Kenyataan Media
2 Februari 2021
NGO Pohon Mahkamah Pertimbangkan Peranan Semak dan Imbang Badan
Kehakiman Serta Parlimen Semasa Tempoh Darurat
Kami, pertubuhan masyarakat sivil yang bertandatangan, yang
terlibat dalam pelbagai lapangan advokasi untuk mengukuhkan demokrasi
berparlimen dan mempertahankan ruang sivil, telah mengemukakan saman mewakil
kepentingan umum terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan
Malaysia pada hari ini di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan deklarasi mahkamah
tentang isu-isu berkenaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Kami bimbang perisytiharan darurat dan Ordinan Darurat telah
menyebabkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak dapat memenuhi kewajiban
perlembagaan mereka sebagai tempat perbahasan dan pengundian bagi Ordinan
Darurat. Kami juga khuatir kesan utama Ordinan Darurat adalah penggantungan
Parlimen sedangkan kerajaan, badan kehakiman dan sektor swasta berjalan seperti
biasa, dengan terikat dengan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang
masih berkuatkuasa.
Kami ingin mahkamah mengisytiharkan sekiranya mereka mempunyai
kuasa untuk menyemak sebarang percubaan untuk memintas peruntukan perlembagaan
yang memerlukan semua undang-undang dibawa ke Parlimen terlebih dahulu.
Secara khusus, kami ingin mendapatkan perisytiharan mahkamah
sama ada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); atau Seksyen 14 Ordinan tersebut
yang telah menggantung Parlimen; dan Perkara 150(8) Perlembagaan yang
mengenepikan bidang kuasa mahkamah, adalah tidak berperlembagaan.
Dalam permohonan kami kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari
ini, kami mengajukan beberapa persoalan perundangan seperti berikut:
1. Memandangkan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak
dibubarkan namun hanya ditangguhkan pada waktu tertentu, adakah Proklamasi
Darurat yang dikeluarkan pada 11 Januari 2021 (lihat P.U.(A)7/2021) dan Ordinan
Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diisytiharkan pada 14 Januari 2021 perlu
dibentangkan di Parlimen sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan
Persekutuan?
2. Adakah Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021
berkaitan penggantungan Parlimen adalah sah memandangkan ianya mencegah atau
menghalang pengoperasian Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan? (Seksyen 14
seakan-akan bermaksud, antara lain, menghalang pengoperasian peruntukan
Perlembagaan Persekutuan berkaitan memanggil, menghenti dan membubarkan
Parlimen serta membatalkan sebarang sidang Parlimen yang telah dipanggil tetapi
belum bersidang).
3. Adakah pindaan perlembagaan 1981 yang memasukkan Perkara
150(8) Perlembagaan Persekutuan yang seakan-akan mengenepikan bidang kuasa
mahkamah adalah tidak berperlembagaan (kerana mengingkari Perkara 4 dan 121 Perlembagaan
Persekutuan dan/atau struktur asas Perlembagaan Persekutuan)?
4. Adakah Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan, jikalaupun
ianya sah, menghalang mahkamah untuk menyemak keperlembagaan sesuatu ordinan
yang dibuat di bawah Perkara 150(2B) yang tidak mematuhi, mencegah atau
menghalang keperluan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan (yang
memperuntukkan keperluan proklamasi/ordinan dibentangkan di Parlimen)?
Penggantungan parlimen adalah satu langkah drastik. Proklamasi
darurat ini melampaui Perlembagaan dan tidak sejajar dengan keadaan semasa.
Sebagai warga yang bekerja demi rakyat serta memperjuangkan reformasi,
penggantungan parlimen mengganggu kerja kami disebabkan kami tidak dapat
memperoleh dan mencari penyelesaian semasa sidang parlimen mengenai isu-isu
yang berkaitan.
Kami percaya bahawa kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan
dan semangat Perlembagaan Persekutuan perlu dipatuhi, di mana terdapat
pengasingan kuasa yang jelas diantara cabang kuasa Eksekutif, Legislatif dan
Kehakiman dan tidak ada satu cabang yang boleh mengatasi cabang kuasa yang
lainnya.
Kehilangan semak dan imbang dalam demokrasi berparlimen akan
mengakibatkan kesan jangka panjang yang tak terpulihkan yang akan memusnahkan
negara kita, kerana kerajaan yang tidak disemak mudah menjadi kerajaan yang
drakonian dan kleptokratik.
Kami yakin bahawa kerajaan sudah mempunyai kuasa yang mencukupi
untuk menangani krisis Covid-19 dan mereka tidak perlu menggantung Parlimen
melalui Ordinan Darurat.
Sebagaimana rakyat Malaysia yang lain, kami amat khuatir dengan
kesan buruk pandemik ini – kehilangan nyawa, kerja dan hakisan ekonomi yang
sangat teruk. Kestabilan politik adalah diperlukan untuk kerajaan membawa kita
keluar dari krisis yang tidak terjangka ini, namun kestabilan tidak boleh
dicapai dengan mengorbankan institusi semak dan imbang oleh Parlimen dan badan
kehakiman.
Kami melakukan litigasi ini demi kepentingan umum untuk
mempertahankan kedaulatan undang-undang dan sistem semak imbang serta untuk
mendapatkan keputusan badan kehakiman berkenaan isu-isu terkait dengan Ordinan
Darurat.
Oleh yang demikian, atas nama kepentingan awam kami melakukan
cabaran kehakiman supaya mahkamah dapat menentukan kuasa keperlembagaan
parlimen dan badan kehakiman dalam mempertahankan sistem semak dan imbang
negara kita.
Ditandatangani oleh:
1. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
2. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
3. Center for Independent Journalism (CIJ)
4. Aliran
5. Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH)
6. Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK)
7. Save Rivers