Friday, September 16, 2011

Mansuh ISA : Cubaan Najib Pulih Popularitinya




SHAH ALAM 16 SEPT : Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumka pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) disifatkan sebagai terpaksa demi memulihkan popularitinya yang kian merudum kebelakangan ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, beliau juga percaya ia adalah sebahagian semboyan awal pilihan raya umum (PRU) ke 13 yang bakal disempurnakan melalui pembentangan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober depan.

Malah katanya, ‘keberanian politik’ Najib itu juga terhasil ekoran merudumnya populariti perdana menteri itu mutakhir ini yang menyaksikan sokongan popularnya merosot daripada 76 peratus pada Mac lalu, Mei (73 peratus) dan Ogos (59 peratus).

“Tahniah kerana secara tidak langsung mengiktiraf melalui pencurian idea Pakatan Rakyat (PR) dan pejuang hak asasi Malaysia khususnya secara ‘bergaya’ melalui pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun katanya, banyak persoalan timbul berbanding menyelesaikan polemik penafian hak asasi manusia khususnya tahanan-tahanan ISA sebelum ini.

Malah, beliau turut mempersoal pengumuman Najib berhubung tempoh tahanan polis yang dikatakan lebih pendek dan melibatkan sistem kehakiman, walaupun tanpa mereformasikannya secara menyeluruh.

“Perubahan dan kajian semula ini mungkin tidak bermakna kerana persepsi rakyat kepada kredibiliti sistem kehakiman yang parah," jelasnya.

Ujarnya, AMK pelik mengapa kajian semula itu dilakukan tanpa melakukan reformasi sistem kehakiman secara total.

“Tidak perlu pergi jauh. Kes Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup membuktikan dakwaan ini ada asas yang konkrit. Apa guna mahkamah diberi kuasa jika sistem kehakiman bertindak di bawah pengaruh kuasa Eksekutif?” katanya.

Justeru, beliau turut mempertikai kajian semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang akan dilakukan pembaharuan sedangkan akta itu, sepatutnya dimansuh terus.

“Apakah rasional kajian semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 iaitu prinsip pembaharuan tahunan akan dihapus dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatal?

“Jika kerajaan percaya kepada kebijaksanaan rakyat, seharusnya akta itu dimansuh terus dan prinsip pengeluaran lesen juga tidak perlu,” katanya.

Tambahnya, kajian semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 mengenai kebebasan berhimpun turut menjadi persoalan kepada AMK.

Jelasnya lagi, sambil merujuk standard antarabangsa iaitu perhimpunan aman dikawal polis secara profesional AMK mahu jaminan Najib bahawa kebenaran berhimpun harus dipermudah dengan penghapusan permit yang tidak munasabah.



No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers