BERGAMBAR : ANWAR ‘Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia: Takrifan dan Pelaksanaan’

‘Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia: Takrifan dan Pelaksanaan’ hari ini di Parlimen berjalan lancar. Hargai pembentangan terkait kemiskinan yang cukup berfakta dari Prof Jomo KS dan Rajah Rasiah dari UM. Terima kasih kepada MP dan Senator yang hadir.
Imej mungkin mengandungi: 1 orang, tersenyum, berdiri dan dalaman
Imej mungkin mengandungi: 7 orang, orang senyum, sut dan dalaman
Imej mungkin mengandungi: 9 orang, orang senyum, sut dan dalaman
Imej mungkin mengandungi: 3 orang, orang duduk dan dalaman
Imej mungkin mengandungi: 1 orang, di pentas
Imej mungkin mengandungi: 1 orang, dalaman



RESOLUSI
SEMINAR EKONOMI, KEMISKINAN DAN KESENJANGAN DI MALAYSIA: TAKRIFAN & PELAKSANAAN
24 SEPTEMBER 2019
PARLIMEN MALAYSIA
Mengambil kira Agenda Pembangunan Mampan 2030 yang telah diterima pakai pada 2015 sebagai satu pelan tindakan menyeluruh bagi memperkukuhkan keamanan sejagat, dengan hasrat untuk menamatkan kemiskinan dan kelaparan dalam segala bentuk dan dimensi, serta memastikan semua manusia berupaya memenuhi potensi mereka dengan penuh kehormatan dan kesamaan dalam suatu persekitaran yang sihat;
Menyatakan keprihatinan terhadap laporan yang diterbitkan oleh Pelapor Khas PBB tentang Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Profesor Philip Alston serta ulasan pakar ekonomi tempatan sebelumnya termasuk Profesor KS Jomo dan Profesor Rajah Rasiah dengan merujuk di antara lain angka dan rajah BNM dan Khazanah Research Institute berkenaan kadar kemiskinan negara ini yang didakwa terlalu rendah dan tidak mencerminkan kos sara hidup sebenar di samping tidak mengambil kira penduduk yang terpinggir;
Mengambil maklum pengalaman Malaysia dalam menangani masalah kemiskinan melalui program-program pembangunan negara dan dasar-dasar kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN), Rancangan Malaysia 5 Tahun (RMK1 hingga RMK11), dalam mengurangkan dan membasmi kemiskinan serta mempercepatkan proses penyusunan semula ekonomi;
Menyedari bahawa ketidaksamaan dan tahap pendapatan yang rendah dalam kalangan isi rumah merentas negeri serta terdapatnya isu-isu struktur ekonomi yang masih berterusan;
Meyakini bahawa pembangunan mampan yang berpaksi kepada manusia perlu diasaskan melalui pendekatan baharu dan inovatif untuk menangani cabaran kemiskinan dan ketidaksamaan yang semakin melebar;
Menginsafi bahawa tahap kesejahteraan hidup rakyat perlu diukur melalui pelbagai dimensi bagi mencapai matlamat perkongsian kemakmuran yang lebih inklusif;
Menegaskan bahawa konsep dan pendekatan berasaskan hak asasi manusia menurut keperluan tanpa mengira bangsa, keturunan, agama, jantina, kedudukan geografi, fahaman politik, dan lain-lain perbezaan bagi menangani jurang perbezaan kekayaan dan pendapatan yang semakin melebar perlu dilaksanakan;
Mengambil kira kesemua kebimbangan yang dinyatakan di atas serta kesemua pandangan wakil parti politik sebagai pertimbangan utama dalam menentukan dasar sosio-ekonomi yang bersifat holistik dengan matlamat pembasmian kemiskinan dan penurunan ketidaksamaan secara bersasar;
“Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia: Takrifan & Pelaksanaan” yang berlangsung pada 24 September 2019 bertempat di Parlimen Malaysia dengan ini mengesyorkan kerajaan, sebagai perkara yang diberi keutamaan:
(1) Melakukan kajian dan semakan semula kepada takrifan kemiskinan yang lebih kontemporari serta kaedah penetapan kadar kemiskinan di negara ini,
(2) Melaksanakan reformasi di dalam menangani isu kemiskinan dengan memberi penekanan terhadap pendekatan pelbagai dimensi seperti elemen jangka hayat, kesihatan, pendidikan dan tidak terhad kepada pendefinisian kemiskinan mutlak yang melihat semata-mata dimensi kewangan dan pendapatan,
(3) Memastikan pelaksanaan dasar-dasar dan program pembangunan yang berkesan, mengelak ketirisan dan salah guna kuasa,
(4) Merangka dasar ekonomi yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara seimbang dan menggalakkan agihan kekayaan yang adil dan inklusif yang menjurus kepada kumpulan sasar.
(Kredit gambar: Parlimen Malaysia)

No comments: