Saya mengikuti dengan dekat laporan mengenai langkah-langkah yang sedang diambil untuk memperbaiki kedudukan kewangan Tabung Haji.
Kedudukan kewangan Tabung Haji nampaknya parah, seperti yang dilaporkan oleh The Edge Market semalam
Sekarang ini, bagi setiap RM1 hutang yang ditanggung Tabung Haji, nilai aset yang ada (dan boleh dilupuskan, jika perlu) untuk membayar hutang-hutang itu hanyalah 80 sen. Maksudnya, Tabung Haji tidak berkemampuan untuk membayar hutang-hutangnya sekarang.
Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Saya telah turun naik mahkamah, keluar masuk lokap menyatakan perkara ini. Ramalan dan unjuran kewangan yang saya pernah terbitkan, ternyata tepat.
Fokus kita sekarang ialah bagaimana memperbaiki kedudukan kewangan Tabung Haji tanpa ia memberi kesan yang mendalam kepada pendeposit-pendeposit, terutamanya yang miskin.
Dalam keadaan sekarang, ada beberapa kesan kewangan yang terpaksa ditanggung oleh pendeposit:
1) Secara undang-undang, Tabung Haji tidak boleh mengisytiharkan dividen. Kesannya besar – yang kurang kaya dan menabung, mereka menunggu lebih lama untuk mencukupkan simpanan untuk ke Mekah, kerana tiada lagi keuntungan atas simpanan mereka. Kesan yang lebih besar ialah apabila penabung yang kaya mengeluarkan simpanan mereka kerana mereka tidak mendapat keuntungan dari menabung di Tabung Haji. Ini akan menyebabkan kedudukan kewangan Tabung Haji makin parah, tidak ubah seperti “ibarat sudah jatuh ditimpa tangga”.
2) Tabung Haji terpaksa mencatatkan keuntungan dari operasi yang lebih tinggi untuk menutup penyelewengan di masa lalu. Ada dua cara meningkatkan keuntungan – sama ada memotong kos operasi atau menaikkan harga pakej haji.
Saya bimbang jika pengurusan Tabung Haji mengambil langkah menaikkan harga pakej haji (sama ada dengan memotong subsidi yang diberikan selama ini, atau betul-betul menaikkan harga pakej).
Saya faham keadaan kewangan Tabung Haji sekarang dan perkara yang paling mudah ialah menaikkan harga pakej (atau memotong subsidi haji) kerana kerosakan di Tabung Haji adalah disebabkan pentadbiran yang dulu.
Namun, saya suka mengingatkan pengurusan Tabung Haji dan kerajaan Pakatan Harapan bahawa tindakan yang bertanggungjawab mestilah melibatkan penelitian ke atas setiap kos yang terbabit di dalam pengendalian operasi haji:
1) Apakah tiket penerbangan benar-benar harga yang terbaik?
2) Apakah kos penginapan di Mekah telah dirunding dengan terbaik?
3) Apakah semua kos lain yang ditanggung dan dikenakan ke atas jemaah haji memberi nilai terbaik?
Oleh itu, saya menyeru supaya Tabung Haji menubuhkan satu pasukan bebas untuk menjalankan audit menyeluruh ke atas operasi pengendalian haji untuk memastikan tidak ada unsur rasuah, penyelewengan, komisen dan sebagainya.
Ini bagi memastikan kos haji yang dikenakan ke atas setiap jemaah haji adalah kos yang benar; bukan termasuk unsur-unsur keuntungan yang tidak patut dan diwarisi dari pengurusan dahulu.
Audit operasi yang bebas ini bolehlah dijalankan sebagai sebahagian dari proses penstrukturan semula Tabung Haji, seperti yang hendak diumumkan dalam masa terdekat.
Jika proses penstrukturan itu hanya melibatkan penstrukturan korporat (melalui satu SPV, seperti yang dilaporkan) tetapi tidak mengaudit keseluruhan struktur kos pengendalian haji, saya bimbang kepentingan jemaah haji dan pendeposit akan terabai.
Rafizi Ramli
6 Disember 2018