Pemimpin PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri adalah antara pihak yang paling kuat mengkritik idea kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung industri penanaman buluh besar-besaran di negara ini semasa duduk di kerusi pembangkang.
Bagaimanapun, setelah menjadi kerajaan dan diberikan jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), beliau akhirnya sedar akan potensi sebenarnya dasar yang dicadangkan oleh menteri terdahulu, Teresa Kok itu.
Teresa, dalam kenyataan di Facebook berkata, beliau percaya Mohd Khairuddin akhirnya sudah sedar bahawa tindakannya membidas cadangan tersebut adalah kurang cerdik dan dibuat kerana terpengaruh dengan propaganda memburukkan kerajaan PH.
“Saya gembira Mohd Khairuddin meneruskan dasar dan hala tuju penanaman buluh yang ditetapkan oleh saya dan pihak Lembaga Industri Kayu-Kayan (MTIB) pada tahun lepas.
“Saya percaya Menteri baru ini sedar kenyataannya yang membidas cadangan saya pada 3 Mac 2019 adalah kurang cerdik kerana beliau tidak dapat gambaran yang jelas berkenaan cadangan penanaman buluh secara besar-besaran.
“Selain itu, beliau mungkin tidak tahu laporan bertajuk ‘Lupakan Sawit, Tanam Buluh’ yang disiarkan di Utusan Malaysia waktu itu sebenarnya diputar-belitkan oleh pihak akhbar pada waktu itu,” katanya.
Teresa dalam satu kenyataan tahun lalu menegaskan buluh, nanas dan kelapa adalah cadangan alternatif kepada pekebun kecil yang selama ini bergantung hanya kepada tanaman kelapa sawit sebagai sumber pendapatan dan bukannya sebagai pengganti.
“Kenyataan saya hanya merujuk kepada beberapa kawasan yang bersesuaian di Pahang, yang kebetulannya mempunyai banyak buluh,” katanya bagi menjelaskan tajuk laporan yang disifatkannya sebagai tidak wajar meskipun isi kandungan laporan berkenaan boleh diterima.
Teresa dalam pada itu berkata beliau sanggup membantu Mohd Khairuddin jika pemimpin PAS itu mahu mendapatkan pandangannya berkaitan pelaksanaan penanaman buluh serta isu lain berkaitan kementerian yang pernah diterajuinya itu.
Mohd Khairuddin dalam kenyataan semalam berkata, KPPK akan terus memberi penekanan ke atas pembangunan industri buluh dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Katanya, industri buluh mempunyai potensi yang besar untuk diusahakan dan dimajukan di negara ini.
Saiz pasaran global bagi produk buluh dianggarkan berjumlah AS$68 bilion (RM295 bilion) pada 2018.
Pun begitu, sumbangan eksport industri berasaskan buluh negara masih rendah iaitu sekitar RM9 juta pada 2019.