuasa penting diberikan kepada perdana menteri, bukannya Yang
di-Pertuan Agong, yang diperuntukkan dalam Fasal 32 dan 33 RUU tersebut.
“(Kedua-dua fasal ini) dengan
jelasnya menyatakan bahawa kuasa mengecualikan (negara lain) dan juga kuasa
membuat peraturan diberikan kepada perdana menteri, bukan perdana menteri dalam
majlis kekebalan negara asing.
“Jadi dalam hal ini, saya merasakan
bahawa ia agak berbeza dengan undang-undang di negara-negara lain yang terlebih
awal dibuat daripada kita,” katanya dalam Dewan Rakyat selepas mencelah dalam
ucapan penggulungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan
Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Takiyuddin berkata, kuasa serupanya
lazimnya dipegang oleh raja-raja atau ketua negara, memetik peruntukan dalam
Akta Kekebalan Negara 1978 di United Kingdom dan Akta Kekebalan Negara Asing
1985 Australia.
“Jika bukan kuasa mutlak, kuasa yang
sangat luas diberikan kepada perdana menteri. Sedangkan dalam undang-undang di
negara lain, (kuasa) diberikan kepada Ratu, ataupun ‘governor-general’, dan
juga presiden atau ketua negara,” katanya.
Ketika membentangkan RUU itu untuk
bacaan kali kedua semalam, Azalina berkata, Fasal 30 memberikan kuasa kepada
perdana menteri untuk membatalkan mana-mana atau semua kekebalan negara asing
jika Malaysia tidak menerima kekebalan serupa bawah akta yang dicadangkan.
Katanya, Fasal 32 memberikan kuasa
kepada perdana menteri untuk mengecualikan mana-mana negara asing daripada
peruntukan khusus dalam akta itu, dengan kuasa mengenakan syarat atau sekatan
yang perlu atau difikirkan sesuai.
Fasal 33 pula memberikan kuasa
kepada perdana menteri untuk menggubal peraturan yang dianggap sesuai atau
perlu untuk menguatkuasakan sepenuhnya atau mempertingkat pelaksanaan
peruntukan akta itu, tambahnya.
Azalina juga berkata, akta yang dicadangkan
itu memerlukan penubuhan sebuah majlis untuk membincangkan dan membuat
keputusan mengenai perkara yang berkaitan dengan kekebalan negara asing.
Menjawab Takiyuddin, Azalina
berkata, negara-negara yang disebut dalam contoh diberikan Ahli Parlimen Kota
Bharu itu tidak mempunyai majlis seperti Malaysia.
“Majlis kita lebih daripada satu
orang. Perlindungan yang kita beri lebih banyak daripada Canada, Australia dan
juga UK, seperti yang YB sebut,” katanya.
Azalina juga berkata, isu berkenaan
kekebalan di mahkamah Malaysia harus mempertimbangkan undang-undang tatacara
yang ditetapkan, bukan bergantung kepada peruntukan perlembagaan semata-mata.
Rang undang-undang itu diluluskan
dengan undi majoriti selepas Azalina membentangkannya untuk bacaan kali ketiga.
RUU merangkumi 33 fasal itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9
Nov tahun lepas.