Hutang isi rumah semakin tinggi: Salah siapa? Oleh Ibn Yusof
10 July 2013
Abaikan fakta nombor dan angka itu, dalam erti kata lain,
setiap isi rumah di Malaysia sekarang berhutang dan kebanyakannya
melebihi daripada apa yang sepatutnya dan terjerat dalam hutang yang
berpanjangan. Golongan berpendapatan rendah dan penjawat awam negara ini
yang kini berada dalam nisbah hutang yang lebih tinggi sekali gus
meningkatkan bebanan keseluruhan isi rumah. Awal tahun ini, ketika
mengulas mengenai hutang isi rumah kepada KDNK, sesuatu yang lebih
mengejutkan apabila dinyatakan satu daripada lima rakyat Malaysia tidak
mempunyai simpanan (The Star, 27-02-2013).
Ya kita mengiktiraf usaha baik Bank Negara Malaysia (BNM)
yang mengambil pelbagai langkah awalan menyeluruh termasuk mengeluarkan
beberapa garis panduan untuk mengawal aliran peningkatan hutang isi
rumah. Contohnya, Garis Panduan mengenai Pembiayaan Bertanggungjawab
yang berperanan agar pihak institusi kewangan tidak sewenang-wenangnya
menawarkan pelbagai jenis produk pembiayaan yang sedap didengar hanya
untuk melariskan produk mereka, dan juga Garis Panduan Kad Kredit untuk
menggalakkan pemegang kad kredit mengamalkan amalan pengurusan kewangan
berhemat, dan pelbagai rancangan lain BNM bagi memberi kesedaran awam
dan celik kewangan.
Walhal, kita membicarakan tentang peminjaman isi rumah yang
semakin meningkat sejak sepuluh tahun lalu, dan ayat positif sedemikian
tidak langsung cocok dengan tahap keberhutangan isi rumah yang semakin
meningkat saban tahun, ditambah pula harga rumah yang meningkat dan
pertumbuhan kredit yang pesat.
Peningkatan harga rumah dan keberhutangan isi rumah boleh
mengundang risiko kepada sektor kewangan. Kita dapat lihat pertumbuhan
pantas dalam pinjaman perumahan yang meningkat pantas berbanding sewaan
dan pendapatan dalam dua tahun kebelakangan ini. Menurut laporan BNM,
ketika ini sektor perbankan terdedah kepada hutang isi rumah sebanyak
55%.
Walaupun institusi perbankan menjadi penyumbang utama
kredit, wujud juga kebimbangan berkenaan kenaikan keberhutangan isi
rumah membabitkan institusi kewangan bukan bank (IKBB). Justeru selain
usaha yang dilakukan penyelia kepada institusi kewangan untuk mengekang
peningkatan paras hutang yang ditawarkan institusi kewangan, kewujudan
institusi lain seperti syarikat wang berlesen, koperasi dan IKBB seperti
Malaysia Building Society Berhad (MBSB) atau AEON Credit Service (M)
Bhd yang menawarkan pinjaman atau pembiayaan dengan tawaran yang
menarik, namun institusi ini tidak berada di bawah pengawalan dan
penyeliaan BNM.
Pengalaman daripada negara lain telah membuktikan bahawa
antara punca utama krisis kewangan ialah apabila runtuhnya aktiviti
perbankan. Para pelanggan akan mencari-cari pinjaman kredit yang lebih
mudah daripada IKBB apabila perbankan sedia ada mula mengetatkan polisi
untuk permohonan kredit.
Kelebihan sesetengah IKBB menerima Kod Angkasa iaitu
kebenaran untuk mengeluarkan pembiayaan peribadi kepada kakitangan
kerajaan, antara punca mengapa perkhidmatan pinjaman peribadi menjadi
lebih mudah. Dan dalam persekitaran yang kompetitif, apabila wujud
syarikat kewangan yang merendahkan kadar faedah, ini sedikit sebanyak
mempengaruhi institusi kewangan lain untuk turut berlumba-lumba
merendahkan kadar faedah demi memperoleh pelanggan dan mencatat
keuntungan.
Maka kita boleh lihat bagaimana pinjaman peribadi menjadi
lebih mudah dan menjadi produk dan perkhidmatan yang mampu menjadi
antara penyumbang utama kepada perolehan syarikat dan institusi kewangan
tanpa mengambil kira fakta tahap keberhutangan isi rumah yang semakin
meningkat.
Selain itu, peningkatan hutang isi rumah untuk sektor
berpendapatan rendah ini dikatakan lebih menjurus kepada mereka yang
berada di kawasan bandar, sektor berpendapatan rendah yang terpaksa
menanggung hutang melebihi paras yang dianggap berhemat. Dan ini
bertentangan dengan kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni
Hanadzlah, bahawa peningkatan hutang isi rumah tidak kritikal, antara
alasan yang diberikan adalah kerana hutang itu mempunyai aset pendasar
apabila merujuk kepada pinjaman dan pembiayaan harta tanah (The
Star-StarBiz, 04-07-13).
Namun fakta yang dipersembahkan di atas menunjukkan antara
punca peningkatan keberhutangan isi rumah lebih menjurus kepada
peningkatan ketara dalam pinjaman atau pembiayaan peribadi syarikat
kewangan seperti IKBB.
Justeru, cadangan atau solusi praktikal diperlukan untuk
perhatian pihak bertanggungjawab. Peningkatan keberhutangan isi rumah
sedikit sebanyak disebabkan oleh promosi terhadap kemudahan memperoleh
pinjaman peribadi dengan pakej yang pelbagai sebagai tarikan utama
seperti kadar faedah yang rendah serta tempoh pinjaman yang lebih lama.
Manakala ahli sosiologi pula menyuarakan kebimbangan dengan kewujudan krisis kredit yang boleh menyebabkan tekanan, depressi, masalah mental, bunuh diri dan pergaduhan serta perpisahan antara hubungan kekeluargaan. Dan pemerhatian makro perlu dibuat sebelum pergi pada kesimpulan mudah, bahawa kegagalan isi rumah dalam mengurus kewangan berhemat sebagai punca utama mereka terjebak dalam hutang yang berlebihan.-Roketkini.com
No comments:
Post a Comment