Tawaran Baru untuk Sarawak – melalui penurunan kuasa kepada negeri dalam bidang pendidikan, kesihatan, polisi perbandaran, pengangkutan, disokong oleh perkongsian cukai yang lebih tinggi antara kerajaan persekutuan dan Sarawak (mengambil kira 50 peratus cukai pendapatan yang dikutip oleh negeri diberikan kepada negeri) – perlu menjadi tema kempen yang utama untuk pilihan raya negeri yang akan dipanggil dalam masa beberapa hari sahaja lagi.
Pilihan raya 2016 negeri Sarawak bakal menyaksikan penzahiran peningkatan kebencian di kalangan rakyat Sarawak terhadap kepimpinan negara di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bahkan UMNO.
Tidaklah terlalu sukar difahami, kebanyakan rakyat Sarawak merasakan bahawa Putrajaya bertindak sebagai pusat memerah cukai serta hasil sumber bumi yang berharga dari Sarawak, kemudian digunakan untuk projek-projek mewah yang menelan belanja tidak masuk akal, sedangkan rakyat Sarawak terus kekal hidup dalam kesengsaraan, kemiskinan dan pembangunan negeri yang amat perlahan.
Meskipun tidak popular, Kerajaan Persekutuan pimpinan Najib dengan begitu cermat berterusan menjaga struktur kuasa yang berpusat di Sarawak tanpa memiliki sedikitpun keazaman politik untuk memikirkan semula bagaimanakah kuasa yang lebih luas dapat diturunkan kepada negeri bagi menggalakkan penyertaan rakyat dalam merangka dasar-dasar awam dalam kerangka yang lebih demokratik. Hal ini hakikatnya mampu mengukuhkan Sarawak dan mengelakkan isu pemisahan melibatkan Semenanjung Malaysia dan negeri di kepulauan Borneo ini.
‘Cash is king’ – Itulah resipi mudah Najib untuk Sarawak. Resipi yang telah diketahui umum menjadi modus operandi di hampir lima puluh kawasan lawatan beliau ke Sarawak sejak menjadi Perdana Menteri pada April 2009. Keseluruhannya tidak lain adalah ibarat menabur wang persekutuan untuk pelbagai projek. Projek yang akhirnnya hanyalah memberikan lebih manfaat kepoada kontraktor berbanding anak-anak Sarawak sendiri.
Populariti Adenan
Sebaliknya, Ketua Menteri Adenan Satem, yang menggantikan Taib Mahmud pada tahun 2014, adalah agak popular. Dengan gaya yang santai, latar sejarah politik yang lebih bebas-nepotisme dan pelbagai pengumuman popular beliau, mampu menarik minat pengundi. Pada dasarnya, Adenan menjadi ‘idola segera’ di Sarawak dengan tidak membawa imej ‘Taib’ mahupun ‘Najib/UMNO’.
Adenan pada awalnya membawa agenda penurunan kuasa / desentralisasi tetapi akhirnya beliau sedar bahawa berurusan dengan Kerajaan Persekutuan tidak lebih hanyalah ibarat mencurah air di daun keladi. Justeru, beliau telah memanfaatkan elemen permusuhan anti-Putrajaya yang telah ditafsir semula sebagai anti-Malaya. Namun secara umum, ia lebih mudah diinterpretasikan sebagai anti kepada sebarang perkara yang datangnya dari Semenanjung Malaysia yang akhirnya ibarat menyimbah minyak ke api terhadap sentimen ‘Sarawak untuk rakyat Sarawak’.
Pun begitu, mengusir atau melarang ahli-ahli politik pembangkang dari Semenanjung tidak akan membantu memperkasakan rakyat Sarawak. Begitu juga, memberi Adenan kemenangan besar pada pilihan raya negeri tidak akan bermakna Kerajaan Persekutuan Najib akan melakukan apa sahaja untuk mengubah kehidupan rakyat biasa di Sarawak agar menjadi lebih baik.
Memenangi lebih kerusi di Sarawak
Dari sudut politik, demi rakyat Sarawak secara umumnya, penambahan kemenangan pihak pembangkang di beberapa lagi kerusi Sarawak mampu menganjak Adenan untuk memikirkan semula kesetiaannya kepada Najib. Adenan sekarang ini mengawal 25 kerusi Parlimen yang merupakan satu jumlah signifikan dalam menentukan jatuh bangun Perdana Menteri Najib.
DAP dan PKR masing-masing telah memenangi 12 dan 3 kerusi DUN pada pilihan raya negeri 2011. Jika pembangkang boleh meraih kemenangan sekurang-kurangnya 20 kerusi mengambil kira penambahan kerusi lagislatif (dari 71 kepada 82 kerusi), Najib mungkin tidak dapat lagi bertahan terlalu lama.
Oleh itu, kesediaan untuk berpartisipasi dalam wacana lebih besar bertitik tolak dari pilihan raya negeri Sarawak kali ini adalah amat mendesak bagi mereka yang serius ingin melihat Najib berundur.
Soalnya, bolehkah penyingkiran Najib memberikan tawaran baru untuk Sarawak? Mampukah tawaran baru untuk membawa perubahan terhadap rakyat biasa di Sarawak? Adakah penurunan kuasa lebih luas kepada negeri tidak akan disalahguna dan dimanipulasi oleh kelompok elit berkuasa yang sedia ada?
Tawaran baru untuk Sarawak adalah tentang ‘menarik tangan’ seberapa banyak rakyat Sarawak daripada berterusan berada dalam lohong kemiskinan dan kedhaifan. Dan Adenan pula, setelah gagal menarik Najib agar memberikan kuasa autonomi lebih besar kepada Sarawak, beliau tidaklah memiliki tawaran agenda lebih serius untuk dikemukakan kepada rakyat melainkan sekadar bersandar pada daya tarikan personalnya sahaja.
Saya merasakan sekiranya Adenan berhadapan pilihan raya pada tahun lalu sebelum cukai GST dilaksanakan dan sebelum agenda autonomi beliau di‘bakul sampah’kan oleh Najib setelah beberapa kali rundingan, beliau barangkali boleh mengecapi kemenangan besar.
Ekonomi hari ini dalam keadaan parah. Rakyat disetiap lapisan benar-benar terjejas akibat GST. Ada juga yang terhimpit akibat kehilangan pekerjaan daripada industri minyak dan gas di Bintulu dan Miri. Walaupun Najib setuju membayar peratusan royalti minyak lebih tinggi semasa pilihanraya negeri untuk meningkatkan sokongan kepada Adenan, keadaan harga minya dunia yang rendah tidak akan memberi banyak makna.
Berikan lebih kuasa kepada negeri
Kini adalah masanya untuk Malaysia memikirkan semula konsep persekutuan yang mensasarkan untuk memberikan lebih kuasa kepada negeri khususnya Sarawak dan Sabah.
Jika 50 peratus daripada cukai pendapatan yang dipungut di Sarawak diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak, perkiraan fiskal yang baru akan menggalakkan Sarawak agar kurang bergantung pada industri ekstraktif untuk mengumpul pendapatan seperti jualan tanah, pembalakan, minyak dan gas, dan sebagainya. Ini seterusnya memberi kesan positif untuk alam sekitar dan kemampanan.
Reka bentuk baru ini akan membantu Sarawak untuk menjadi lebih fokus untuk mengecapi pertumbuhan yang berkualiti dan pengagihan yang lebih baik kerana lebih banyak syarikat dan pembayar cukai membayar cukai yang lebih baik untuk Kerajaan Negeri. Dalam usaha untuk mendapatkan pembayar membayar cukai, mereka perlu dibantu bagi memperolehi kapasiti untuk mencapai tahap dimana mereka boleh cemerlang.
Akhirnya, walaupun selepas perkongsian separuh daripada cukai pendapatan yang dikumpul, Kerajaan Persekutuan akan mengumpul lebih banyak cukai jika ekonomi berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding sekarang. Pada masa yang sama, cukai yang dikongsi bersama Kerajaan Negeri adalah bagi membolehkan negeri mengurus dan menyediakan prasarana pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan polisi perbandaran yang dipacu dan dikawal selia oleh Sarawak sendiri untuk memajukan kehidupan dan nasib masa depan mereka.
Aspek-aspek yang disebutkan adalah dibawah bidang kuasa dan tanggungjawab negeri di banyak negara-negara yang mengamalkan federalisme seperti Australia dan India. Malaysia tidak terkecuali. Malah, sejarah menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak sendiri telah mengurus selia sistem persekolahan mereka secara mandiri sehingga 1970-an.
Penurunan kuasa dan demokrasi
Adakah cadangan diatas membuka ruang-ruang untuk berlakunya kezaliman? Jawapan saya, tanpa penurunan kuasa kepada kerajaan negeri sekalipun, Sarawak telah dikendalikan oleh pemerintah-pemerintah yang zalim selama beberapa dekad.
Penurunan kuasa / desentralisasi akan berfungsi dengan baik dalam sebuah pengamalan sistem demokrasi yang tulen. Tawaran baru untuk Malaysia hendaklah mengangkat pengamalan sistem demokrasi tulen dimana kebebasan media, kebebasan bersuara, kebebasan untuk berhimpun yang dijamin; badan kehakiman yang tidak korup; institusi anti rasuah yang bebas dari campur tangan politik; dan sistem pilihan raya adalah adil dan bersih. Dan demokrasi tulen yang dapat berfungsi mengawasi dan mencegah pemerintahan kuku besi adalah lebih baik daripada rejim autoritarian.
DAP Sarawak telah mencadangkan beberapa idea di atas dalam Deklarasi Bintulu pada Oktober 2014 dan kini masanya untuk perkara tersebut diperdebatkan secara lebih serius. Pun begitu, tawaran baru Sarawak adalah sebuah keperluan mendesak dan ia tidak seharusnya datang dari DAP samata-mata.
Sebelum semboyan pilihan raya Sarawak ditiupkan, setiap orang yang mahukan Najib berundur perlu bertanya kepada diri mereka sendiri; apakah yang mereka boleh tawarkan untuk rakyat biasa di Sarawak. Tawaran jangka panjang yang dapat memberikan kebaikan meliputi aspek ekonomi dan kualiti kehidupan. Setiap orang yang mahu Perdana Menteri berundur perlu memberi perhatian serius kepada pilihan raya negeri Sarawak kali ini. Hanya penurunan kuasa yang diiringi keazaman politik yang ikhlas dan tulen dalam konteks demokrasi sahaja, boleh memacu Negara ke mercu kejayaan.