TARIKH PERALIHAN KUASA HARUS DITETAPKAN.TAKUT APANYA....???



Setelah beberapa pemimpin PH dalam sehari dua ini bersuara mengenai peralihan kuasa, khusus tentang perlunya tarikh penyerahan jawatan ditetapkan, Anwar Ibrahim sendiri akhirnya senada dengan keperluan tersebut.
Katanya, perkara itu perlu dibincangkan berikutan wujud kebimbangan ada percubaan luar mahu menggugat persetujuan awal yang sudah ditetapkan dalam PH tentang peralihan itu.
“Ada pandangan begitu tetapi seperti dipersetujui, ia harus dibincang antara saya dengan Perdana Menteri dan sebaiknya dalam forum Majlis Presiden untuk tentukan tarikh kepastian.
“Ia wajar dibincang dalam suasana cukup baik, tidak perlu dihangatkan isu ini,” kata Anwar lagi.
Dua hari lalu, Nik Nazmi Nik Ahmad Akmal Nasrullah Nasir daripada PKR telah membangkitkan keperluan tarikh peralihan kuasa segera diperincikan.
Ia kemudian mendapat reaksi positif daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bersatu) yang menyarankan agar Malis Presiden PH segera membincangkan perkara tersebut.
Sebelum itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berpendapat, isu peralihan kuasa harus ada penyelesaiannya di tahun 2020 ini.
Lebih awal daripada semua itu, blog ini tidak henti-henti menegaskan perlunya peralihan kuasa daripada Tun Mahathitlr Mohamad kepada Anwar Ibrahim ditetapkan tarikh yang khusus demi keutuhan PH mendepani hari-hari mendatangnya.
Malah, pada Mei 2019 lalu, sempena setahun PH menjadi kerajaan, saya telah menerbitkan sebuah buku – Anwar PM Ke-8 Janji Serah Kuasa Yang Mesti Ditepati bagi tujuan merangsang kepekaan tentang tarikh peralihan kuasa itu.
Susulan itu, saya mendapat respon daripada mereka yang dekat dengan Perdana Menteri memberitahu bahawa Tun Mahathir agak keberatan untuk bersetuju menetapkan tarikh peralihan kuasa kerana masih dibayangi bagaimana beliau agak kurang dipedulikan setelah mengumumkan tarikh berundur dan menyerahkan jawatan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2003 dahulu.
Dikatakan ketika itu, sebaik mengumumkan 31 Oktober 2003 sebagai tarikhnya menyerahkan jawatan kepada Tun Abdullah, beliau terus tidak lagi diberi perhatian, sebaliknya penggantinya itu yang lebih dikerumuni ramai serta diberi perhatian.
Difahamkan Tun Mahathir begitu terasa hati kerana mereka yang dulunya rapat dan dekat dengannya pun turut mengalih tumpuan serta lebih kerap mencium tangan Tun Abdullah Badawi berbanding dirinya.
Untuk itu, Tun Mahathir dikatakan tidak mahu terlalu awal menetapkan tarikh penyerahan jawatan kepada Anwar bagi mengelakkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri jadi tidak berfungsi atau “lame duck” (itik lumpuh) seperti 2003 dahulu berulang lagi.
Tetapi, sesuatu yang Tun Mahathir harus faham ialah peralihan kuasa pada 2003 dahulu adalah berbeza dengan apa yang bakal dilakukannya kepada Anwar.
Ketika itu, Tun Abdullah adalah Timbalan Perdana Menteri, maka sudah tentu apabila tarikhnya menjadi Perdana Menteri telah ditetapkan – semua orang – daripada pencacai politik, pelobi projek, ahli perniagaan, pemegang jawatan dalam parti dan menteri-menteri akan beralih mencari tauke baru demi survival dan mengejar habuan.
Tambahan lagi, ketika itu selain menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau juga memegang jawatan Menteri Kewangan.
Bagaimanapun, situasinya sekarang jauh berbeza lantaran Anwar berada di luar kerajaan dan tidak memegang apa-apa jawatan yang yang membolehkannya memberi kontrak atau habuan bagi tujuan mengumpul sokongan.
Paling-paling, kalau ramai juga yang sanggup berkerumun berjumpa Anwar di pejabat atau rumahnya, beliau tidak mampu memberi apa-apa, kecuali hanya sembang dan teh secawan.
Adakah dengan keupayaan memberi teh secawan itu menakutkan Tun Mahathir dan mampu menukar kedudukannya kepada Perdana Menteri yang tak berfungsi?
Sudah tentu TIDAK!!
Seterusnya adalah menjadi tugas Majlis Presiden PH meyakinkan Tun Mahathir bahawa kedudukannya langsung tidak terjejas walaupun setelah tarikh peralihan kuasa ditetapkan.
Malah, yang pasti kedudukan PH akan bertambah mantap selepas itu. (ShahbudinHusin 05/01/2020)



No comments: