TUN M TOLAK REFORMASI DAN EPISOD JANJI DIMUNGKIRI BERTERUSAN LAGI


Lapan bekas wakil rakyat UMNO Sabah yang terdiri daripada empat Ahli Parlimen, dua Senator dan dua Adun diumumkan menyertai Bersatu petang tadi dalam satu majlis di Putrajaya.
Empat Ahli Parlimen berkenaan ialah Azizah Mohd Dun (Beaufort), Ronald Kiadee (Beluran), Abd Rahim Bakri (Kudat) dan Zakaria Mohd Edris (Libaran).
Dua Senator pula ialah Abdul Ghani Mohd Yassin dan John Ambrose, manakala dua Adun adalah Hajiji Haji Nor (Sulaman) dan Masidi Manjun (Karanaan).
Kemasukan mereka ini bukan saja menambah bilangan Ahli Parlimen Bersatu menjadi 26, malah menjadikan satu lagi kata-kata Tun Mahathir Mohamad dimungkiri oleh dirinya sendiri.
Sebelum ini, Pengerusi Bersatu itu pernah mengatakan bahawa jika ada bekas pemimpin UMNO yang mahu menyertai Bersatu, mereka akan diwajibkan untuk menjadi Bebas bagi tempoh tertentu terlebih dahulu untuk dinilai bahawa kemasukan mereka bukan kerana kepentingan peribadi.
Malangnya, lapan bekas pemimpin UMNO Sabah ini hanya tidak lama selepas mengumumkan keluar UMNO, mereka terus diterima sebagai sebagai ahli Bersatu.
Sudah tentu selepas ini, semua bekas pemimpin UMNO Sabah yang bukan wakil rakyat yang telah keluar UMNO baru-baru ini, termasuk Salleh Said Keruak akan diterima juga ke dalam Bersatu.
Tidak dinafikan kemasukan mereka ini adalah sebagai persediaan menjelang pelancaran rasmi Bersatu yang akan diadakan di Sabah pada 6 April depan.
Bermakna, sudahlah kemasukan Bersatu ke Sabah merupakan perlanggaran janji Tun Mahathir terhadap Warisan, kini penerimaan lapan wakil rakyat ini menambah satu lagi episod janjinya sendiri telah dimungkiri.
Tidak cukup dengan itu, daripada empat bekas Ahli Parlimen UMNO yang masuk Bersatu hari ini, salah seorang daripadanya ialah Pengerusi PAC iaitu Ronald Kiandee.
Ronald Kiandee sebelum ini dipilih mengetuai PAC atau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara adalah atas kapasitinya mewakili Ahli Parlimen UMNO sebagai menepati janji manifesto PH untuk melantik wakil pembangkang menerajui badan itu.
Ia berikutan ketika era BN dahulu, semua Pengerusi PAC adalah daripada UMNO dan ini menimbulkan kritikan ramai, terutama dalam PAC menangani skandal 1MDB.
Sehubungan itu, sebaik menang PRU14 dan sebagai menepati janjinya, PH telah meminta BN sebagai pembangkang untuk menamakan wakil rakyatnya untuk dilantik mengetuai PAC.
Apabila Ronald Kiande dipilih mengetuai PAC dan kemudian telah masuk Bersatu, beliau sepatutnya tidak layak lagi untuk menerajui badan itu.
Mengekalkan lagi beliau di jawatan itu hanya menjadikan PH tidak berbeza sama sekali berbanding BN dahulu.
Dalam hal ini, BN sendiri telah menamakan Noraini Ahmad, Ahli Parlimen Parit Sulong sebagai calon Pengerusi PAC yang baru dan beliau hanya menunggu masa saja untuk diumumkan memegang jawatan itu.
Malangnya, sekali lagi Tun Mahathir cuba mungkir janji dengan bertindak mahu terus mengekalkan Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC.
Alasan Tun Mahathir ialah janji PH bahawa PAC akan diketuai oleh wakil rakyat pembangkang hanyalah suatu dasar dan bukan sebahagian daripada perlembagaan.
Kata-kata Tun Mahathir ini tidak banyak bezanya apabila beliau enggan menunaikan janji-janji manifesto dengan mengatakan Buku Harapan bukanlah sebuah kitab suci.
Apa ni Tun? Berapa kali lagi nak mungkir janji?
Yang nyata, perubahan yang dilakukan PH dengan melantik wakil pembangkang mengetuai PAC adalah sebahagian daripada janji reformasi dalam pentadbiran dan tata urus negara.
Bagaimanapun, sikap dan pendirian Tun Mahathir dalam hal ini terang-terang menunjukkan beliau menolak reformasi dalam negara dan mahu mengembalikan gaya pemerintahan BN dalam PH yang kini dipimpinnya.
Apakah Tun Mahathir masih tidak sedar lagi isyarat rakyat dalam dua pilihanraya kecil di mana PH kalah sebelum ini?
Apakah ini bermakna Tun Mahathir sendiri yang mahukan PH hanya sepenggal memerintah negara ini? (Shahbudindotcom 15/03/2019)

No comments: