Mursyidul Am, Presiden PAS sokong Najib, PAS diheret sokong BN?

Mursyidul Am, Presiden PAS sokong Najib, PAS diheret sokong BN?
Mursyidul Am, Presiden PAS sokong Najib, PAS diheret sokong BN?

Mursyidul Am, Presiden PAS sokong Najib, PAS diheret sokong BN?

Selepas Presiden PAS Hadi Awang menyokong penuh Najib dan membela PM yang diserang bertubi-tubi oleh Dr Mahathir itu, seorang lagi tokoh penting yang sebelum ini rapat dengan Umno menyatakan sokongan padu kepada Najib.

Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din adalah pemimpin tertinggi PAS terbaharu yang menolak cadangan menggantikan PM. Dipetik Berita Harian, Haron berkata Najib perlu diberi peluang untuk membetulkan keadaan. Tegas beliau, Najib perlu dikekalkan berdasarkan mandat yang diberikan kepadanya dalam pilihan raya lalu.

“Berilah peluang kepada Najib perbetulkan apa yang perlu,” Haron dilaporkan berkata.

Mengenai kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Haron berkata, beliau masih menunggu hasil siasatan sama ada kes itu benar-benar berlaku, atau sekadar spekulasi dan persepsi semata-mata.

“Jika betul Najib melakukan kesilapan dan kecuaian dalam membuat keputusan… beliau kena bertanggungjawab.
“Selagi belum ada bukti, saya mahu bersikap tunggu dan lihat. Namun jika terbukti apa yang dilakukan dalam 1MDB kerana kesilapan sendiri maka wajarlah perdana menteri membayar harga yang tinggi untuk itu,” katanya.

Bahayakan survival PAS

Bukan sahaja ahli PAS tetapi ahli Umno pun akan menggeleng kepala dengan sikap Haron yang ingin tunggu dan lihat ini. Sebahagian ahli Umno percaya Najib terlibat dalam perkara yang didakwa Mahathir; salah urus dana, kronisme atau kontroversi pembunuhan Altantuya.

Cuma bagi mereka, Najib tidak akan disiasat selagi mana beliau adalah PM yang boleh mengarahkan agensi di bawahnya. Oleh itu, Haron dilihat terlalu naif apabila ingin menunggu bukti siasatan dan pendakwaan mahkamah terlebih dahulu sebelum mahu menggesa Najib melepaskan jawatan.

Apa yang dilakukan Haron dan Hadi ini amat merbahaya kepada survival politik PAS. Najib dikecam rakyat kerana melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Rakyat semakin faham apa tujuan GST yang dikutip apabila 1MDB berhutang RM42 bilion. Dan rakyat marah bila Tabung Haji digunakan untuk menyelamatkan syarikat kesayangan Najib itu.

Oleh itu, apakah ertinya pemimpin tertinggi PAS menyokong Najib? Persepsi rakyat mudah. Mereka akan menganggap pemimpin itu mungkin mendapat imbuhan daripada Umno. Kesilapan fatal seperti ini tidak akan dibuat oleh pemimpin PAS terdahulu seperti Fadzil Noor atau Nik Aziz Nik Mat.

Terdapat banyak polisi Umno BN yang menguntungkan rakyat dan boleh disokong, bukannya seorang PM yang terbelit dengan skandal penyelewengan serta pembunuhan.

Harus menyeleweng dana

Sokongan presiden dan mursyidul am ini boleh sahaja disalah anggap oleh ahli bawahan PAS sebagai fatwa yang mensucikan Najib. Ahli PAS selepas ini mungkin menganggap menyelewengkan dana adalah ‘harus’ dalam Islam demi mengekalkan kepimpinan politik Melayu.

Perihal mengkritik atau meminta pemimpin BN meletak jawatan telah pun dimuktamadkan pada era Fadzil dan Nik Aziz sebagai dibenarkan dalam politik Islam. Pemimpin yang menyeleweng dan rasuah tidak layak mentadbir negara.

Tidak perlu menunggu pihak polis, SPRM atau mahkamah membuktikan kesalahan. Sebaliknya, tindakan menyokong Najib oleh Hadi dan Haron akan membuat ahli PAS menganggap Fadzil dan Nik Aziz berdosa kerana mengecam Dr Mahthir dan Pak Lah suatu ketika dahulu.

Bagi pemerhati politik, tindakan Hadi dan Haron ini seolah-olah memutar kembali ingatan terhadap kerajaan perpaduan BN – PAS, 1972 – 1978. Ucapan-ucapan yang mahukan Najib kekal pasti ada muslihat disebaliknya. Sama ada terdapat perjanjian dengan Najib atau persetujuan secara longgar. Sekiranya Najib lenyap dari kepimpinan politik BN maka semuanya akan terbatal.

Rundingan secara senyap

Mungkinkah kedua-dua pemimpin ini telah pun merangka satu persetujuan bersama Najib? Sama ada dalam isu Hudud atau perjanjian menyokong persempadanan semula kawasan pilihan raya. Siapa tahu?

Jika pemimpin PAS itu melakukan rundingan secara senyap dan membuat perjanjian bersama Najib maka kedua-dua mereka tidak layak memimpin parti. PAS sebagai parti berlandaskan Islam perlu telus dan tidak boleh merahsiakan sebarang perkara daripada ahlinya.

Sekiranya mereka tidak mempunyai apa-apa kepentingan sewajarnya mereka mengambil peluang mengkritik Najib bagi menaikkan imej PAS di mata masyarakat.

Oleh itu, Hadi dan Haron jika ingin terus menyokong Najib maka lebih baik mereka melepaskan jawatan masing-masing. Tradisi PAS mudah, mana-mana pemimpin yang menyokong Umno – BN akhirnya akan ditolak dan dilupakan oleh ahli.

Hadi dan Haron tidak mungkin mahu mengulangi sejarah Asri Muda, Nakhaie Ahmad dan banyak lagi yang tidak dikenang di hari tua mereka kerana mendampingi Umno.

Bagi perwakilan yang mahu mengundi dalam Muktamar Pemilihan pada Jun ini wajarlah mereka berfikir sepuluh kali sebelum memilih semula Hadi dan kliknya pada jawatan penting parti demi mengekalkan perjuangan PAS di landasan sebenar.

No comments: