MP MAHU DR. LATIFF JUGA DISIASAT

 

Saya sebagai seorang Ahli Parlimen Malaysia dan menjadi anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Kebebasan Asasi dan Hak-Hak Di Bawah Perlembagaan memandang berat laporan portal Malaysiakini semalam 31/08/2022 jam 4.28 petang yang melaporkan kenyataan Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai bahawa Rafizi Ramli akan disiasat di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta komunikasi dan multimedia 2005.

Saya mengakui hak Polis untuk memulakan siasatan apabila penolong kepada Abdul Latiff Ahmad, Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri membuat satu laporan polis terhadap Rafizi Ramli berhubung isu kapal tempur persisir (LCS).

Namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menunjukkan sikap yang adil dan telus. Adakah pihak PDRM telah membuka Kertas Siasatan terhadap Abdul Latiff, Menteri Tugas-Tugas Khas tersebut sebaik sahaja Rafizi Ramli membuat laporan rasmi terhadap Abdul Latiff berhubung isu 6 buah kapal tempur LCS tersebut?

Kenyataan Ketua Polis Sentul itu amat membimbangkan kerana ia berupa satu ancaman dengan menggunakan Kanun Keseksaan dan Akta komunikasi dan Multimedia untuk menakutkan ahli-ahli politik dan aktivis masyarakat agar tidak mengeluarkan suara yang dianggap mengkritik menteri-menteri Kerajaan.

Ancaman dan amaran tidak langsung dari Ketua Polis Sentul itu jelas bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan iaitu setiap warganegara mempunyai hak terhadap Kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.

Sekiranya Abdul Latiff secara peribadi merasakan dirinya telah difitnah oleh Rafizi Ramli maka dari segi Undang-undang sivil, Menteri Tugas-Tugas Khas tersebut ada Hak untuk Saman Rafizi di Mahkamah sivil.

Pihak polis adalah silap dari segi Undang-undang jika menggunakan seksyen 500 Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia untuk melundungi Menteri kabinet.

Menteri kabinet atas jawatannya dan diri peribadinya boleh ditegur dan dikritik, malah boleh disaman di Mahkamah.Tetapi Menteri tidak boleh menggunakan polis untuk melindungi dirinya.Begitu juga Polis tidak boleh menggunakan ugutan undang-undang bagi melindungi menteri- menteri Kerajaan.

Undang-undang dalam hal ini telah mantap dinyatakan di dalam Kes Abdul RahmanTalib v Seenivasagam & Anor (1965)1MLJ 142.

Menteri Pelajaran ketika itu Abdul Rahman Talib telah kemukakan saman fitnah (defamation) di Mahkamah sivil terhadap S.P. Seenivasagam, Presiden People Progressive Party.

Hal itu berlaku pada Tahun 1965 di zaman Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri pertama.

Polis ketika itu tidak menggunakan Seksyen 500 Kanun Keseksaan terhadap S.P. Seenivasagam.

Pihak Polis Sentul perlu menasihatkan Menteri Tugas-Tugas Khas, Abdul Latiff Ahmad supaya memfailkan tuntutan Saman terhadap Rafizi Ramli di Mahkamah sivil.

Malah Rafizi Ramli secara terbuka telah menyatakan bersedia untuk dia disaman oleh Abdul Latiff bagi membolehkan dirinya (Rafizi) membela diri.

Pada hemat saya Rafizi Ramli mempunyai pembelaan bermerit, antaranya ialah (a) fakta-fakta yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden Keadilan itu benar; (b) untuk kepentingan awam; (c) tiada niat jahat, dan (d) komen yang berpatutan.

Dalam hal yang demikian tidak wajar pihak Polis membuka Kertas Siasatan di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia terhadap Rafizi Ramli.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

dan

Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Kebebasan Asasi dan Hak-Hak Di Bawah Perlembagaan

01/09/2022



No comments: