Perkara pokok yang paling mudah untuk difahami dalam kenyataan media Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasition Ismail semalam ialah usul tambahan UMNO itu jelas tidak sah mengikut buku undang-undang RoS dan ia kemudian terpaksa disahkan melalui kuasa budi bicara menteri.
Ia berikutan Saifuddin mengecualikan UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 yang gagal dipatuhi parti itu dengan menggunakan kuasa budi bicara yang ada padanya.
Salahkah menteri menggunakan kuasa budi bicaranya?
Dalam hal ini, walaupun Saifuddin dibenarkan menggunakan kuasa budi bicara berdasarkan Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, prinsip budi bicara itu sekurang-kurangnya ada dua:
Pertama, kuasa budi bicara bukan bermakna menteri bebas berbuat apa saja.
Kedua, kuasa budi bicara mesti disertai justifikasi yang wajar agar ia tidak bertukar menjadi salah guna kuasa.
Contoh – apabila polis menahan seorang tua menunggang motorsikal yang tidak sedar lesen memandunya baru dua hari telah tamat tempoh dan kemudian melepaskannya, itu adalah kuasa budi berasaskan simpati serta kemanusiaan.
Ia boleh diterima dan dianggap wajar.
Tetapi, bila seorang penunggang motorsikal lain ditahan dan memang langsung tidak mempunyai lesen memandu, apabila polis melepaskannya begitu saja ia akan menjadikan polis dianggap telah melakukan salah guna kuasa.
Lebih merupakan salah guna kuasa jika pembebasan itu disebabkan penunggang motorsikal berkenaan ada hubungan tertentu dengan polis yang menahannya itu.
Tindakan ini pula boleh dikaitkan dengan konflik kepentingan iaitu kuasa budi bicara yang menjurus salah guna kuasa disebabkan ada kepentingan.
Sebab itu, dalam kes usul tambahan UMNO yang sebenarnya tidak sah di sudut undang-undang RoS, namun dijadikan sah melalui kuasa budi bicara Menteri Dalam Negeri, faktor memberi pengecualian itu diberi harus diambil kira.
Apakah memberi pengecualian itu kerana UMNO merupakan rakan utama dalam kerajaan perpaduan yang ada sekarang?
Jika begitu, tidakkah ia mempunyai unsur-unsur konflik kepentingan?
Persoalan di sini, kiranya ada parti lain dalam blok pembangkang misalnya dan mereka juga berdepan masalah yang sama, apakah Saifuddin sedia menggunakan budi bicara yang sama daripada segi pengecualian itu?
Selain itu, apakah kuasa budi bicara yang digunakan Saifuddin itu disebabkan hubungannya yang rapat sejak sekian lama dengan Zahid Hamidi?
Bagi mereka yang banyak sikit makan garam, tentu tahu bahawa ketika di dalam UMNO dahulu, Saifuddin adalah dikenali sebagai “budak” Zahid Hamidi.
Ketika Zahid Hamidi memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO sessi 1996-1999, Saifuddin adalah Penolong Setiausaha Pemuda UMNO.
Jawatan itu adalah lantikan oleh Zahid Hamidi selaku Ketua Pemuda UMNO.
Sebelum itu, sewaktu Zahid Hamidi menjadi Ketua Penerangan Pemuda UMNO di mana Najib Razak adalah Ketua Pemuda UMNO, Saifuddin berkhidmat dengan Yayasan Gerak Bakti, sebuah yayasan milik Pemuda UMNO.
Hari ini, walaupun berlainan parti, kedua-duanya berada di dalam kerajaan yang sama dengan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Saifuddin selaku Menteri Dalam Negeri di mana sebelumnya mereka terpisah perjuangan seketika susulan pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998.
Kembali kepada topik utama, berasaskan apa sebenarnya kuasa budi bicara yang digunakan oleh Saifuddin dalam menyelamatkan UMNO yang diketuai Zahid Hamidi yang sedang berdepan masalah dengan RoS, bukan saja usul tambahannya tidak sah, malah kemungkinan dibatalkan pendaftaran? – ShahbudinHusin 08/03/2023.