Sekarang ini semua sudah tahu usul percaya terhadap Tun Mahathir Mohamad yang mahu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Semporna, Shafie Apdal pada sidang Parlimen 18 Mei nanti sudah pun ditolak oleh Speaker.
Dalam jawapannya, Mohamad Arif Md Yusof mengatakan, beliau menolak usul bertarikh 1 Mei tersebut disebabkan ia tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dalam urusan perlantikan jawatan Perdana Menteri.
Bermakna, tiadalah usul tersebut dapat dibentangkan nanti.
Tetapi, sebenarnya ada satu lagi usul yang dihantar kepada Speaker bertarikh 4 Mei di mana ia dikemukakan oleh Tun Mahathir sendiri.
Usul Tun Mahathir selaku Ahli Parlimen Langkawi itu adalah untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin Yassin selaku Ahli Parlimen Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri.
Dalam erti kata lain, usul Tun Mahathir ini adalah untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang mana ia akan ditentukan oleh 222 Ahlo Parlimen seluruh negara.
Sementara usul Shafie sudah ditolak, sebaliknya usul Tun Mahathir ini belum lagi mendapat apa-apa maklum balas daripada Speaker.
Meskipun ternampak kemungkinan usul ini juga bakal ditolak, mungkin esok atau lusa, tetapi Tun Mahathir tentu tidak berhenti daripada berusaha untuk memastikan soal sokongan majoriti Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dapat dimuktamadkan pada sidang Parlimen 18 Mei ini.
Mengikut jadualnya, selepas titah perasmian oleh Yang Dipertuan Agong pada 18 Mei nanti, sidang Parlimen selama sehari itu hanya untuk membincangkan rang undang-undang dan usul kerajaan sahaja.
Tiada sebarang usul, pertanyaan lisan atau sessi soal jawab dibenarkan dalam sidang itu nanti.
Namun, dengan suara pembangkang yang ramai dalam Parlimen, macam-macam boleh berlaku pada 18 Mei nanti.
Sebab itu, dalam hal ini Muhyiddin mesti menjadi seorang yang berani dan tidak takut berdepan apa jua cabaran.
Beliau mesti segera menyelesaikan isu ketidakpastian sokongan majoriti yang dimilikinya dengan tidak takut membenarkan sebarang usul berkaitan perkara itu dibentangkan di Parlimen.
Hanya dengan segera menyelesaikannya saja barulah beliau dapaf berfungsi dengan berkesan sebagai ketua kerajaan dan seterusnya mendapat keyakinan pelabur serta negara luar dalam tempoh yang mendatangnya sebagai Perdana Menteri.
Selagi tidak diselesikan, selagi itulah usaha menggoncang kedudukannya berterusan sampai bila-bila dan akhirnya tiada apa yang dapat dilakukannya untuk memajukan negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.
Lagi pula, jika beliau mengelak usul tidak percaya terhadapnya pada sidang Parlimen pada 18 Mei ini, apakah beliau dapat juga mengelaknya pada sidang Parlimen Julai dan November akan datang?
Bukankah lebih baik diselesaikan “once and for all” dan selepas itu tidak ada lagi ganggu-gugat terhadap kedudukannya sebagai Perdana Menteri?
Tambahan lagi, jika benar ada sokongan majoriti di belakangnya, apa perlu Muhyiddin takut dengan usul tidak percaya terhadapnya?
Sebagai anak ulama, pandai pula membaca doa, Muhyiddin mesti bertawakal kepada Tuhan dalam soal ini.
Lagi pun, jika tewas dalam usul undi tidak percaya itu, beliau harus menerima sebagai ada hikmah di sebaliknya dan mungkin Tuhan inginkan beliau lebih banyak berehat kerana dengan wabak Covid-19 yang sedang melanda ini serta kesannya kepada rakyat dan ekonomi negara, ia bukanlah sesuatu yang mudah dipikul bagi seseorang yang tidak berapa sihat akibat derita kanser sepertinya.
Kalau menang pula, maka ia barangkali bermakna Tuhan sedang melorongkan laluan yang lebih mudah untuknya mentadbir negara ini.
Tetapi, petunjuk Tuhan itu hanya akan muncul jika Muhyiddin tidak takut untuk menjadi berani dalam mendepani cabaran yang ada di depannya pada 18 Mei ini.
Selagi menjadi penakut, petunjuk Tuhan akan terus tersimpan di langit sana. (ShahbudinHusin 07/05/2020)