Azmin : Umno-JPN Bersekongkol Supaya Warga Asing Boleh Mengundi






SHAH ALAM 29 MAC : Umno dan Jabatan Pendaftaran Negara dilaporkan bersekongkol menyediakan kad pengenalan untuk pendatang asing supaya mereka mengundi parti itu pada pilihanraya umum akan datang.

ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang membuat pendedahan itu berkata, ketua Umno cawangan tertentu dan kakitangan JPN “membuka kaunter’ di lokasi-lokasi tertentu di luar waktu pejabat bagi mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing.

Berucap di sidang Dewan Negeri Selangor, Azmin berkata usaha-usaha licik juga sedang dilakukan untuk membawa penyokong-penyokong tegar Pakatan Rakyat keluar daripada Selangor bagi mencerahkan peluang BN merampas balik negeri ini pada PRU akan datang.

“Kita akan teliti pengundi yang dibawa keluar dari Selangor dan pengundi yang dibawa masuk ke Selangor,” kata beliau ketika menyertai perbahasan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Pada suku tahun ketiga 2010, seramai 130,097 mendaftarkan diri sebagai pengundi baru di negeri Selangor terdiri di kalangan generasi muda.

Azmin menggesa kerajaan negeri Pakatan Rakyat memantau JPN kerana agensi itu dilihat campurtangan dalam aliran politik negara.

"Kerajaan (Pakatan Rakyat) harus memantau JPN sebab terdapat sumber sahih JPN mengeluarkan kad pengenalan di luar waktu pejabat dan lokasi yang mencurigakan dan turut hadir ketua-ketua Umno cawangan mengeluarkan kad-kad pengenalan kepada warga asing mahu jamin kuasa," katanya.

Dalam pada itu, Azmin turut mengecam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mampu mengekang amalan rasuah secara terang-terangan apabila Pilihan Raya Kecil sejak tahun 2008 dan pada Pilihan Raya Negeri yang akan berlangsung di Sarawak.

Beliau berkata kecenderungan SPR memihak kepada Umno terserlah menerusi kegagalan badan itu bertindak terhadap Perdana Menteri Najib Razak kerana menawarkan sogokan secara terang-terang khususnya kepada pengundi di Sibu tahun lalu dan Merlimau baru-baru ini.

"Nyata sekali SPR bertindak bagi mewakili kepentingan UMNO dan BN bukannya rakyat. Media yang tidak adil, malahan memutarbelitkan kenyataan Pakatan Rakyat dan membakar sentimen perkauman sempit menjadi hidangan harian media milik UMNO," ujar Azmin lagi.

No comments: