Sunday, June 7, 2020

Ahli akademik, NGO harap Terengganu wartakan kembali Hutan Simpan Belara

Ahli akademik, NGO harap Terengganu wartakan kembali Hutan Simpan Belara



Rata-rata ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pemeliharaan alam sekitar kecewa dengan keputusan kerajaan negeri Terengganu menyahwarta Hutan Simpan (HS) Belara sekali gus akan memusnahkan biodiversiti di kawasan itu.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Maketab Mohamed berkata, beliau amat sedih apabila mendengar khabar bahawa HS yang terletak antara Gong Lingai dan Batu Rakit itu telah dinyahwarta dan akan dicuci mangkuk (clear cut) dan digantikan dengan ladang kelapa sawit.
“Walaupun (HS Belara) kecil ianya mempunyai biodiversiti yang tinggi iaitu tempat bersarangnya Burung Enggang spesies Great Hornbill (Buceros bicornis),” jelasnya.
HS Belara yang terletak berdekatan kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu dianggap peparu hijau di daerah Kuala Nerus yang memiliki keluasan 4,588 hektar.
Sehubungan itu, Dr Maketab memohon Menteri Besar Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan ahli-ahli politik Terengganu yang lain dapat mengusahakan supaya HS Belara diwartakan kembali sebagai Hutan Simpan.
Tambah pakar kualiti air itu lagi, langkah tersebut amat penting bagi kelestarian alam untuk jangka panjang demi generasi kini dan masa depan.
Dalam hal berkaitan, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) cawangan Terengganu turut kecewa dengan keputusan penyahwartaan HS Belara yang merupakan salah satu hutan hujan tropika dataran rendah yang ikonik di negeri itu.
“Tidak banyak kajian dilakukan di kawasan ini, walaupun terletak di sebelah pusat bandar terbesar di negeri ini, Kuala Terengganu.
“MNS ingin mendengar dari kerajaan negeri Terengganu mengenai apa justifikasi yang ada untuk secara senyap-senyap melepaskan sebahagian besar Hutan Simpan Belara,” tegas pertubuhan itu dalam satu kenyataan.
Menurut MNS Terengganu lagi, pihaknya membantah keputusan menyahwartakan HS Belara yang menyebabkan sebahagian besar keluasan HS itu tidak lagi dilindungi.
“Laporan Audit kerajaan Persekutuan 2017 mengesahkan bahawa hutan yang indah ini akan dibersihkan untuk ladang kelapa sawit. Ini tidak boleh diterima.
“Memandangkan hakikat bahawa hutan adalah sumber yang berkurang, bagaimana perkara seperti ini dapat terjadi pada masa ini? Bagaimana kesalahan besar ini dapat diperbaiki?” soalnya lagi.


No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers