Oleh B. Suffian
Tarikh 5 September 2016, berlaku satu peristiwa bersejarah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pada tarikh itu, dua sosok yang sebelum ini berseteru selama lebih 18 tahun akhirnya bertemu.
Mereka bersalaman, mesra dan saling berbual.
Dua sosok itu tidak lain tidak bukan ialah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kehadiran Dr Mahathir itu adalah bagi menyatakan sokongannya terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Bagi banyak pihak, ia dilihat sebagai satu fasa baharu dalam kerjasama dan pensejajaran politik untuk menewaskan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Pertemuan itu berlaku setelah Dr Mahathir sepentas dengan pimpinan parti pembangkang melalui kempen Deklarasi Rakyat.
Apa yang pasti, pertemuan bersejarah itu merupakan contoh ikutan rakyat Malaysia untuk mengetepikan perbalahan demi menyelamatkan Malaysia.
Selepas peristiwa itu, bak kata pepatah Inggeris, ‘the rest is history’.
Pakatan Harapan (PH) yang diasaskan secara bersama kedua-dua tokoh ini telah berjaya memenangi pilihan raya umum dan menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN).
Dengan mandat yang diterima, kerajaan baharu Pakatan Harapan telah menggerakkan langkah-langkah untuk memulih semula negara tercinta ini.
Selama 22 bulan pentadbirannya, pelbagai pencapaian membanggakan telah diraih oleh negara.
Namun begitu, pada Februari lalu, telah berlaku apa yang sebut-sebut sebagai Langkah Sheraton yang menyaksikan kejatuhan Kerajaan PH.
BN yang kalah pada pilihan raya umum lalu kini menjadi antara parti yang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
Di sebelah PH yang kini disebut PH Plus, masih ada Dr Mahathir, masih ada Anwar.
Tetapi kelihatan wujud perselisihan antara kedua-dua tokoh itu berhubung calon Perdana Menteri bagi PH selepas memegang tampuk pemerintahan.
Ia membawa kegusaran kepada para penyokong PH Plus yang pastinya mahu gabungan itu kembali ke Putrajaya.
Oleh itu, sepertimana diperkatakan veteran DAP, Lim Kit Siang, kita tidak boleh terus dibelenggu dengan sejarah silam.
Jika tidak, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, keputusan bersejarah 9 Mei 2018 untuk membawa pertukaran kerajaan secara aman dan demokratik mungkin tidak akan berlaku.
Sehubungan itu, kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar perlu mengambil semula semangat 5 September 2016 untuk memastikan PH Plus dapat bergerak ke depan.
Jika kedua-dua tokoh itu dapat menanam semua perseteruan sepertimana yang berlaku pada pertemuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur empat tahun lalu, kenapa tidak kini?
Kerjasama Dr Mahathir-Anwar adalah penting dalam berhadapan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Najib.
Perlu diingatkan, Dr Mahathir hanya akan menjadi Perdana Menteri dalam masa enam bulan agar beliau dapat memenuhi peralihan kuasa kelak.
Ia adalah cara paling pasti untuk membawa Anwar menjadi perdana menteri.