MRT dimanjakan kerajaan, pengguna KTM Komuter dibiar sengsara



KUALA LUMPUR, 8 OKT: Dengan kepadatan penduduk yang tinggi, Lembah Klang memerlukan sistem jaringan pengangkutan awam yang efektif bagi menjamin kepuasan pengguna yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan itu.
Jika salah satu daripada beberapa penyedia perkhidmatan berkenaan menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan, ia akan turut menjejaskan keseluruhan sistem jaringan tersebut.
Ini yang sekurang-kurangnya dirasai pengguna Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter apabila mendakwa pengendali pengangkutan awam paling lama itu tidak serius dalam menaik taraf perkhidmatannya berbanding LRT, Monorail dan MRT.
“Sering tak tepati masa,” luah seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai J, 23, kepadaRoketkini apabila ditanya mengenai perkhidmatan KTM Komuter.
Menurut beliau, KTM Komuter perlu menambah kekerapan operasinya bagi mengelakkan pengguna daripada menunggu terlalu lama.
Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming dalam kenyataannya baru-baru ini mendedahkan bahawa lebih RM1 bilion dibelanjakan kerajaan bagi meningkat kualiti perkhidmatan KTM Komuter melalui projek menaik taraf Landasan Berkembar Lembah Kelang (KVDT).
Zurin Jazlin,19, tidak keberatan untuk membelanjakan lebih wang untuk jaminan keselesaan
Bagaimanapun, katanya, kebolehpercayaan orang awam terhadap perkhidmatan KTM Komuter masih ditahap yang rendah.
“Kejadian keretapi tergelincir dan tiba lewat telah mengurangkan kebolehpercayaan KTM Komuter sehingga pengguna berpotensi berfikir dua kali untuk menaiki pengangkutan awam berbanding memandu kenderaan sendiri,” ujarnya.
Menurut laman sesawang Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD), operasi projek KVDT akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada awal suku ketiga 2016 dan dijangka berakhir pada 2019.
Projek itu termasuk kerja-kerja membaik pulih landasan dengan jarak 42 kilometer dari Rawang ke Salak Selatan dan Sentul ke Simpang Batu. Ia turut melibatkan projek menaik taraf 16 stesen di sepanjang laluan tersebut.
Bagi Zurin Jazlin,19, pula perkhidmatan keretapi elektrik yang diperkenalkan KTM Berhad dengan penjenamaan ETS banyak memberikan kesenangan kepada beliau yang sebelum ini sering berulang alik dari Tanjung Malim, Perak ke Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
“Berbanding keretapi biasa (KTM Antarabandar), ETS lebih selesa,” katanya yang merupakan bekas pelajar di Matrikulasi Pulau Pinang.
Mengakui bahawa harga tambang ETS tinggi, beliau bagaimanapun tidak keberatan untuk membelanjakan lebih wang untuk jaminan keselesaan.
“Ya, harga lebih mahal daripada harga KTM biasa, tetapi dalam aspek keselesaan, saya lebih selesa memilih ETS untuk perjalanan jarak jauh,” katanya sambil menyifatkan harga tambang ETS yang mahal setimpal dengan apa yang disediakan pihak KTM.
ETS memulakan operasinya pada Julai 2015 dan dikendalikan KTM Antarabandar. ETS dikuasakan menggunakan unit berganda elektrik dan mampu mencapai kelajuan maksimum pada 160 km perjam.
Asima, 34, pengguna tetap KTM Komuter mengakui pernah terpaksa menunggu antara 15 minit sehingga 30 minit untuk keretapi tiba dan kadang-kala lewat daripada masa yang dijanjikan.
Asima, 34, berpendapat KTM perlu banyak penambahbaikan
“Perlu sangat penambahbaikkan, berbanding Monorail dan MRT, (perkhidmatan) KTM terlalu perlahan,” ujarnya.
Beliau berpandangan, aspek kepuasan pengguna perlu dipertingkatkan terlebih dahulu sebelum kerajaan boleh memikirkan untuk melaksanakan projek pengangkutan awam yang lain seperti projek MRT.
MRT atau Aliran Transit Massa yang diletakkan di bawah kendalian Prasarana Malaysia Berhad dianggap sebagai pencapaian tertinggi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak oleh pengikut pro UMNO-Barisan Nasional (BN).
Projek yang masih dalam peringkat fasa satu daripada tiga fasa itu didakwa menelan belanja hampir RM100 bilion – satu jumlah yang dianggap mahal oleh pengkritik dan pihak pembangkang.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan pada Julai berkata projek mega itu merangkumi rel sepanjang 150km dan sebanyak RM40 bilion peruntukan telah diumumkan kerajaan.
Beliau turut mendakwa kerajaan bakal berbelanja lebih bagi projek itu dengan merujuk kos pembinaan fasa satu yang memakan belanja lebih RM20 bilion.
“Jika fasa pertama yang hanya sejauh 53km sudah menelan RM21 bilion daripada bajet tersebut, tidakkah projek ini secara keseluruhannya melepasi bajet asal?” ujarnya.
Dalam kerajaan berbelanja berbilion ringgit wang negara bagi membangunkan MRT, ada pihak yang terkilan dengan tindakan kerajaan yang dilihat meminggirkan KTM – salah satu pembangunan yang dilaksanakan ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir merupakan pengkritik tegar pentadbiran Najib dan kini mengepalai gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam misi menumbangkan UMNO-BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ada persoalan yang harus dijawab, adakah Najib Razak benar-benar jujur membelanjakan wang negara – yang sememangnya berpunca daripada cukai yang dibayar rakyat – demi membangunkan negara, atau semata-mata untuk memadam legasi Dr Mahathir dan memancing undi memandangkan PRU semakin hampir dengan belanja yang maha besar?
Jika tidak, mengapa perkhidmatan KTM dipinggirkan dan tidak dibela sepertimana tindakan kerajaan membelanjakan sejumlah wang yang besar dalam projek MRT? –

No comments: