BERITA GEMBIRA UNTUK WANITA, ANWAR PANTAS BUAT KERJA

 

Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia mendapat kewarganegaraan.

Pindaan itu dijangka dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat semasa selepas memenuhi keperluan undang-undang, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said dalam kenyataan bersama.

“Kesan daripada keputusan hari ini adalah anak yang lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara Malaysia berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang menurut Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka.

Bulan lepas, Azalina berkata, memo Jemaah Menteri yang mencadangkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan ibu mewariskan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara akan diserahkan tidak lama lagi.

Dalam kenyataan mereka, Saifuddin dan Azalina berkata, cadangan pindaan Perlembagaan itu adalah untuk menggantikan perkataan “bapanya” dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan “sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya”.

“(Ini) bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka.

Mereka berkata, pindaan lain berkaitan kewarganegaraan akan dikaji dengan lebih terperinci oleh jawatankuasa yang ditubuhkan bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan dimuktamadkan, dengan mengambil kira libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

“Perkara ini sejajar dengan komitmen kerajaan perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki, menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di Malaysia,” kata mereka.

Tambah mereka, pindaan tersebut bertujuan “mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan yang timbul, menyelesaikan lambakan kes tertunggak bagi wanita terkesan yang memohon kewarganegaraan anak mereka melalui pendaftaran yang mengambil masa terlalu lama dan
tidak munasabah”.

Selain itu, pindaan tersebut diharapkan dapat memberikan tafsiran yang jelas dan mengelakkan tafsiran berbeza dari mahkamah.

Ogos lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia tidak berhak mendapat kerakyatan automatik kerana Perlembagaan hanya memperuntukkan kewarganegaraan melalui bapa.

Dalam penghakiman 2-1 yang memihak kepada kerajaan, mahkamah memutuskan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia boleh dinafikan kewarganegaraan kerana perkataan “bapa” dalam Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan berkaitannya dalam Jadual Kedua adalah “jelas dan tidak taksa”, dan tidak boleh ditafsirkan untuk merangkumi ibu.

Keputusan itu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September 2021 bahawa kerajaan mesti memberikan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia kerana perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua perlembagaan mesti bermakna dan merangkumi ibu.

Dalam membenarkan beberapa relief pengisytiharan yang diminta oleh NGO dan enam ibu bahawa peruntukan tertentu mengenai kewarganegaraan dalam Perlembagaan bersifat diskriminasi, hakim Akhtar Tahir berpendapat, ibu berhak untuk memberikan kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang dalam semua proses, sama seperti bapa.

No comments: