ANWAR DAN PH TIDAK PERNAH MENGKHIANATI MAHATHIR



Apabila PH semalam membuat keputusan menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri pilihannya, banyak pihak, terutama daripada Bersatu telah menuduh gabungan itu mengkhianati Tun Mahathir Mohamad.

Sikap khianat itu dikaitkan berikutan ketiga-tiga pemimpin utama PH – Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu – dalam pertemuan dengan Tun Mahathir pada pagi Isnin lalu, sehari selepas rampasan kuasa yang digerakkan oleh Azmin Ali menemui kegagalan, telah menyatakan kesediaan untuk mencalonkan semula bekas Pengerusi Bersatu itu sebagai Perdana Menteri.

Kenapa setelah menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir, tetapi tiba-tiba PH mencalonkan Anwar?

Berdasarkan rentetan, sokongan oleh PKR, DAP dan Amanah kepada Tun Mahathir itu adalah berdasarkan hakikat pada ketika itu (pagi Isnin) Tun Mahathir masih lagi Pengerusi PH serta Bersatu juga tetap merupakan salah satu ahli gabungan PH.

Dalam pertemuan dengan ketiga-tiga pemimpin PH itu, Tun Mahathir telah menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan berikutan kecewa namanya telah digunakan oleh pihak yang merancang rampasan kuasa itu, sambil memperlihatkan dirinya seolah-olah sedia bekerjasama dengan kumpulan perasuah daripada UMNO.

Atas dasar itulah Anwar, Guan Eng dan Mohamad Sabu menyatakan kesediaan menyokongnya semula sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, apabila Tun Mahathir pada jam 1 tengahari Isnin itu mengumumkan meletakkan jawatan, ia kemudian diikuti dengan pengumuman Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu bahawa parti itu membuat keputusan keluar daripada PH.

Tun Mahathir pula selepas itu mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Bersatu.

Seterusnya, Yang Dipertuan Agong menerima perletakan jawatan Tun Mahathir, tetapi melantiknya semula sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu perlantikan Perdana Menteri baru dibuat.

Bagi tujuan melantik Perdana Menteri baru, Yang Dipertuan Agong telah mengambil langkah bijaksana dengan menemubual seorang demi seorang kesemua 222 Ahli Parlimen.

Dalam hal ini, sudah tentu setiap blok dan parti perlu menamakan siapa calon Perdana Menteri pilihan mereka.

Tun Mahathir yang sudah meletakkan jawatan dan dilantik sebagai Perdana Menteri interim sepatutnya tidak lagi menawarkan diri untuk dipilih sebagai Perdana Menteri yang baru.

Tetapi, Tun Mahathir telah menunjukkan keinginannya untuk berkuasa semula dengan cara memanggil semua ketua-ketua parti bagi mendapatkan sokongan dalam pembentukan kerajaan perpaduan yang dirancang mahu ditubuhkannya.

Bagaimanapun, UMNO dan Pas kemudian menolak hasrat Tun Mahathir itu kerana beliau didapati masih ingin melibatkan DAP dalam kerajaan baru yang bakal dibentuknya.

Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung UMNO dan Pas segera mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Tun Mahathir kerana mereka tidak mahu bekerjasama dengan DAP serta menuntut pembubaran Parlimen bagi pilihanraya baru diadakan segera.

Hanya selepas UMNO dan Pas menarik balik sokongan terhadap Tun Mahathir, barulah PH mengadakan mesyuarat pada petang Selasa lalu untuk memuktamadkan siapa calon Perdana Menteri yang mahu dipilih.

Meskipun Bersatu sudah keluar PH, tetapi gabungan itu tetap menjemput Tun Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Bagaimanapun, Tun Mahathir menolak untuk hadir, lalu mesyuarat itu hanya dihadiri oleh pemimpin-pemimpin daripada PKR, DAP dan Amanah saja.

Dalam mesyuarat itulah akhirnya diputuskan bahawa calon Perdana Menteri yang akan dipilih oleh Ahli-Ahli Parlimen PH ialah Anwar, tetapi pengumuman mengenainya hanya dibuat semalam.

Secara mudahnya, asas memilih Anwar dan bukan Tun Mahathir adalah berdasarkan tiga faktor:-

Pertama, Anwar merupakan calon PM8 yang dipersetujui sebelum ini dan keputusan memilihnya setelah Tun Mahathir selaku PM7 meletakkan jawatan adalah untuk memperlihatkan bahawa PH sentiasa berpegang kepada janji yang telah dikonsensuskan sejak sekian lama.

Kedua, keengganan Tun Mahathir hadir mesyuarat PH, meskipun dijemput secara terhormat, dengan sendirinya menunjukkan Tun Mahathir tidak mahu lagi bersama gabungan itu.

Dalam keadaan itu, di mana logiknya PH masih mahu mencalonkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, sedangkan beliau sendiri tidak mahu lagi menunjukkan komitmen bersama PH?

Ketiga, berikutan pengumuman Muhyiddin bahawa Bersatu keluar PH pada tengahari Isnin, bermakna ketika mesyuarat PH pada petang Selasa itu diadakan, parti itu bukan lagi merupakan ahli gabungan PH.

Dalam keluarnya Bersatu daripada PH dan Tun Mahathir merupakan Ahli Parlimen Bersatu, bermakna parti itu sendiri yang menjauhkan diri daripada memilih Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri oleh PH.

Ia tambah diperkuatkan lagi apabila Tun Mahathir sendiri enggan hadir mesyuarat PH.

Jadi, celah mana yang mengatakan PH atau Anwar telah mengkhianati Tun Mahathir? (ShahbudinHusin 27/02/2020)

No comments: