Semua keputusan dalam Majlis Presiden PH, sebagaimana yang kita sedia maklum, adalah berasaskan konsensus atau persetujuan sebulat suara wakil empat parti yang menjadi anggotanya.
Majlis itu tidak menerima keputusan berasaskan majoriti dan jika sesuatu perkara gagal diputuskan secara konsensus, ia biasanya akan ditangguhkan untuk dibawa ke mesyuarat berikutnya sehinggalah persetujuan sebulat suara dapat dicapai.
Dalam keputusan yang dicapai sebelum PRU14 iaitu Tun Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri dan Anwar Ibrahim bakal Perdana Menteri ke-8, semuanya diputuskan secara konsensus atau persetujuan sebulat suara Majlis Presiden.
Dua perkara lain yang turut dipersetujui jika setelah PH menjadi kerajaan ialah membebaskan Anwar daripada penjara dan memohon pengampunan penuh untuknya daripada Yang Dipertuan Agong, juga dipersetujui oleh Majlis Presiden secara sebulat suara.
Pada awalnya, pencalonan nama Tun Mahathir sebagai bakal Perdana Menteri misalnya, tidak mendapat persetujuan sebulat suara dan perkara itu terus diperbincangkan dalam beberapa mesyuarat Majlis Presiden PH sehinggalah akhirnya persetujuan secara konsensus dapat dicapai.
Begitulah cara Majlis Presiden PH bekerja dan menjalankan tanggungjawabnya.
Sekarang ini, berikutan PH sudah menjadi kerajaan, keputusan konsensus berkaitan kedudukan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Dr. Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri sudah pun dilaksanakan.
Begitu juga dengan persetujuan membebaskan Anwar daripada penjara dan memohon pengampunan penuh daripada Yang Dipertuan Agong turut sudah dilaksanakan.
Hanya yang belum dilaksanakan ialah menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 bagi menggantikan Tun Mahathir.
Dalam perkembangan terbaru, walaupun Tun Mahathir menyatakan sedia berundur pada bila-bila masa jika Majlis Presiden mahukan beliau berbuat demikian, tetapi beliau juga menegaskan hanya akan berundur selepas Sidang Apec pada November nanti.
Dalam erti kata lain, Tun Mahathir sudah memanjangkan sendiri tempohnya memegang jawatan Perdana Menteri sementara daripada dua tahun kepada dua setengah tahun.
Dalam hal ini, meskipun jika Majlis Presiden berpendirian selari dengan kehendak majoriti rakyat yang mahukan peralihan kuasa berlaku pada Mei, Tun Mahathir jelas sudah memberi bayangan beliau hanya akan sedia berundur selepas Sidang Apec pada November.
Apakah dalam keadaan tersebut yang mungkin berlaku pada mesyuarat Majlis Presiden 21 Februari nanti, maka Tun Mahathir sendiri akan bertindak menggagalkan konsensus peralihan kuasa daripada berlaku pada Mei dengan menyatakan bantahannya secara terbuka?
Atau beliau akan meminta orang suruhannya, Azmin Ali untuk melakukan bantahan dan menggagalkan konsensus?
Jika begitu, apakah penilaian selayaknya kita berikan terhadap Tun Mahathir yang sudah menuju usia 95?
(ShahbudinHusin 19/02/2020)