Menjelang jam 3.00 petang ini di mana Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan khasnya, tumpuan tentunya adalah sama ada PKPB yang berakhir pada 9 Jun akan disambung lagi atau ditamatkan.
Tetapi, melihat kepada pengumuman Ismail Sabri Yaakob semalam yang menyebut kedai gunting rambut dan salun kecantikan akan dibenarkan beroperasi pada 10 Jun, manakala pasar malam, bazar dan terbuka hanya akan diizinkan dibuka semula pada 15 Jun, ternampak bahawa PKPB mungkin bersambung lagi selepas tempoh yang ada sekarang tamat pada Selasa, 9 Jun depan.
Harus diakui bahawa ramai yang kini mula gelisah jika tempoh PKPB disambung lagi, sebaliknya mereka mahu ia ditamatkan segera.
Dengan kes Covid-19 yang semakin menurun dan disiplin rakyat sekarang ini boleh dikata ditahap membanggakan, terutama dari segi pemakaian topeng muka, penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri, rata-rata berpendapat tiada sebab PKPB mahu disambung lagi.
Lebih-lebih lagi dengan banyak sektor ekonomi telah dibuka dan perniagaan berjalan seperti biasa sejak PKPB dikuatkuasakan, walaupun dalam tahap yang perlahan, jika kerajaan memikirkan kepentingan ekonomi yang mungkin terus lumpuh, menamatkannya adalah pilihan yang wajar sekali.
Kekangan paling utama kepada sektor ekonomi jika PKPB terus dikuatkuasakan ialah halangan perjalanan merentas negeri.
Oleh kerana dalam perniagaan seseorang itu perlu berjumpa dengan orang lain, bermesyuarat, berbincang, melawat tapak dan sebagainya, tidak dibenarkan merentas negeri akan menjadikan banyak urusan tergendala dengan sendirinya.
Setelah hampir tiga bulan tidak dibenarkan merentas negeri, bayangkan berapa banyak urusan perniagaan telah tergendala?
Lantaran itu, adalah mustahak untuk kerajaan segera menamatkan PKPB dan membenarkan perjalanan rentas negeri berlaku seperti sediakala.
Begitu pun, untuk memastikan Covid-19 tidak muncul semula, amalan penjarakan sosial, pemakaian topeng muka, penjagaan kebersihan dan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, wajar kekal dikuatkuasakan tanpa memilih bulu.
Hanya dengan adanya kebebasan dalam perjalanan ini, berserta beberapa sektor perniagaan yang telah dibenarkan beroperasi sebelum ini, ia merupakan suatu pilihan yang dapat menjadikan ekonomi negara dipulihkan dalam kadar yang munasabah, kalau pun tidak dalam waktu yang segera.
Sebelum ini ramai yang gelisah dan mengeluh kerana banyak urusan perniagaan mereka terhenti kerana PKP dan PKPB, selain tidak kurang yang tutup perniagaan dan hilang pekerjaan akibat daripadanya.
Makanya, jika urusan perniagaan dan ekonomi ini terhalang lagi melebihi tempoh yang lebih lama, pasti ramai yang terus sengsara dan menyalahkan kerajaan atas apa yang berlaku.
Akhirnya, Muhyiddin akan menerima kesan paling parah dengan sokongan rakyat terus merudum terhadapnya.
Sudahlah keabsahan kerajaannya menjadi pertikaian segenap penjuru, ditambah lagi dengan kemerosotan sokongan rakyat yang berpunca daripada ramai yang perut lapar dan poket kosong, kemungkinan kalah jika PRU diadakan dalam waktu terdekat adalah paling mungkin sekali.
Untuk itu, paling baik ialah jika Muhyiddin menamatkan terus PKPB dan membiarkan kegiatan ekonomi berjalan seperti biasa sebagaimana banyak negara lain juga telah melakukannya.
Selain itu, satu lagi kegiatan yang perlu dibuka segera dengan sepenuhnya ialah masjid dan surau.
Di mana-mana kita boleh mendengar keluhan tentang kelembapan kerajaan Melayu/Islam PN ini dalam membenarkan amalan beribadat di masjid dan surau seperti sediakala.
Membenarkan hanya 12 orang atau 30 orang bersolat jemaah dianggap tidak praktikal, berlawanan dan terlalu ekstrem dengan amalan penjarakan sosial yang dibenarkan di kedai-kedai makan, restoran dan mengunjungi pusat membeli-belah yang tiada jumlah tertentu yang ditetapkan.
Lagi pun, di kebanyakan masjid dan surau, kecuali solat Jumaat, jumlah jemaah yang hadir pada setiap solat waktu biasanya tidak pun melebihi tiga saf.
Dengan yang demikian, kalau masjid dan surau dibuka sepenuhnya dan solat secara berjarak satu meter dilakukan, ia tidak sama sekali menjadikan ruang bersolat penuh atau sesak yang boleh memberi risiko kepada berkembangnya wabak Covid-19.
Lalu, di mana logiknya dengan ketetapan hanya 12 atau 30 orang saja dibenarkan bersolat jemaah di masjid dan surau?
Apakah hanya 12 atau 30 orang atau kalangan AJK masjid saja yang mahu masuk syurga?
Berdasarkan ini, terutama berkaitan memulihkan ekonomi dan mengiamarahkah semula masjid dan surau, pilihan kini di tangan Muhyiddin menentukannya.
Kalau mahu terus ditolak rakyat, umumkanlah sambung lagi PKP pada perutusan khasnya petang ini. (Shahbudindotcom 07/06/2020