Doa adalah komponen ibadah. Ia adalah senjata orang mukmin. Orang tidak berdoa kepada Allah adalah orang yang sombong. Namun bukan semua perkara dan di semua tempat boleh untuk kita berdoa.
Orang yang dizalimi (mazlum) boleh mendoakan hukuman Allah turun ke atas orang yang menzaliminya. Doa orang yang mazlum mustajab di sisi Allah hatta orang yang kafir ke atas penzalim yang Islam. Terdapat banyak nas-nas syarak yang mencatatkan Baginda SAW mendoakan kehancuran ke atas musuh-musuh Islam di samping turut berdoa agar sebahagiannya diberikan hidayah dan menjadi lunak kepada Islam.
لا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَن ظُلِمَ ۚ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا
Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui (Al-Nisa' : 148).
Berdasarkan ayat tersebut, Ibn Kathir melaporkan bahawa Ibn Abbas menyatakan, Allah SWT tidak menyukai seseorang mendoakan kemusnahan terhadap seseorang kecuali dia sememangnya dizalimi. Ini kerana Allah memberikan rukhsah boleh berdoakan ke atas orang yang menzaliminya berdasarkan nas إِلَّا مَن ظُلِمَ ۚ. Namun jika dia dapat bersabar, itu lebih baik. Sabar lebih baik daripada mendoakan kemusnahan.
Kemustajaban doa orang mazlum adalah kerana dia benar-benar dizalimi seperti haknya dirampas, tidak terbela atau dikesampingkan dengan sewenang-wenangnya, bukan kerana persepsi atau rasa dizalimi walaupun hakikatnya tiada pun kezaliman sebenar berlaku. Sebab itu, kadang kala seseorang itu tidaklah mazlum di sisi Allah walaupun kelihatannya dia zalim. Mungkin juga orang zalim merasakan dia berlaku adil, walhal di sisi Allah sememangnya dia zalim. Kedua-dua kena berwaspada.
Barang harus diingat bahawa walaupun takrifan zalim itu jelas tetapi keberlakuan zalim dan keterasaan dizalimi itu sangat subjektif. Kadang-kadang kelihatan kezaliman berlaku kepada kita tetapi sebenarnya kita yang menyebabkan secara tidak langsung punca kezaliman terjadi. Contohnya, membuka gerai niaga tepi jalanraya yang tidak dibenarkan majlis bandaran, apabila ianya dirobohkan tanpa notis, maka sesetengah pihak mendakwa pihak berkuasa bertindak zalim. Ini selalunya dieksploitasi orang politik untuk menunjukkan mereka membela rakyat. Tetapi dalam kes ini, kita terlupa bahawa orang berniaga itu telah mengambil hak umum tanpa kebenaran walhal itu juga satu kezaliman. Mencari rezeki yang halal sememangnya satu tuntutan. Tetapi menghormati undang-undang juga satu tuntutan syarak. Jangan bersikap selektif terhadap apa yang menguntungkan kita sahaja. Ini sikap yang tidak betul.
Begitu juga dalam kes tauliah mengajar, apabila pihak berkuasa agama menegah pengajaran politik bersifat kepartian, mengajar fahaman yang menyalahi mazhab rasmi, menyampaikan syarahan bertentangan fakta yang betul, maka apabila tauliah mengajar sesetengah asatizah ditarik, pihak berkuasa agama selalu dituduh zalim dan menyekat perkembangan Islam. Walhal kita terlupa semasa berkuliah, tidak membuat persiapan rapi di mana syarahan hambar disampaikan. Kezaliman turut berlaku kerana ianya berbayar menggunakan wang masjid/surau sebaliknya jemaah tidak mendapat faedah ilmu yang betul.
Satu perkara yang saya risaukan ialah seandainya kita mendoakan kehancuran ke atas orang lain dalam keadaan sebenarnya kita yang tidak berlaku adil kepada mereka, maka kita sebenarnya yang zalim. Adakah Allah akan menerima doa orang yang merasa dirinya dizalimi sedangkan dia bersikap tidak adil kepada orang lain?. Sudah tentu tidak, kerana Allah Maha Adil dalam melayani keperluan semua hambaNya. Begitu juga, jika tiada apa-apa berlaku selepas berdoa, bukan bermakna doa itu tidak makbul atau diabaikan Allah. Akan ada balasannya, kalau tidak di dunia, akan kena di akhirat.
Persepsi kezaliman pada pihak lawan juga suatu perkara yang abstrak. Analogi mudah boleh diberikan iaitu poligami yang sering dikaitkan dengan "kezaliman" para suami terhadap perasaan isteri mereka. Cubalah kedua-dua suami ieteri itu saling berdoa kepada Allah untuk lihat doa siapa yang Dia makbulkan. Katakanlah suami berjaya tambah isteri, adakah bermakna beliau adalah suami yang termazlum akan hak tambah isteri, telah dimakbulkan Allah?. Adakah ianya juga bermakna si isteri yang sebenarnya zalim kerana berdoa agar Allah menggagalkan poligami suaminya?. Dalam isu ini kezaliman hanya persepsi pihak yang berdoa tetapi di sisi Allah mungkin sebaliknya yang berlaku. Kes poligami ini sekadar contoh sahaja ya. Boleh abaikan jika ada pihak tersakiti.
Doa adalah suatu yang mahal dan berharga. Justeru janganlah digunakan untuk sesuatu yang remeh dan tidak dipastikan kezalimannya. Kerana itu, yang lebih afdhal ialah mendoakan kebaikan kepada semua pihak dan memohon supaya Allah menjaga hak kita mengikut cara yang Dia inginkan.
حسبي الله و نعم الوكيل
Dr HK
22.7.2024