Dakwat Kekal Bukan Jamin P/raya Bersih Sepenuhnya

SHAH ALAM, 30 Disember : Keputusan Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk Menambahbaik Pilihan Raya (PSC) mewajibkan penggunaan dakwat kekal dalam proses pilihanraya menjelang 1Februari 2012 bukanlah satu jaminan kepada proses pilihanraya yang telus,bebas dan bersih sepenuhnya.


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata merujuk kepada senarai tuntutan yang dikemukakan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH),demokrasi dan proses pilihan raya bebas dan adil sewajarnya turut didukung dengan amalan serta pendekatan yang menjurus kepada kebebasan media dan kempen terbuka.

Agensi media awam seperti RTM dan BERNAMA sewajarnya bersikap lebih adil dalam memberikan liputan untuk semua parti politik dan kempen politik parti-parti pembangkang sewajarnya tidak didiskriminasi menerusi tapisan melampau yang tidak munasabah serta mencabul hak kebebasan bersuara.

"Saya juga ulangi desakan agar tempoh masa kempen pilihan raya dilanjutkan dalam memastikan sebaran maklumat sepanjang tempoh berkempen dapat dicapai oleh segenap lapisan rakyat. Tempoh masa berkempen yang terlalu singkat - 10 hari - sepertimana yang berlaku sewaktu Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru sewajarnya tidak berulang," katanya dalam kenyataan media.

Tambah Anwar, pengawasan terhadap komitmen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu dijamin menerusi pengukuhan badan kehakiman yang lebih bebas dan adil.

"Justeru, Pakatan Rakyat komited dan menuntut supaya pihak PSC turut menumpukan penambahbaikan proses pilihan raya ini dengan mengkaji serta menimbang secara menyeluruh ke semua tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH dalam menjamin pilihan raya yang bebas, telus dan adil," kata Anwar.