PH, pulanglah ke pangkal jalan - Rafizi



Image result for rafizi ramli





Oleh Veena Babulal dan Luqman Arif Abdul Karim
 

KUALA LUMPUR: Kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) harus kembali ke ‘pangkal jalan’ dengan berusaha melunaskan pelbagai janji pilihan raya, berbanding sibuk memperkukuhkan cengkaman penguasaan kerusi di Parlimen.
Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mengutarakan perkara itu mendakwa masyarakat ketika ini ‘menyampah’ dengan siri gelombang Ahli Parlimen UMNO bertindak ‘lompat’ parti untuk menyertai blok kerajaan.
Katanya, menerusi kaca mata pengundi yang ‘beralih arah’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tindakan sedemikian bukti pentadbiran PH lebih menekankan kepentingan memperkukuhkan dinamik penguasaan dalaman, bukan membanting tulang mengotakan janji tatkala berkempen sebelum ini.
“Kita juga kehilangan nadi reformasi di mata penyokong tegar PH, malah tiada petunjuk bahawa penghijrahan beramai-ramai Ahli Parlimen UMNO berupaya memperkukuhkan cengkaman PH terhadap pengundi Melayu.
“Sebaliknya, ia menyuntik sentimen kemarahan meluap-luap dalam kalangan penyokong UMNO dan PAS terhadap PH, berbanding cuba untuk menawan hati melalui wadah ekonomi serta penyampaian khidmat berkualiti, kita sebenarnya menolak mereka (pengundi dan masyarakat) semakin jauh saban hari.
“Natijah sama yang bakal kita saksikan menerusi cubaan menumbangkan Kerajaan Perak dulu,” katanya menerusi warkah panjang lebar yang dimuat naik menerusi blog rasminya, hari ini.
Rafizi berkata, isu ‘pokok’ yang perlu diberi perhatian oleh PH ketika ini ialah penghijrahan Ahli Parlimen UMNO bagi menyertai parti blok kerajaan hanya bakal memperkasa pengaruh PAS sebagai entiti politik terbesar orang Melayu.
Berikutan badai melanda UMNO sehingga menyaksikan ia semakin lemah, katanya, lebih ramai pengundi Melayu ‘atas pagar’ dijangka bersedia memberikan mandat kepercayaan kepada PAS pada PRU seterusnya susulan kegagalan PH memenuhi janji berkaitan pengutuhan aspek ekonomi negara.
“Oleh itu, satu-satunya jalan untuk menyatukan perpaduan masyarakat dan membawa imej Malaysia yang sederhana ialah menumpukan wadah ekonomi dengan kembali kepada janji pilihan raya.
“Kita perlu serius dalam perihal memberikan kehidupan lebih baik kepada rakyat di negara ini, bukan terjerumus dalam kancah muslihat politik yang bertali arus oleh Malaysia lama.
“Tekad untuk meneliti semula usaha ke arah pembangunan negara harus dirintis daripada Majlis Presiden PH dengan memberi isyarat jelas bahawa gerakan membawa masuk bekas Ahli Parlimen UMNO perlu dihentikan,” katanya.
Sinonim imej pengulas sarat dengan fakta, Rafizi menjelaskan, penelitian semula tumpuan pentadbiran PH wajar dilaksana secara tuntas kerana nadi sentimen masyarakat sejak mutakhir ini menyaksikan perubahan mendadak terhadap kerajaan baharu.
Bersandarkan jutaan maklum balas menerusi ruangan komen dalam talian di pelbagai portal berita, katanya, Malaysia ternyata berdepan kadar perpecahan yang amat tinggi, malah setiap komuniti seakan hidup dalam dunia sendiri kerana mereka kurang berhubung.
“Menerusi kaji selidik, penarafan Kerajaan Persekutuan sejak PH mengambil alih tampuk pemerintahan pada Mei lalu menjunam secara mendadak. Ketika ditanya penarafan terhadap prestasi Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada Jun lalu, 72 peratus rakyat Malaysia memperakui pencapaiannya.
“Ia didahului oleh masyarakat Cina yang memberikan penarafan tertinggi iaitu 87 peratus, disusuli India sebanyak 84 peratus, malah responden dalam kalangan Melayu merekodkan kadar 66 peratus walaupun prestasi PH pada PRU-14 untuk meraih sokongan mereka menyaksikan keputusan hambar.
“Bersandarkan kaji selidik sama yang dikendalikan dua minggu lalu, penarafan terhadap Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri oleh rakyat Malaysia menyusut kepada 53 peratus, iaitu pengurangan kira-kira 20 peratus daripada semua kaum.
“Melayu umpamanya menyaksikan penyusutan penarafan daripada 66 peratus kepada 45 peratus, Cina (87 peratus kepada 65 peratus) dan India (84 peratus kepada 64 peratus).
“Di sesetengah negeri, Menteri Besar baharu yang ejaan namanya salah menerusi maklum balas kaji selidik memperoleh penarafan lebih tinggi daripada Perdana Menteri,” katanya tanpa memperincikan jumlah responden terbabit bagi kedua-dua kajian berkenaan.

No comments: