NIK HASYUDEEN
Kita semua tahu ada
orang-orang Yahudi yang berpindah ke Madinah untuk menunggu nabi akhir zaman.
Mereka menjangka nabi berkenaan akan datang dari kalangan mereka.
Apabila Nabi Muhammad
SAW dilantik menjadi nabi dan rasul akhir zaman, orang-orang Yahudi tadi tidak
beriman kepada baginda sedangkan mereka mengenali nabi akhir zaman sama seperti
mereka mengenali anak-anak mereka sendiri (Al Baqarah: 146). Mereka tidak boleh
menerima hakikat bahawa nabi akhir zaman datangnya dari bangsa Arab.
Tidaklah saya
mengatakan bahawa orang-orang yang tidak mahu menerima kebenaran berdasarkan
data dan fakta sebagai orang Yahudi tetapi mereka berperangai seperti kaum
demikian seperti mana yang dinyatakan di atas. Adakah perangai seperti ini
perangai terpuji?
Ada juga golongan
manusia yang sengaja tidak mahu tahu data dan fakta di sebalik satu-satu isu
kerana mereka takut data dan fakta itu akan membuktikan apa yang mereka dakwa
selama ini adalah batil. Tentunya kita berasa hairan bagaimana mereka boleh
membuat dakwaan dan membina naratif tanpa fakta berkenaan? Lebih menghairankan
jika golongan ini datang dari kumpulan yang mendakwa mereka ada perjuangan
suci.
Yang lebih teruk
ialah manusia-manusia yang apabila diberikan data, fakta dan penerangan
berdasarkan data dan fakta berkenaan, jawapan mereka ialah “ini tidak kena
dengan naratif yang kami bawa”. Adakah ini ciri-ciri manusia yang mendokong
perjuangan suci?
Memanglah dibuktikan
salah adalah satu perkara yang mengaibkan terutamanya jika pihak berkenaan
membuat dakwaan di khalayak ramai dan mengulang-ulangnya sehingga diterima oleh
pengikut-pengikutnya. Jadi, mereka akan cuba menjauhi diri dari data dan fakta
kerana itu lebih mengamankan jiwa mereka.
Pengikut-pengikut
pula hanya menerima dan menelan dakwaan demikian kerana itulah yang mereka mahu
dengar. Mereka mencari “pembenaran”, bukannya kebenaran. Orang yang mencari
kebenaran akan meminta fakta dan asas kepada apa yang didakwa oleh bos-bos
mereka. Mereka juga akan mencari data dan fakta dari pihak lain yang terlibat.
Kemudian mereka akan mempertimbangkan data dan berkenaan yang membuat
kesimpulan dari sumber berkenaan. Ini sama seperti panduan Al Quran berkenaan
Ulul Albab di dalam ayat 18 surah Az Zumar.
Mungkin ada juga
orang yang menjauhi data dan fakta kerana mereka tidak ada kemampuan untuk
memahaminya. Orang seperti ini mudah kena goreng dan mudah berpuas hati. Ini
juga merbahaya sekiranya diberikan kedudukan yang tinggi dan kena membuat
keputusan ke atas perkara-perkara yang kompleks dan rumit. Akhirnya, kerja
mereka hanyalah membaca teks yang disediakan. Jika buka mulut tanpa teks,
kerendahan kemampuan mereka akan terserlah. Namun, mereka tetap
hebat
di kalangan penyokong
yang ta’asub dan tidak memperdulikan data dan fakta.
Al Quran tidak dibaca
sekadar sebuah buku cerita. Sebaris ayat Al Quran jika ditelaah dengan mendalam
akan mengajar kita banyak perkara yang memandu kita di dalam menjalani
kehidupan. Sekiranya kita hanya membaca untuk memperbetulkan tajwid tetapi
tidak faham akan isi kandungannya, kita akan terlepas banyak manfaat.
Persoalan yang sama
kita kena tanya diri kita sendiri “adakah aku mencari kebenaran atau pun
sekadar mencari pembenaran sahaja?”