China beli Proton, kerajaan Malaysia bayar RM1.35 bilion
Walaupun setuju yang pembuat kereta asing seperti Geely dapat mewujudkan pemindahan teknologi, peluang pekerjaan dan industri berdaya saing yang menjana keuntungan untuk ekonomi negara, DAP berkata masih tidak jelas apa pulangan yang bakal diberikan gergasi otomobil China itu.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata selain daripada RM170 juta bagi membeli kepentingan 49.9% dalam Proton, masih kabur bagaimana jumlah pelaburan yang bakal dibawa masuk Geely bagi memajukan Proton.
Sebaliknya, Pua berkata Proton bakal menerima suntikan dana terakhir daripada kerajaan sebanyak RM1.35 bilion.
“Maksudnya, Geely sebenarnya sekadar membayar RM170 juta bagi memperolehi kepentingan 49% dalam sebuah syarikat bakal menerima suntikan tunai daripada kerajaan sebanyak RM1.35 billion!” kata Pua dalam kenyataannya.
Minggu lalu, DRB-Hicom mencapai persetujuan untuk menjual 49.9% pegangan dalam Proton Holdings kepada Zhejiang Geely Holding Group – yang sebelum ini mengambil alih Volvo dari Sweden – termasuk membolehkan Geely memiliki kepentingan 51% dalam pembuat kereta Britain, Lotus.
Proton yang ditubuhkan pada 1983 sebagai syarikat otomobil pertama negara dihimpit masalah kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun mendapat sokongan dan bantuan kerajaan.
Pada 2001, Proton menguasai bahagian pasaran sebanyak 53%, tetapi ia merosot kepada 14% tahun lalu, di sebalik populariti kereta import dan aduan mengenai mutu kereta Proton.
Pengasas Proton, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan orang paling lantang membantah kemasukan syarikat China itu, kerana menganggap Proton kebanggaan Malaysia.
Pua bagaimanapun tidak setuju dengan hujah Dr Mahathir.
“Sebuah ‘kereta kebangsaan’ tidak menambah nilai ekonomi sesebuah negara sekiranya ia tidak dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang cukup dan industri yang berdaya saing,” katanya.
Sebaliknya, Pua berkata ukuran bagi menilai penglibatan Geely ialah sejauh mana rancangannya memajukan industri kereta di Malaysia.
“Kami masih tidak pasti sama ada Geely mahu menggunakan sepenuhnya apa yang selalu disebut sebagai kemampuan Proton mengeluarkan lebih banyak kereta, tidak kira ia jenama Proton, Geely atau Volvo,” katanya.
Pua mempersoalkan mengapa kerajaan terus menyuntik dana ke dalam Proton Holdings walapun syarikat itu sudah diswastakan apabila diambil alih oleh DRB-Hicom yang dimiliki Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari.
“Apa gunanya menswastakan Proton dengan menjual kepentingannya kepada DRB-Hicom apabila akhirnya kerajaan terus ‘membiayainya’ bagi tujuan kelangsungan syarikat itu?” soal ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.
“Ia selanjutnya menimbulkan persoalan, – sekiranya Geely gagal menghidupkan semula Proton dan menyerah kalah, apakah kerajaan akan sekali lagi campur tangan meneruskan nyawa Proton?”
Sebelum ini, Dr Mahathir dalam wawancara eksklusif bersama FMT menafikan Proton menerima dana kerajaan, sebaliknya menyifatkan wang yang diterima sebagai dana penyelidikan yang diberikan kepada syarikat lain.
“Kerajaan tidak menyuntik wang ke dalam Proton. Tetapi geran penyelidikan. Ia diberikan kepada semua. Tetapi ia tidak diberikan kepada Proton. Ia dijanjikan tetapi sehingga kini tidak diberikan,” katanya.
Beliau berkata jualan Proton jatuh kerana dasar kerajaan membuka pasaran kepada kereta import, yang menurutnya suatu dasar yang tidak diamalkan oleh negara pengeluar kereta besar seperti Jepun dan China.