20 September
1998: Pengalaman Bermulanya Perjuangan Aktivis Politik
Oleh:
Sivamalar Genapathy
ULASAN: Pada tanggal 2 September 1998, Malaysia
digegarkan oleh satu peristiwa yang tidak pernah terbayangkan—pemecatan
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh
kerajaan Barisan Nasional di bawah Dr Mahathir Mohamad. Peristiwa ini bukan
sahaja menggegar pentadbiran negara, malah membangkitkan kemarahan dan
ketidakpuasan hati di kalangan rakyat. Jiwa-jiwa yang sebelumnya pasif kini
marak dengan keinginan membela keadilan.
Ketidakadilan yang dirasai rakyat bukan
sekadar berita di halaman akhbar—ia mengalir ke jalan-jalan di Kuala Lumpur
pada 20 September 1998, dalam pergerakan yang dikenali sebagai Reformasi.
Ribuan rakyat berkumpul, dengan tekad dan keberanian, mengangkat suara demi
menuntut keadilan buat Anwar.
Ratusan antara mereka ditangkap,
dipenjara, namun setiap titisan air mata dan peluh yang tumpah menjadi saksi
kepada sebuah perjuangan yang akhirnya mencorakkan perubahan besar dalam
politik tanah air. Dari abu ketidakadilan ini, lahirlah Parti Keadilan
Nasional, kini Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebuah simbol harapan dan pembelaan
rakyat.
Kepercayaan
ke atas sistem keadilan tergugat
Di Raub, sebuah pekan kecil di Pahang,
peristiwa besar ini mungkin sepi, tiada riuh-rendah seperti di ibu kota. Tetapi
di hati saya yang ketika itu seorang pelajar Tingkatan 3 di Sekolah Menengah
Kebangsaan Mahmud, pemecatan Anwar menggegarkan segala kepercayaan saya
terhadap keadilan di negara ini. Bagaimana mungkin seorang pemimpin setinggi
itu dianiaya begitu rupa? Apa pula nasib kita, rakyat kecil, yang mudah
tertindas dan dibisukan?
Sivamalar Genapathy
Sebagai remaja yang setia membaca
akhbar Harakah ketika itu, saya tahu masyarakat perlu celik dengan apa yang
benar. Ketidakadilan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang sebelah mata. Pada
usia 15 tahun, saya mendesak ayah agar memandu sejauh 45 batu ke Bentong hanya
untuk mendapatkan akhbar Harakah.
Saya tidak hanya membaca—saya tahu saya
perlu bertindak. Artikel-artikel itu saya salin dan sebarkan kepada rakan-rakan
di sekolah, dengan harapan mereka juga dapat melihat kebenaran di sebalik tirai
kuasa yang cuba menutup suara rakyat.
Namun, langkah kecil saya itu tidak
lama kemudian menarik perhatian pihak berkuasa. Cawangan khas mula mencari
siapa di Raub yang menyebarkan artikel-artikel ini. Mereka datang ke kedai
fotostat tempat saya membuat salinan. Saat mereka bertanya tentang saya,
pemilik kedai itu, seorang aunty Cina yang mengenali keluarga saya, membuat
keputusan yang menyentuh hati.
Beliau tidak membocorkan identiti saya.
Sebaliknya, beliau hanya mengingatkan saya, dengan nada penuh kasih, supaya
lebih berhati-hati. Di sebalik wajahnya, saya melihat simpati dan solidariti,
satu harapan yang tidak terucap, bahawa perjuangan kami, walau kecil, harus
terus hidup.
Menggalas
perjuangan menyatakan kebenaran
Detik itu menjadi titik penting dalam hidup
saya. Dari seorang pelajar yang hanya melihat ketidakadilan dari kejauhan, saya
kini berada di tengah-tengahnya, menyedari bahawa walau sekecil mana pun
tindakan, ia mampu menggoncang kuasa yang menindas.
Pergerakan Reformasi, perjuangan untuk
Anwar, dan pengalaman yang saya alami, semuanya membentuk hati dan fikiran
saya—bahawa setiap kita, walau muda atau tua, miskin atau kaya, mempunyai kuasa
untuk menyuarakan kebenaran.
Kini, setelah lebih dua dekad berlalu,
saya sering melihat kembali ke masa lalu itu, dengan rasa syukur dan keazaman
yang tidak pernah pudar.
Apa yang bermula di Raub pada hari itu
adalah permulaan perjalanan yang penuh liku, tetapi setiap langkah yang diambil
adalah langkah menuju keadilan. Sebagai aktivis dan ahli politik, saya terus
berjuang, dengan semangat yang sama seperti ketika saya memulakan perjalanan
ini—berpegang teguh kepada prinsip keadilan yang membara dalam diri saya sejak
hari itu.
*Kredit foto: FMT
______________________________________________________________________________
Penulis
merupakan Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat