SELEPAS 10 BULAN BERKUASA, PH SEMAKIN DIUBAH MENJADI BN 2.0




Pertama, janji-janji manifesto yang gagal ditunaikan, malah sesetengahnya tiada iltizam tinggi daripada kerajaan sendiri untuk melaksanakannya.
Kedua, hala tuju kerajaan yang tidak jelas serta tidak komited dalam agenda reformasi dan ekonomi yang pernah dlaung-laungkan kepada rakyat selama ini.
Dalam semua keadaan itu, punca utamanya ialah Tun Mahathir yang seolah-olah sengaja membiarkannya keadaan itu berlaku dan dalam waktu yang sama seperti sedang berusaha menukar PH ininmenjadi BN 2.0.
Lantaran itu apabila Khairy Jamaluddin memberi markah D kepada kerajaan selepas 10 bulan mengambil alih kuasa daripada BN, ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.
Sesetengah pihak, dengan menambah prestasi menteri-menteri yang dilihat mengecewakan, celaru serta tidak keruan, tanpa ragu-ragu ada yang sampai memberi markah F atau gagal kepada kerajaan.
Ada pula yang merasakan tiada perbezaan langsung antara PH dengan BN yang pernah berkuasa selama 61 tahun sebelum ini.
Semua janji perubahan yang pernah dilaung dan dibentangkan kepada rakyat hanya tinggal janji-janji kosong belaka.
Tun Mahathir, dalam mengemudi kerajaan bersama kuasa dalam tangannya, sejak hari pertama mengangkat sumpah hinggalah tempoh 10 bulan ini, lebih memberi keutamaan kepada mengukuhkan kedudukannya berbanding menjaga perut dan poket rakyat.
Kos sara hidup masih tinggi, harga barang kian meningkat, pendapatan rakyat tidak bertambah, peluang pekerjaan dan perniagaan tidak berkembang dan segala-galanya seperti tiada beza dengan sebelum ini.
Reformasi atau perubahan dalam negara masih gagal dilaksanakan dan undang-undang drakonian yang dijanji untuk dihapuskan masih lagi tidak menampakkan sebarang kemajuan.
Yang lebih diutamakannya hanyalah menyediakan platform untuk seramai mungkin Ahli Parlimen UMNO melompat menyertai Bersatu.
Jika dengan sokongan PKR, DAP, Amanah, Bersatu serta Warisan pun beliau sudah berjaya menjadi Perdana bagi tempoh sementara waktu atau dalam jangka masa dua tahun sebelum menyerahkannya kepada Anwar Ibrahim sebagaimana perjanjian, untuk apa sebenarnya Tun Mahathir mahu membawa lagi Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu?
Apakah selepas dua tahun menjadi Perdana Menteri nanti dan ketika itu usianya sudah melebih 95 tahun, beliau masih mampu lagi secergas seperti hari ini?
Selain itu, dengan Tun Mahathir berhasrat mengekalkan Pengerusi PAC dipegang oleh Ahli Parlimen kerajaan, Tun Mahathir jelas memperlihatkan keinginan untuk menunjukkan betapa “gedebenya” beliau mentadbir negara ini.
Mujur masih ada beberapa pemimpin PH, terutamanya Nurul Izzah yang terus bersikap keras membantah pendirian Tun Mahathir itu sehingga beliau mula akur dan sedia mengembalikan jawatan Pengerusi PAC kepada pembangkang.
Jika tidak dibantah dan struktur PAC terus kekal dipengerusikan oleh Bersatu, manakala timbalannya oleh DAP seperti sekarang, ini akan memperlihatkan PH jauh lebih buruk berbanding BN dahulu yang setidak-tidaknya memperuntukkan jawatan timbalan pengerusi kepada wakil pembangkang.
Tetapi, itulah caranya Tun Mahathir menunjukkan kekuasaan dan “gedebenya” sebagai Perdana Mentero buat kali kedua ini.
Untuk itu, sambil menyedari bahawa sokongan rakyat kepada kerajaan terus jatuh merosot, PH mesti sentiasa waspada serta berani bersuara dalam mempertahankan agenda reformasinya yang menjadi asas sokongan rakyat kepada perubahan dalam negara sejak 1998 lagi.
Andainya Tun Mahathir berjaya menjadikan PH ini sebagai BN 2.0 melalui kemasukan semakin ramai bekas pemimpin UMNO dan
menukar gaya pemerintahannya sepertimana beliau berkuasa selama 22 tahun sebelum ini, bukan saja agenda asal reformasi akan berkubur dengan sendirinya, yang lebih buruk ialah PH ini akhirnya hanya tinggal nama saja lagi.
PH hanya mampu kekal berada di hati rakyat jika percaturan menukarnya menjadi BN 2.0 dapat dielakkan. (Shahbudindotcom 25/03/2019)

No comments: