DR KAMARUDIN MUSA
SENYAP dan sunyi, tiada lagi dendangan suara sahut menyahut membangkitkan unsur-unsur kebencian serta kecurigaan dalam masyarakat, hilang sudah daripada pandangan, tiada lagi kata-kata yang membangkitkan resah perkauman, nada-nada “Islam terancam, hak-hak orang Melayu sudah terhakis, Raja-raja Melayu dihina, Cina telah menguasai Malaysia, maruah Melayu sudah tergadai, LGBT semakin berleluasa.”
Hampir 20 bulan suara-suara ini bergema di media sosial, nampaknya tiba-tiba sahaja kicauan ini terhenti dan hilang daripada pandangan, ghaib daripada skrin media sosial, sebaik sahaja tertegaknya kerajaan yang diistilahkan sebagai “pintu belakang, tebuk atap (PBTA),” kononnya dikatakan sebagai kerajaan Melayu-Islam.
Bermakna kumpulan yang begitu ghairah bermain dengan emosi perkauman dan sentimen keagamaan ini adalah kumpulan yang secara aktif bersekongkol dengan PBTA dan juga merupakan sebahagian daripada perancang dalam merealisasikan PBTA itu sendiri, tidak dapat dinafikan akan hakikatnya, bahkan merupakan sesuatu yang jelas dan nyata.
Golongan ini dapat ditafsir sebagai golongan “hipokrit-oportunis-cauvinis,” berkisar disekitar pemikiran berteraskan naluri kekecewaan melampau di atas kekalahan dan kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Umum 14 (PRU14), menjadikan mereka hilang pedoman akhirnya terjerumus ke dalam tindakan politik berteraskan matlamat menghalalkan cara.
Membina kehidupan politik berteraskan sentimen perkauman dan superioriti agama, menjadikan seolah-olah mereka adalah kumpulan suci yang maha suci dalam beragama serta penuh sempurna tata cara amalan beragama.
Mengikut Nurcholis Majid pemikiran sebegini diistilahkan sebagai dorongan pemaksaan fahaman, mencetus kepada kelahiran ideologi politik keagamaan bersifat sakral keulamakan kelompok, manakala diluar daripada kelompok mereka adalah golongan pendosa.
Kumpulan ini hakikatnya menjadi penyumbang kepada kemusnahan sistem serta perosak kepada kestabilan proses politik, sekali gus menyah peduli akan realiti prinsip demokrasi dan keutuhan nilai hakiki, sesuatu yang paling sadis adalah mempermainkan nilai agama dengan “membenarkan apa yang pernah diharamkan dan mengharamkan apa yang pernah dibenarkan.”
Inilah hakikat dan realiti yang berlaku mewarnai dimensi politik Malaysia semasa, politik boleh ditafsir dengan pelbagai senario, politik bagi golongan “hipokrit-oportunis-cauvinis” hakikatnya tidak mengenal erti kemanusiaan, nilai moral, mahu pun etika. Tentunya jauh sekali membina kerangka tindakan dalam konteks pemikiran integriti mahu pun bersandarkan tingkah laku akauntibiliti. Definisinya menjadi relatif dan subjektif, memandangkan fokusnya adalah membina rangkaian kuasa serta memutlakkan kuasa dengan menyingkirkan musuh yang dikenali, mahu yang tidak dikenali.
Politik talam dua muka dan gergaji dua mata, dipadankan pula dengan politik “makan keliling” dan politik “putar angin”, merupakan budaya politik yang melebar bersifat praktis mutlak dalam kalangan politik Melayu-Islam. Moral dan etika bagi golongan ini adalah dikira sahih, asalkan tujuan dan matlamat dapat dicapai, biar pun bertentangan sekali dengan nilai peradaban, jauh sekali akan ikatan adat. Kerakusan kuasa politik menjadikan wujudnya golongan yang kehilangan adab dan adat, itu realitinya.
Berdasarkan hakikat ini, menang mandat rakyat melalui pilihanraya, bukan bermakna sesebuah parti yang beroleh majoriti akan terus kekal sebagai kerajaan yang memerintah, risiko kehilangan majoriti hakikatnya mempunyai aras kemungkinan yang tinggi, memandangkan politik hakikatnya tidak mengenal mandat rakyat lebih-lebih lagi dalam konteks persekitaran politik yang diacum emosi perkauman, sentimen keagamaan serta penjanaan pemikiran takfiri.
Faktor kesetiaan kepada prinsip bukan menjadi pengikat kepada pendirian ahli-ahli politik, khususnya apabila wujudnya keinginan dorongan nafsu untuk berkuasa, maka bertukar kumpulan politik tidak dirasakan bersalahan dengan moral. Kesetiaan boleh sahaja terlerai dengan leburnya komitmen politik, khususnya didorong oleh persaingan kuasa serta kepentingan agenda peribadi.
UMNO dan PAS, sebaik sahaja terbentuknya kabinet PBTA 9 Mac 2020, telah mengumandangkan suara bahawa kerajaan yang mereka dokongi kini sebagai kerajaan Melayu-Islam, diperbesarkan maklumannya oleh beberapa penulis pro UMNO-PAS dalam media arus perdana dan juga media sosial.
Namun MCA dengan lantang telah mendesak supaya momokan kerajaan Melayu Islam itu tidak disinonimkan dengan kerajaan PBTA hari ini. “Saya tidak mahu dengar selepas ini orang kata, ini kerajaan Melayu Islam.” Itu kata Presiden MCA.
Namun kenyataan ini tidak mendapat apa-apa tindak balas daripada para pemimpin UMNO mahu pun PAS, tidak pula kedengaran suara yang membantah dan menjerkah kenyataan Presiden MCA tersebut.* *Situasi ini amat berbeza dengan realiti yang berlaku sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa, pastinya andaikata kenyataan sebegini terkeluar daripada mana-mana pemimpin DAP, pastinya akan dicincang lumat untuk merasionalkan bahawa PH tidak membela Islam, tidak berjuang untuk Islam dan kesimpulannya Islam sedang terancam, bukan Islam telah menguasai menjajah Islam, “semuanya kerana DAP, DAP telah menguasai kerajaan” itulah bunyi ratib yang akan diiramakan.